Namun demikian, aktiviti ini telah dihentikan buat seketika kerana memberi laluan kepada pembinaan taman tema terbaharu, Twentieth Century Fox dalam usaha memberi wajah baharu kepada taman tema yang berusia hampir 35 tahun berkenaan.
Hotel-hotel yang terdapat di tanah tinggi tersebut masih lagi beroperasi dan masih ramai pengunjung yang mengunjungi Genting Highland kerana ingin menikmati cuacanya yang sejuk dan menenangkan.
Bagi mereka yang sering kali ke sana, apa kata anda singgah ke Kafe Bubbles & Bites untuk menikmati makan tengahari atau minum petang anda kerana mereka menghidangkan pelbagai hidangan yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terpikat.
Terkenal sebagai pakar menghidangkan hidangan sihat, Bubbles & Bites ternyata memberikan pengalaman berbeza kepada para pengunjung kerana rekaan dalam kafe membawa imej futiristik dan chic diiringi bersama impresi tekno yang dihasilkan melalui warna ungu di setiap penjuru kafe.
Penyediaan menu yang meluas dari hidangan permulaan seperti sup dan salad, hidangan utama iaitu pasta serta pizza buatan sendiri, burger dan sandwic, hidangan sampingan seperti stew, sosej, dan pai pastinya memberikan anda pelbagai pilihan untuk menjamu selera.
Sous Chef Bubbles & Bites, Chef Khairul Azhar Wahid, berkata, mereka menekankan keaslian rasa setiap hidangan selain berusaha menyediakan sendiri doh piza dan pasta dalam kualiti yang paling maximum.
“Kami mahu menghidangkan hidangan yang lazat tetapi dalam konsep yang lebih sihat supaya pelanggan dapat menikmati suasana yang sedia tenang dan mendamaikan sejajar dengan apa yang tubuh badan mereka perlukan.
“Pemilihan sayuran-sayuran segar seperti tomato dan cendawan yang banyak digunakan dalam menu di sini, juga dititikberatkan, selain minuman buah-buahan dari sebuah ladang di New Zealand,” katanya.
Berpeluang mencuba sendiri hidangan yang terdapat dalam menu sihat Bubbles&Bites, penulis mencuba sajian healthy warm salad yang dihidangkan bersama telur rebus, cendawan liar, tomato mascorpone, kacang pain dan hirisan roti bakar.
Mendapat idea daripada menu Amerika, hidangan ini mengutamakan pemilihan pelbagai jenis cendawan liar daripada jenis tiram, butang, shimeji, dan portobello untuk membangkitkan rasa salad bersama-sama cuka balsamik.
Tidak seperti salad caesar di restoran lain, kombinasi kepingan salmon salai, bekon daging lembu, kroton bawang putih dan sos caesar berkrim memberi tekstur rangup dan sesuai dinikmati bagi pencinta salad yang mementingkan kesihatan.
Tidak pernah mencuba piza tanpa kanji, membuatkan saya sedikit skeptikal bagaimana untuk menghasilkan doh piza yang rangup.
Apa pun chef di Bubbles&Bites berjaya membuktikan mereka mampu menghidangkan piza yang lazat walaupun tidak menggunakan kanji.
Dinamakan piza Oblong Margherita Fresco Gluten Free, ia yang dibakar rangup bersama sos tomato dan keju Bocconcini serta Mozarella yang memberikan rasa klasik walaupun hidangan mudah dan ringkas.
Melalui proses tumisan selama lapan jam, hidangan 8 Hours Slow Braised Lamb Shank langsung tidak mengganggu keseluruhan rasanya, malah mengekalkan tekstur daging betis kambing yang lembut di samping rasa berjus yang dikeluarkan sepanjang proses perapan dan tumisan.
Dengan harga serendah RM23, ia menjadi antara hidangan ‘wajib cuba’ kerana keistimewaan stik kambing yang mereka hidangkan juga bergantung kepada sos labu dan butternut yang tidak dapat dinikmati di tempat lain.
Sekadar ingin memenuhi menu minum petang anda, hidangan Pici Bolognaise boleh dicuba kerana tidak terlalu berat selain menyajikan dalam sajian yang besar. Pasta yang dibuat sendiri memberi tekstur yang berbeza berbanding pasta segera.
Beza dari kebanyakan restoran yang mengetengahkan masakan pasta, kuahnya tidak dimasak siap tetapi ia akan dimasak mengikut pesanan, membuatkan rasanya seakan-akan masakan rumah.
Jadikan percutian anda ke Genting Highland lebih bermakna dengan menikmati hidangan seperti Cioppino dan Ethiopian Chicken bersama teman-teman kerana sajian hangat yang diketengahkan ini amat sesuai dinikmati dalam cuaca yang sejuk.
Sebelum mengakhiri sajian , apa kata mencuba pencuci mulut terkenal di Bubbles&Bites seperti Pecan Walnut atau Chocolate Brownies. Hidangan pencuci mulut yang berbeza-beza setiap hari, membuatkan tetamu tidak jemu untuk menghayati hidangan yang ditawarkan di sini.
Boleh memuatkan sehingga 143 pelanggan dalam satu-satu masa, kafe yang terletak di tingkat dua Hotel Maxims itu beroperasi setiap hari.