BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, November 30, 2014

OLD TIMER KOPITIAM-TTDI KL



MENIKMATI secawan kopi sambil bersantai berjam-jam lamanya di kedai kopi merupakan senario yang tidak asing lagi sekiranya anda berada di kawasan kampung.
Ingin mengekalkan situasi tersebut di kawasan bandar, maka wujudlah kedai-kedai kopitiam yang telah pun diberikan nafas baharu kepada warga kota.
Masih lagi mengekalkan menu-menu kampung untuk mengimbau kembali zaman ketika berada di kampung, orang-orang bandar hari ini juga boleh menikmati pelbagai jenis juadah kampung yang semakin dilupakan.
Salah satu kopitiam yang menyediakan pelbagai hidangan nostalgia di samping kopi asli tempatan ialah Old Timer Kopi.
Terletak di No. 1, Jalan Tun Mohd. Fuad 3, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, Old Timer Kopi pastinya memenuhi cita rasa tradisional anda semua.
Menurut pemiliknya, Faiz Ismail, keunikan Old Timer Kopi ialah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri suasana yang menggamit nostalgia suatu ketika dahulu dengan menikmati hidangan tradisi Melayu.
Tambahnya lagi, tidak hanya terhad kepada hidangan tradisi Melayu, Old Timer Kopi turut menyajikan pelbagai hidangan lain termasuklah masakan Thai dan juga sate.
Bagaimanapun katanya lagi, menu tersebut hanya terdapat di cawangan Taman Tun dan tidak terdapat di cawangan Bandar Baru Bangi.
Berbicara lebih lanjut mengenai kedainya itu, ulas anak sulung daripada lima beradik ini, kebanyakan masakan yang ditawarkan dihasilkan daripada resipi masakan emaknya, Latifah Harun.
“Boleh dikatakan kesemua masakan yang disajikan di Old Timer Kopi dihasilkan daripada resipi-resipi daripada masakan ibu saya.
“Dia merupakan penasihat yang banyak memberi idea dan dorongan dalam menguruskan perniagaan ini.
“Pada masa yang sama Old Timer Kopi merupakan satu pusat sehenti yang menyajikan pelbagai jenis hidangan yang boleh didapati di bawah satu bumbung,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Apa yang membezakan kopitiam ini dengan yang lain ialah kepelbagaian menunya yang masih mengekalkan tradisi masakan Melayu yang kian jarang didapati.
Dalam usaha memberikan pelbagai pilihan kepada para pelanggannya, Faiz memberitahu dia turut menambah sajian baharu ke dalam menunya iaitu sate.
Boleh menikmati daging lembu, daging ayam, dan juga daging kambing, sate yang disediakan mempunyai keenakan dan kelembutannya yang tersendiri.
Mempunyai seramai 15 orang pekerja termasuk empat tukang masak, Faiz turut menjelaskan kopi yang disediakan di kopitiamnya juga merupakan kopi tempatan yang diprosesnya sendiri.
Selain ingin menyajikan kopi yang terbaik kepada penggemar-penggemar kopi, Faiz menjelaskan dia turut menambah campuran herba ke dalam kopinya itu.
“Sebenarnya apa yang disajikan di sini adalah sesuai untuk seisi keluarga kerana segala-galanya boleh dinikmati dari yang muda hinggalah tua.
“Kami juga turut mengetengahkan konsep santai di mana anda boleh menikmati sajian dalam suasana yang cukup nyaman dan tenang.
“Dan pada masa yang sama, kopi yang ditawarkan di sini juga istimewa kerana kami memprosesnya sendiri selain mencampurkannya dengan herba untuk keenakannya yang tersendiri,” katanya lagi.
Yang pasti, kesemua sajian di sini ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan.
Jadi buatlah temujanji anda dengan Old Timer Kopi sama ada di Taman Tun, Kuala Lumpur, ataupun di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Friday, November 21, 2014

MADRASAH AL-KULIYAH IMAM HAJI JAAFAR

  • Jaafar (kanan) bersama pelajar madrasah berdiri di hadapan bangunan asrama yang terbengkalai sejak dua bulan lalu.Jaafar (kanan) bersama pelajar madrasah berdiri di hadapan bangunan asrama yang terbengkalai sejak dua bulan lalu.
 1 / 1 
PONTIAN - Impian melihat lebih ramai pelajar tahfiz menuntut di Madrasah Al-Kuliyah Imam Haji Jaafar, Rimba Terjun di sini, terpaksa dilupakan apabila bangunan asrama yang dibina  terbengkalai sejak dua bulan lalu.

