Ingin mengekalkan situasi tersebut di kawasan bandar, maka wujudlah kedai-kedai kopitiam yang telah pun diberikan nafas baharu kepada warga kota.
Masih lagi mengekalkan menu-menu kampung untuk mengimbau kembali zaman ketika berada di kampung, orang-orang bandar hari ini juga boleh menikmati pelbagai jenis juadah kampung yang semakin dilupakan.
Salah satu kopitiam yang menyediakan pelbagai hidangan nostalgia di samping kopi asli tempatan ialah Old Timer Kopi.
Terletak di No. 1, Jalan Tun Mohd. Fuad 3, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, Old Timer Kopi pastinya memenuhi cita rasa tradisional anda semua.
Menurut pemiliknya, Faiz Ismail, keunikan Old Timer Kopi ialah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri suasana yang menggamit nostalgia suatu ketika dahulu dengan menikmati hidangan tradisi Melayu.
Tambahnya lagi, tidak hanya terhad kepada hidangan tradisi Melayu, Old Timer Kopi turut menyajikan pelbagai hidangan lain termasuklah masakan Thai dan juga sate.
Bagaimanapun katanya lagi, menu tersebut hanya terdapat di cawangan Taman Tun dan tidak terdapat di cawangan Bandar Baru Bangi.
Berbicara lebih lanjut mengenai kedainya itu, ulas anak sulung daripada lima beradik ini, kebanyakan masakan yang ditawarkan dihasilkan daripada resipi masakan emaknya, Latifah Harun.
“Boleh dikatakan kesemua masakan yang disajikan di Old Timer Kopi dihasilkan daripada resipi-resipi daripada masakan ibu saya.
“Dia merupakan penasihat yang banyak memberi idea dan dorongan dalam menguruskan perniagaan ini.
“Pada masa yang sama Old Timer Kopi merupakan satu pusat sehenti yang menyajikan pelbagai jenis hidangan yang boleh didapati di bawah satu bumbung,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Apa yang membezakan kopitiam ini dengan yang lain ialah kepelbagaian menunya yang masih mengekalkan tradisi masakan Melayu yang kian jarang didapati.
Dalam usaha memberikan pelbagai pilihan kepada para pelanggannya, Faiz memberitahu dia turut menambah sajian baharu ke dalam menunya iaitu sate.
Boleh menikmati daging lembu, daging ayam, dan juga daging kambing, sate yang disediakan mempunyai keenakan dan kelembutannya yang tersendiri.
Mempunyai seramai 15 orang pekerja termasuk empat tukang masak, Faiz turut menjelaskan kopi yang disediakan di kopitiamnya juga merupakan kopi tempatan yang diprosesnya sendiri.
Selain ingin menyajikan kopi yang terbaik kepada penggemar-penggemar kopi, Faiz menjelaskan dia turut menambah campuran herba ke dalam kopinya itu.
“Sebenarnya apa yang disajikan di sini adalah sesuai untuk seisi keluarga kerana segala-galanya boleh dinikmati dari yang muda hinggalah tua.
“Kami juga turut mengetengahkan konsep santai di mana anda boleh menikmati sajian dalam suasana yang cukup nyaman dan tenang.
“Dan pada masa yang sama, kopi yang ditawarkan di sini juga istimewa kerana kami memprosesnya sendiri selain mencampurkannya dengan herba untuk keenakannya yang tersendiri,” katanya lagi.
Yang pasti, kesemua sajian di sini ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan.
Jadi buatlah temujanji anda dengan Old Timer Kopi sama ada di Taman Tun, Kuala Lumpur, ataupun di Bandar Baru Bangi, Selangor.