Daripada apa yang dilaporkan media baru-baru ini, syarikat pengimport tepung gandum itu dipercayai membeli bekalan tepung terpakai, yang disimpan lama hingga warnanya bertukar kehitaman, keperangan atau kekuningan di pasaran antarabangsa sebelum menjual kembali di Malaysia.
Bagi memutihkan semula warna tepung itu, bahan kimia seperti benzoyl peroxide, calcium peroxide, nitrogen dioxide dan klorin digunakan sehingga menyebabkan semua khasiat semula jadi hilang.
Pelbagai persoalan timbul rentetan daripada pendedahan itu kerana tepung gandum banyak digunakan dalam membuat makanan.
Apakah bahan kimia tersebut? Adakah ia bahaya kepada kesihatan? Bagaimana menentukan tepung gandum ada bahan kimia tersebut? Adakah alternatif lain selain dari menggunakan tepung gandum?
Benzoil peroksida (benzoyl peroxide) ialah bahan peluntur yang digunakan untuk meluntur warna asal makanan. Pada mulanya penggunaan bahan kimia itu bertujuan membolehkan makanan tahan lama, menggelakkan daripada dirosak oleh mikroorganisma, memudahkan pencernaan, memperbaiki rupa makanan dan mencegah jangkitan penyakit.
Kementerian Kesihatan juga menjelaskan bahawa Peraturan-Peraturan Makanan 1985 membenarkan kandungan benzoil peroksida dalam mana-mana tepung termasuk tepung gandum pada kadar tidak lebih daripada 50 miligram/kilogram.
Malahan, pihak kementerian turut mengesahkan bahawa setakat ini bukti saintifik tidak menyokong dakwaan bahawa benzoil peroksida adalah berbahaya kepada kesihatan.
Benzoil peroksida sering digunakan dalam kepekatan rendah kerana pada dasarnya ia adalah sebagai agen pelupasan.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan dakwaan bahawa penggunaan peluntur yang berlebihan atau tidak terkawal boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia seperti alahan dan keracunan makanan.
Penggunaan berlebihan yang berterusan pula tidak mustahil boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk seperti kanser. Dalam kes ini dapatkah pihak Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa benzoil peroksida tidak digunakan berlebihan dari tahap yang dibenarkan?
Kerajaan telah menggubal undang-undang untuk melindungi pengguna dari penyalahgunaan atau penggunaan bahan kimia yang berlebihan atau tidak terkawal dalam makanan melalui Akta Makanan 1983.
Akta Makanan 1983 ini jelas menyatakan bahawa perlu dipastikan hanya bahan-bahan yang selamat dan sesuai sahaja boleh digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.
Adakah ini bermakna selagi peraturan yang termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 ini dipatuhi, tiada tindakan undang-undang dapat diambil jika berlaku kemudaratan ke atas pengguna hasil dari penggunaan bahan-bahan kimia dalam penyediaan sumber makanan yang diproses dan dikilangkan untuk penjualan?
Adakah kita akan tahu dan sedar jika terjadi tahap penggunaan bahan kimia ini berlebihan dari tahap yang dibenarkan dan ia berterusan? Adakah pemerhatian dan kawalan terhadap penggunaan bahan-bahan kimia ini telus dan berterusan?
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pula mewajibkan pengeluar melabelkan makanan iaitu nama makanan, kandungan makanan (bahan/ramuan), tarikh luput, nama dan alamat pengilang/pengimpot/pembungkus makanan, kuantiti/berat bersih dan cara penyimpanan makanan tersebut. Adakah pembeli perhatikan maklumat-maklumat ini semasa membuat pembelian?
Caveat emptor (Let the buyer beware) adalah prinsip undang-undang di bawah Akta Jualan Barang 1957 yang meletakkan tanggungjawab ke atas pembeli supaya berhati-hati ketika membuat pembelian.
Pembeli yang cuai dalam meneliti aspek keselamatan, kebersihan dan kesihatan ketika membuat pembelian terpaksa menanggung sendiri kesannya akibat dari kecuaian itu.
Memandangkan kita mempunyai banyak pilihan makanan yang diproses, pilihlah dengan bijak supaya boleh mendapatkan makanan yang selamat, halal dan berzat. Tidak boleh diletakkan tanggungan dan kesalahan kepada pembekal, pekedai, kementerian, kerajaan dan undang-undang sahaja.
Walaupun aktiviti pemprosesan makanan dikawal menggunakan Akta Makanan 1983, pengguna perlu menggunakan kebijaksanaan apabila membeli makanan.
Walaupun Akta Makanan 1983 digubal untuk melindungi orang ramai daripada ancaman kesihatan dan penipuan yang berkaitan dengan pembuatan, penjualan, pengedaran dan penggunaan makanan, namun Akta ini tidak mentafsirkan mikroorganisma yang dibenarkan untuk ditambah ke dalam makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebagai ‘bahan cemar mikrobiologi’.
Dalam ertikata lain, bahan kimia benzoil peroksida bukanlah bahan terlarang menurut Akta Makanan 1983 jika digunakan seperti yang dibenarkan, iaitu pada kadar tidak lebih daripada 50 miligram/kilogram sebagai kondisioner makanan.
Pengguna berhak menolak makanan yang telah rosak atau mendatangkan kemudaratan contohnya yang telah luput tarikh, tin kemek, tin berkarat, berkulat, dan sebagainya.
Aduan boleh dibuat menerusi Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Boleh juga dirujuk Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang turut mengawalselia keselamatan dan perkhidmatan barang termasuk standard keselamatan, pematuhan standard keselamatan, kehendak keselamatan umum bagi barang dan larangan terhadap barang yang tidak selamat.
Timbul juga persoalan lain di minda kita sama ada hanya tepung gandum yang terlibat atau juga tepung lain? Di Malaysia terdapat pelbagai jenis tepung selain tepung gandum untuk membuat makanan seperti tepung jagung, tepung pau, tepung beras, tepung rangup, tepung serbaguna, tepung tempura, tepung ubi kayu, tepung kanji, tepung kuih, tepung kastard, tepung cucur, tepung kek, tepung segera, tepung suji, tepung istimewa, tepung biasa, tepung halus, dan pelbagai lagi.
Jadilah pengguna bijak. Praktikkan membaca dan meneliti bungkusan tepung yang dibeli. Pentingnya menjadi pengguna berilmu kerana pengguna akan tahu bahawa warna tepung yang ada peluntur sangat putih disebabkan bahan kimia manakala tepung yang tidak menggunakan peluntur berwarna keperangan atau kekuningan.
Atau selama ini ramai yang memilih tepung yang putih dan gebu kerana merasakan ia lebih bersih dan elok? Bagi pengguna yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang terdapat di pasaran tempatan, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan agar pengguna memaklumkan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)http://fsq.moh.gov.my.