Pengetuanya, Jaafar Judi berkata, pembinaan bangunan asrama yang mempunyai kemudahan tempat penyimpanan air dan bilik mandi itu, dimulakan pertengahan tahun terpaksa ditangguhkan.

Jelasnya, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM60,000 bagi meneruskan pembinaan asrama itu.

“Madrasah dibuka sejak empat tahun lalu bagi membantu anak-anak mendapatkan ilmu agama dan bukan bertujuan mengaut keuntungan.

“Hasil sumbangan orang ramai, madrasah ini boleh terus menyediakan kelas agama dan mengaji al-Quran bagi pelajar dan orang dewasa,” katanya semalam.

Justeru, beliau mengharapkan bantuan masyarakat bagi pembinaan semula bangunan asrama tersebut bagi membolehkan lebih ramai pelajar termasuk dari luar negeri datang ke madrasah untuk menimba pengetahuan agama.

“Setakat ini, seramai 28 pelajar berusia tujuh hingga 16 tahun belajar di sini, dan dijangka jumlah akan meningkat tahun hadapan kepada 40 orang.

“Namun, saya khuatir madrasah tidak dapat menampung pertambahan jumlah pelajar memandangkan bangunan asrama sedia ada hanya dapat menerima jumlah pelajar yang kecil,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyalurkan dana boleh menghubungi Fairuz Jaafar di talian 017-7651901.

KHADIJAHS KITCHEN PV128-SETAPAK KL.


Sarapan pagi merupakan juadah pertama yang kita makan untuk mendapatkan tenaga sebelum memulakan rutin harian.
Selain menyediakan tenaga segera untuk sel-sel otak berfungsi pada waktu pagi, sarapan juga mengelakkan tubuh menjadi lesu.
Sesetengah orang percaya mereka boleh menggantikan sarapan pagi yang tertinggal dengan mengambil kuantiti yang banyak pada waktu makan tengah hari.
Malah ada juga yang berpendapat mereka boleh mengurangkan berat badan dengan meninggalkan sarapan pagi. Mereka yang bersarapan secara tetap dikatakan menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing serta memiliki daya tumpuan yang lebih baik.
Pemilihan sarapan terutama yang karbohidrat dapat membekalkan tenaga, mampu menahan lapar dan mengawal keinginan untuk makan antara waktu sarapan dan makan tengahari. Ada saintis yang menggelarkan sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan berhubung kait dengan kecergasan mental. Secara ringkas, sarapan dikatakan memberi signal positif terhadap aktiviti otak agar ebih cergas, peka dan fokus.
Menyedari kepentingan sarapan, Khadijahs Kitchen PV128, Setapak, Kuala Lumpur menyediakan variasi menu sarapan yang berkualiti, enak, murah dan autentik. Pemilik restoran, Datuk Khadijah Ibrahim telah mengumpul bahan tradisional untuk sajian sarapan ini.
Restoran ini akan menyediakan menu sarapan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 10 pagi hingga dua petang. Resepi warisan keluarga Khadijah yang disediakan antaranya cucur udang, lempeng kelapa manis dengan sambal, roti sambal telur, roti jala, kacang panggang dengan telur dan sosej, ubi rebus dengan kelapa atau sambal, nasi lemak, mee goreng jawa, mee siam goreng, mee rebus, lontong dan soto padang.
Dalam pada itu, mereka yang bersarapan bersama keluarga seramai tiga orang, ahli keluarga keempat pula tidak akan dikenakan bayaran.
Dalam pada itu, Khadijah’s Kitchen turut mengadakan promosi bersama Hotel Habib, Kota Bharu, Kelantan iaitu pelanggan yang berbelanja sebanyak RM30 dalam satu bil akan mendapat lima mata dan mereka yang berjaya mengumpul 300 mata akan mendapat diskaun 15 peratus setiap kali mendaftar masuk di hotel tersebut.
Khadijah's Kitchen PV128, 35G, Jalan Genting Klang, 53000 Kuala Lumpur.

