Projek tersebut merangkumi pembinaan empat stesen janakuasa dengan yang pertama dijangka siap pada pertengahan 2017, dibangunkan oleh sebuah konsortium terdiri daripada Siemens AG, Siemens Malaysia dan MMC Engineering Sdn. Bhd.
Naib Presiden Infrastruktur dan Utiliti Petronas, Ir. Pramod Kumar Karunakaran berkata, PCP yang menyasarkan beroperasi sepenuhnya pada 2019, bakal memainkan peranan penting dalam membekalkan wap dan kuasa yang mencukupi bagi kelancaran PIC.
"PCP yang merupakan antara komponen utama PIC ini apabila siap kelak mampu menghasilkan kuasa 1,220 megawatt dan dapat menyediakan bekalan wap sehingga 1,480 tan sejam sekali gus menjadikan ia stesen janakuasa penjanaan terbesar di rantau ini.
"Projek tersebut juga dijangka menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan kemahiran," katanya pada majlis pecah tanah PCP yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuasa dan Gas Siemens AG, Dr. Roland Fischer.
PCP merupakan antara enam komponen utama PIC selain projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) oleh Petronas yang dibangunkan di atas tanah seluas 2,500 hektar dengan pelaburan melebihi RM89 bilion.
Petronas merupakan pelabur utama di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang di sini, kawasan yang bakal dibangunkan sebagai hab minyak dan gas negara sekali gus menjadi satu daripada penyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
Pramod Kumar berkata, menerusi kerjasama konsortium tersebut, beliau yakin pihak terlibat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkaitan selain mempunyai kemampuan, dapat menjalankan projek PCP berkenaan dengan jayanya.