TEPUNG TERCEMAR DAN ILMU KEPENGGUNAAN

MAJORITI wanita adalah suri rumah. Majoriti suri rumah pula merupakan tukang masak yang aktif. Bukan profesional, tetapi mereka memasak untuk keperluan harian keluarga. Sebab itu apabila timbul isu sesetengah jenama tepung gandum di pasaran mengandungi kimia berbahaya dan sumber nutrisi tidak halal, golongan suri rumah yang paling terkesan.
Daripada apa yang dilaporkan media baru-baru ini, syarikat pengimport tepung gandum itu dipercayai membeli bekalan tepung terpakai, yang disimpan lama hingga warnanya bertukar kehitaman, keperangan atau kekuningan di pasaran antarabangsa sebelum menjual kembali di Malaysia.
Bagi memutihkan semula warna tepung itu, bahan kimia seperti benzoyl peroxide, calcium peroxide, nitrogen dioxide dan klorin digunakan sehingga menyebabkan semua khasiat semula jadi hilang.
Pelbagai persoalan timbul rentetan daripada pendedahan itu kerana tepung gandum banyak digunakan dalam membuat makanan.
Apakah bahan kimia tersebut? Adakah ia bahaya kepada kesihatan? Bagaimana menentukan tepung gandum ada bahan kimia tersebut? Adakah alternatif lain selain dari menggunakan tepung gandum?
Benzoil peroksida (benzoyl peroxide) ialah bahan peluntur yang digunakan untuk meluntur warna asal makanan. Pada mulanya penggunaan bahan kimia itu bertujuan membolehkan makanan tahan lama, menggelakkan daripada dirosak oleh mikroorganisma, memudahkan pencernaan, memperbaiki rupa makanan dan mencegah jangkitan penyakit.
Kementerian Kesihatan juga menjelaskan bahawa Peraturan-Peraturan Makanan 1985 membenarkan kandungan benzoil peroksida dalam mana-mana tepung termasuk tepung gandum pada kadar tidak lebih daripada 50 miligram/kilogram.
Malahan, pihak kementerian turut mengesahkan bahawa setakat ini bukti saintifik tidak menyokong dakwaan bahawa benzoil peroksida adalah berbahaya kepada kesihatan.
Benzoil peroksida sering digunakan dalam kepekatan rendah kerana pada dasarnya ia adalah sebagai agen pelupasan.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan dakwaan bahawa penggunaan peluntur yang berlebihan atau tidak terkawal boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia seperti alahan dan keracunan makanan.
Penggunaan berlebihan yang berterusan pula tidak mustahil boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk seperti kanser. Dalam kes ini dapatkah pihak Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa benzoil peroksida tidak digunakan berlebihan dari tahap yang dibenarkan?
Kerajaan telah menggubal undang-undang untuk melindungi pengguna dari penyalahgunaan atau penggunaan bahan kimia yang berlebihan atau tidak terkawal dalam makanan melalui Akta Makanan 1983.
Akta Makanan 1983 ini jelas menyatakan bahawa perlu dipastikan hanya bahan-bahan yang selamat dan sesuai sahaja boleh digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.
Adakah ini bermakna selagi peraturan yang termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 ini dipatuhi, tiada tindakan undang-undang dapat diambil jika berlaku kemudaratan ke atas pengguna hasil dari penggunaan bahan-bahan kimia dalam penyediaan sumber makanan yang diproses dan dikilangkan untuk penjualan?
Adakah kita akan tahu dan sedar jika terjadi tahap penggunaan bahan kimia ini berlebihan dari tahap yang dibenarkan dan ia berterusan? Adakah pemerhatian dan kawalan terhadap penggunaan bahan-bahan kimia ini telus dan berterusan?
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pula mewajibkan pengeluar melabelkan makanan iaitu nama makanan, kandungan makanan (bahan/ramuan), tarikh luput, nama dan alamat pengilang/pengimpot/pembungkus makanan, kuantiti/berat bersih dan cara penyimpanan makanan tersebut. Adakah pembeli perhatikan maklumat-maklumat ini semasa membuat pembelian?
Caveat emptor (Let the buyer beware) adalah prinsip undang-undang di bawah Akta Jualan Barang 1957 yang meletakkan tanggungjawab ke atas pembeli supaya berhati-hati ketika membuat pembelian.
Pembeli yang cuai dalam meneliti aspek keselamatan, kebersihan dan kesihatan ketika membuat pembelian terpaksa menanggung sendiri kesannya akibat dari kecuaian itu.
Memandangkan kita mempunyai banyak pilihan makanan yang diproses, pilihlah dengan bijak supaya boleh mendapatkan makanan yang selamat, halal dan berzat. Tidak boleh diletakkan tanggungan dan kesalahan kepada pembekal, pekedai, kementerian, kerajaan dan undang-undang sahaja.
Walaupun aktiviti pemprosesan makanan dikawal menggunakan Akta Makanan 1983, pengguna perlu menggunakan kebijaksanaan apabila membeli makanan.
Walaupun Akta Makanan 1983 digubal untuk melindungi orang ramai daripada ancaman kesihatan dan penipuan yang berkaitan dengan pembuatan, penjualan, pengedaran dan penggunaan makanan, namun Akta ini tidak mentafsirkan mikroorganisma yang dibenarkan untuk ditambah ke dalam makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebagai ‘bahan cemar mikrobiologi’.
Dalam ertikata lain, bahan kimia benzoil peroksida bukanlah bahan terlarang menurut Akta Makanan 1983 jika digunakan seperti yang dibenarkan, iaitu pada kadar tidak lebih daripada 50 miligram/kilogram sebagai kondisioner makanan.
Pengguna berhak menolak makanan yang telah rosak atau mendatangkan kemudaratan contohnya yang telah luput tarikh, tin kemek, tin berkarat, berkulat, dan sebagainya.
Aduan boleh dibuat menerusi Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Boleh juga dirujuk Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang turut mengawalselia keselamatan dan perkhidmatan barang termasuk standard keselamatan, pematuhan standard keselamatan, kehendak keselamatan umum bagi barang dan larangan terhadap barang yang tidak selamat.
Timbul juga persoalan lain di minda kita sama ada hanya tepung gandum yang terlibat atau juga tepung lain? Di Malaysia terdapat pelbagai jenis tepung selain tepung gandum untuk membuat makanan seperti tepung jagung, tepung pau, tepung beras, tepung rangup, tepung serbaguna, tepung tempura, tepung ubi kayu, tepung kanji, tepung kuih, tepung kastard, tepung cucur, tepung kek, tepung segera, tepung suji, tepung istimewa, tepung biasa, tepung halus, dan pelbagai lagi.
Jadilah pengguna bijak. Praktikkan membaca dan meneliti bungkusan tepung yang dibeli. Pentingnya menjadi pengguna berilmu kerana pengguna akan tahu bahawa warna tepung yang ada peluntur sangat putih disebabkan bahan kimia manakala tepung yang tidak menggunakan peluntur berwarna keperangan atau kekuningan.
Atau selama ini ramai yang memilih tepung yang putih dan gebu kerana merasakan ia lebih bersih dan elok? Bagi pengguna yang merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang terdapat di pasaran tempatan, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan agar pengguna memaklumkan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)http://fsq.moh.gov.my.

PEROKOK ADA MASALAH MENTAL

IPOH 19 Nov. - Golongan perokok disifatkan sebagai berada dalam kalangan kelompok pesakit mental yang perlu diberikan rawatan.
Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang, Prof. Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, hal itu kerana golongan perokok mempunyai masalah ketagihan yang sangat tinggi.
Beliau juga menyifatkan bahawa perokok mengalami penyakit ketagihan berpanjangan yang berulang.
“Dari segi mental, perokok mempunyai masalah kerana mereka tidak boleh jika tidak menghisap rokok. Ketagihannya berada pada kadar yang tinggi walaupun sedar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan.
"Berdasarkan kajian, golongan perokok juga adalah yang paling ramai mendapatkan khidmat kesihatan, sama ada di hospital kerajaan atau pun swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi bertajuk 'Rokok Pemusnah Ummah' dalam Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini semalam.
Menurut Mohamad Haniki, kajian terbaru menunjukkan terdapat kira-kira 7,000 bahan kimia berbahaya terkandung dalam rokok yang 70 daripadanya merupakan bahan penyebab kanser.
Katanya, enam daripada lapan penyakit berbahaya seperti sakit jantung, kanser dan strok boleh disebabkan oleh tabiat merokok.
“Selain itu, sebagai seorang Islam, kita juga perlu sedar bahawa hasil kajian pada 2010 menunjukkan penggunaan darah babi dalam penghasilan rokok,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia, Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar pula menjelaskan bahawa terdapat beberapa sebab kukuh mengapa rokok difatwakan haram.
“Rokok bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi orang sekeliling termasuk keluarga kita dan Islam mencegah kita melakukan kemudaratan.
“Menghisap rokok juga merupakan pembaziran kerana duit yang kita gunakan bukanlah untuk kebaikan, tetapi kemudaratan. Rokok juga membawa kemudaratan kepada Islam kerana membantu menguatkan musuh kita iaitu Israel,” kata beliau

Tuesday, November 18, 2014

MASAK LEMAK KULIT LEMBU-RESTORAN RESEPI NORJIHAN, KLANG

Nampak dari luar, restoran ini dilihat biasa sahaja, tetapi memandangkan ia terletak di tepi jalan, memudahkan ramai pelanggan datang menjamu selera.
Namun bukan sebab itu sahaja yang menjadikan Restoran Resipi Noorjihan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan di sekitar Batu Belah, Klang, Selangor dan sekitarnya.
Restoran ini dikenali kerana menyediakan hampir keseluruhan masakan berasaskan daging dan masakan Jawa, malah yang paling mendapat sambutan adalah masakan kulit lembu masak lemak.
Menurut pemilik restoran Noorjihan Sahed, 58, antara hidangan berasaskan daging seperti daging masak kicap, gulai daging, kari daging, sup daging, sup ekor, masak lemak perut daging dengan rebung, sate, daging masak merah, daging masak kurma dan banyak lagi.
Selain itu masakan-masakan lain yang mengiringi termasuk sambal goreng Jawa, tempe goreng ikan bilis, sambal tomato, ulam-ulaman, asam pedas, kerabu kangkung, kari kepala ikan dan sebagainya.
Noorjihan sendiri pernah membuka kafe di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama tiga tahun, sebelum akhirnya membuka restoran berkenaan sejak tahun 2004.
Ketika ditanya mengenai menu istimewa iaitu kulit lembu masak lemak, Noorjihan yang dibantu suaminya, Ustaz Md. Ali Sarbini iaitu mantan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, memberitahu, ramai pelanggan yang menggemari masakan tersebut.
Bahkan katanya, ada yang datang dari jauh semata-mata ingin menikmati hidangan kulit lembu masak lemak.
“Hidangan ini digemari kerana rasanya sedap dan kulit lembu terasa kenyal apabila dikunyah. Setiap hari sajian ini akan habis dahulu berbanding makanan-makanan lain,” katanya yang mempunyai tujuh orang cahaya mata.
Noorjihan menjelaskan, setiap hari seawal lima pagi, suaminya, Md. Ali akan mendapatkan bekalan kulit lembu kampung daripada pembekal di Banting, Selangor.
“Sehari, paling kurang pun kami kena beli sebanyak lima kilogram. Kulit lembu ini memerlukan proses yang rumit untuk membersihkannya termasuk kulitnya disiat, dikeringkan kemudian direbus sehingga benar-benar lembut untuk dimakan.
“Tapi bagi memudahkan, kami membeli kulit lembu yang telah siap diproses dan sampai di restoran kita terus memasakkannya,” jelasnya yang turut mengambil tempahan untuk katering dan majlis-majlis keramaian.
Noorjihan yang turut mempunyai beberapa pekerja memberitahu, dia sendiri yang akan memasak semua hidangan tersebut bagi memastikan keenakan lauk-lauk berkenaan sentiasa terjaga.
Bagi yang ingin menikmati hidangan-hidangan Jawa secara tradisional dan kulit lembu masak lemak bolehlah berkunjung ke restoran ini yang terletak di 2846 A, Jalan Bahagia, Kampung Batu Belah, Klang, Selangor, atau talian 019-3773375.

Sunday, November 16, 2014

LEGASI RESTORAN CINA MUSLIM-HJ SHARIN LOW



KELIHATAN seorang lelaki memakai baju kemeja dan seluar slack sedang khusyuk mengelap meja sebaik melangkah masuk ke ruang restoran yang dipenuhi dengan palet merah di segenap dinding restoran itu.
Jari telunjuknya mengesat permukaan meja dan dahinya berkerut. Tidak berpuas hati dengan kebersihan meja tersebut, dia mencapai semula kain yang telah disangkutkan di kerusi berdekatan dan menyambung rutinnya itu.
Tanpa menghiraukan kewujudan lelaki tersebut, mata saya mengerling di segenap sudut untuk mencari pemilik restoran berkenaan.
Ketika leka memerhatikan suasana sekeliling, seorang wanita bertudung menyapa dan memaklumkan restoran tersebut masih belum dibuka kerana jarum jam baru menunjukkan pukul 11 pagi.
Apabila diberitahu temu janji sudah dibuat untuk menemu ramah Sharin Low Abdullah, lelaki yang sedang mengelap meja tadi menyapa saya.
“Assalamualaikum, saya ingat pelanggan tadi. Mohon ke dapur sebentar,” katanya dengan penuh sopan.
Itulah Sharin Low, 68, pemilik Restoran Hj. Sharin Low yang mempunyai 24 cawangan selepas lapan tahun beroperasi. Setiap restoran mempunyai sekurang-kurangnya 15 pekerja.
Kejayaan membuka restoran di seluruh Malaysia kecuali Sarawak itu menyebabkan namanya dalam restoran gastronomi Cina Muslim semakin gah.
Ketika ramai pengusaha restoran yang sealiran mengalami kerugian, Restoran Hj. Sharin Low yang menjadikan makanan laut sebagai forte menu di restorannya masih mampu menambat hati pelanggan.
Walaupun menceburkan diri dalam perniagaan itu pada usia 60 tahun, beliau masih mampu menguruskannya seorang diri.
Malah, beliau akan melawat setiap cawangan secara berkala dalam tempoh sebulan bagi memastikan urusan kesemua restorannya berjalan lancar.
Menariknya, Sharin Low menceburkan diri dalam bidang tersebut ekoran niatnya ingin menyediakan ruang bagi golongan Cina Muslim menjamah makanan masakan Cina yang halal selain sebagai satu ibadah.

RESTORAN Hj. Sharin Low dihiasi tanglung dan cat berwarna merah yang sinonim dengan 
masyarakat Cina.


Mesra disapa sebagai Tuan Haji, beliau yang memeluk Islam pada usia 21 tahun telah menghadapi kesukaran mencari restoran makanan Cina halal di negara ini.
“Sebagai Muslim dan saudara baru, menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan keperluan bagi penganut Islam yang lain.
“Tujuan paling utama ialah menyediakan tempat untuk saudara Cina Muslim seperti saya menikmati masakan Cina tanpa rasa was-was dan halal.
“Terdapat sesetengah masakan Cina menggunakan alkohol sebagai penambah rasa dan bahan utama seperti minyak daging khinzir dalam hidangan,” katanya.
Halal bagi Sharin bukan sahaja bebas daripada penggunaan alkohol dan khinzir sebaliknya, melibatkan proses penyediaan ramuan dan aspek kebersihan.
“Jika sumber protein seperti ayam, saya lebih selesa mendapatkan bekalan dari pembekal Melayu atau beragama Islam.
“Mereka lebih faham kepentingan kita menjaga sumber makanan yang halal. Saya yakin, setiap bekalan yang dihantar disembelih terlebih dahulu” katanya ketika ditemui di Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Ampang, Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, hiasan dalaman Restoran Hj. Sharin di Wisma Chinese Chamber itu turut menampakkan pengaruh Cina yang amat kuat.
Tanglung yang digantung dan lukisan kaligrafi Cina memenuhi ruang restoran membuatkan pelanggan seakan-akan menikmati hidangan di China.

HIDANGAN ikan ketutu ini harganya mencecah ratusan ringgit.


Masa berlalu sangat pantas, tepat pukul 12 tengah hari, pintu restoran dibuka dan Sharin Low mempersilakan para pelanggannya yang telah setia menunggu di situ.
Sejurus pelanggan mengambil tempat masing-masing, para pekerja segera meletakkan menu dan memberi ruang kepada pelanggan memilih menu masing-masing.
Harga yang ditawarkan untuk ala-carte adalah berpatutan bermula daripada RM2.50 hingga RM10++.
Sekiranya menjamu secara berkumpulan iaitu maksimum 10 orang, terdapat sembilan hidangan berbeza yang menanti para pelanggan.
Harga yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM800++, namun terdapat juga hidangan lengkap pada harga bermula RM400.
Bagaimanapun, pelanggan boleh membuat tempahan awal mengikut bajet masing-masing.
Melihat pada harga yang dinyatakan, sesetengah pelanggan melabel hidangan di restorannya adalah mahal.
Namun, Sharin Low menafikan kenyataan itu dan memberitahu masakan Cina memerlukan bahan yang banyak dan kepakaran yang tinggi untuk menghasilkannya.
Ekoran itu, kos hidangan adalah tinggi dan menyebabkan harganya agak mahal.
Katanya, bukan sembarangan orang boleh menguasai teknik memasak hidangan Cina.
Dedahnya, sehingga kini, beliau hanya mempunyai seorang cef yang pakar dalam masakan Cina dan ditempatkan di Seremban, Negeri Sembilan.
Cef tersebut mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam kulinari masakan Cina manakala tukang masak di setiap cawangan pula perlu mempunyai pengalaman maksimum lima tahun.
“Menjadi tukang masak hidangan Cina perlu mempunyai pengetahuan. Apatah lagi makanan laut yang dimasak di restoran kami ada yang mencecah sehingga ratusan ringgit seperti ikan ketutu.
“Cabaran kami adalah memastikan rasa asli ikan itu tidak hilang sepanjang proses memasak,” katanya.
Bagaimanapun, beliau sering memberi nasihat kepada pelanggan untuk memilih juadah yang sederhana agar tidak membazir.
Beliau pernah menerima tempahan mencecah harga sehingga RM1,000 melibatkan hidangan dua ekor ikan ketutu termasuk hidangan abalone dan sup sirip ikan yu untuk lima pelanggan.
“Mereka yang menggemari makanan Cina pasti beranggapan harga yang kami tawarkan jauh lebih murah berbanding di pasaran,” jelasnya.

SHARIN LOW bersama isteri, Sofiah Chong (lima dari kanan) dalam satu majlis meraikan 
saudara baru Cina Muslim.


Bahan masakan seperti sayur kailan dan asparagus termasuk buah-buahan akan ditukar setiap hari bagi memastikan kesegaran bahan.
Kini, setiap cawangan restoran Sharin Low mempunyai maksimum 200 resipi berbeza. Setiap tahun, ia pasti ditukar dengan resipi baharu.
Bagaimanapun, masih terdapat 600 resipi yang belum diperkenalkan kepada umum.
Sharin Low mengambil langkah mudah untuk melupakan hidangan yang memerlukan penggunaan alkohol dan item yang tidak halal.
Ini kerana, beliau pernah mereka sendiri ramuan bagi menggantikan alkohol dengan jus buah dan jus sparkling tetapi tidak berjaya.
“Masakan asli Cina tidak boleh diubah. Jika diubah rasanya masih sedap tetapi ia tidak mampu bertahan lama sama ada dari sudut kesegaran ramuan ataupun rasa masakan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azmah Abdul Wahad, 33, berkata, makanan Cina menjadi pilihannya kerana berkhasiat dan lazat.
Hal ini kerana kebanyakan masakan Cina dimonopoli sajian secara stim dan rebus sekali gus melibatkan penggunaan minyak masak yang minimum.
Kewujudan restoran Cina Muslim, katanya, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk menjamu selera.
Bagaimanapun, dia beranggapan harga hidangan Cina Muslim sebagai mahal tetapi masih mampu untuk dinikmati.
“Sekiranya untuk majlis tertentu rasanya berbaloi untuk menikmati hidangan Cina Muslim. Tetapi sebagai sajian harian ia luar daripada kemampuan bajet,” katanya.

MI KICAP MAT JASAK-IPOH PERAK














MI kicap Mat Jasak masih bertahan selama empat dekad kerana rasanya tidak pernah berubah.
SEBUT sahaja mi kicap Ipoh, pasti terbayang sepinggan mi kuning berkuah kicap dengan tauge, hirisan daun bawang, sos lada dan taburan bawang goreng. Menjadi pelengkapnya ialah semangkuk sup berisi bebola dan filet ikan serta fucuk.
Mi berkuah kicap seperti ini sebenarnya ada di tempat lain cuma bezanya mi kicap di bandar raya Ipoh, Perak memiliki keistimewaan tersendiri. Makanan masyarakat Cina ini telah diubah suai mengikut cita rasa penggemar Melayu.
Keenakan mi kicap terletak pada campuran kuah kicap dan sup yang disediakan. Ada penggemarnya suka mi kicap cair tetapi ada juga gemarkan kuah kicap yang pekat. Semuanya bergantung kepada selera masing-masing.
Mereka yang bukan penggemar sup pula boleh memilih kuah mi kari untuk dimakan bersama mi kicap. Sebab itulah, mana-mana gerai yang menjual mi kicap di Perak turut menyediakan mi kari kepada pelanggan.
Terdapat banyak gerai makan yang menjual mi kicap di sekitar Ipoh, malah ada antaranya dibuka awal pagi hingga tengah malam. Lokasi terbaik hidangan ini bergantung kepada selera penggemarnya.
Bagaimanapun, salah sebuah gerai yang pastinya menjadi tumpuan di bandar raya Ipoh ialah Mee Kari Haji Daud Mat Jasak (atau disebut mi kicap Mat Jasak) yang terletak di Jalan Datuk Onn Jaafar. Lokasinya pula tidak sukar dicari.
Populariti gerai mi kicap ini menyebabkan ia menjadi tumpuan pengunjung setiap hari termasuklah yang datang dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kisah perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak bermula kira-kira 42 tahun lalu. Allahyarham Daud Mat Jasak yang merupakan anak jati Lambor Kanan, Parit ketika itu membuat keputusan berhijrah ke Ipoh bagi memulakan kehidupan baharu.
Beliau bersama isterinya, Allahyarhamah Masitah Abd. Kohor kemudian menetap di Kampung Manjoi, Ipoh dan berniaga mi kari di tepi kaki lima Jalan Datuk Onn Jaafar iaitu lokasi gerai yang sama wujud pada hari ini.

NORHAYATI meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Daud dengan membuka gerai 
seawal pukul 8 pagi.


Setiap hari beliau yang ditemani isteri mengayuh basikal sejauh kira-kira lima kilometer dengan jualan hanya cukup-cukup makan. Hasil pergaulan dengan rakan-rakan berketurunan Cina memberi ilham kepada Daud untuk menjual mi kicap apabila mendapati makanan itu digemari orang-orang Melayu.
Hanya pada tahun 1985 perniagaan mi kicap dan mi kari Daud semakin maju berkat kesungguhan beliau.
Kini, terdapat empat cawangan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak di Ipoh dan Tapah selain gerai asal di Jalan Datuk Onn yang dikendalikan sebahagian daripada sembilan orang anak-anaknya. Daud meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 85 tahun.
Anak ketujuh beliau, Norhayati menguruskan gerai asal bersama seorang lagi adiknya. Gerai ini dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 2 petang dan dibuka semula pukul 4.30 petang hingga 10 malam.
Menurut Norhayati, penyediaan kuah kicap, kari dan sup dilakukan mengikut sukatan tertentu termasuk rempah-ratus. Beliau hanya mengingati sukatan dan cara menyediakannya tanpa merujuk resipi.
Katanya, kaedah yang sama dipraktikkan Allahyarham bapanya dahulu. Operasi hariannya dibantu empat orang pekerja serta anak sulungnya, Mohamad Ashraf Mohamad Raffek, 23.
“Setiap hari kami menggunakan kira-kira 15 kilogram (kg) mi kuning, 12kg kuetiau, 6kg tauge dan kira-kira 1,000 biji campuran bebola dan filet ikan.
“Rasa mi kicap dan mi kari di gerai ini tidak pernah berubah sejak 42 tahun lalu. Ini juga merupakan cabaran kepada kami untuk mengekalkan perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak,” ujar Norhayati.
Sementara itu, Mohamad Ashraf yang merupakan graduan dalam bidang kulinari daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota mengakui cabaran besar untuk meneruskan perniagaan warisan keluarganya itu.
Bagi mempelbagaikan lagi pilihan pelanggan, beliau memperkenalkan pan mi, yi mi dan mi segera bagi menggantikan mi kuning jika diminta pelanggan.
“Sebagai generasi baharu, saya ingin pastikan perniagaan Daud Mat Jasak dapat mengekalkan apa yang telah diberikan kepada pelanggan selama ini,” ujarnya.
Satu lagi lokasi mi kicap yang mendapat tempat di hati penggemarnya ialah gerai mi kicap stadium atau dikenali juga dengan nama mi kicap Cina. Gerai ini antara yang kerap mendapat ulasan positif daripada penggemarnya di laman blog percutian dan makanan.
Gerai bernombor 98 ini terletak di Medan Selera Stadium Ipoh berdekatan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh.
Mi kicap di sini disediakan hampir sama seperti mi kicap masyarakat Cina kerana pengusahanya, Harman Rashidi, 34, mewarisi resipi ibunya yang berketurunan Tionghua.
Hidangan asasnya ialah mi kuning berkuah kicap pekat, sambal lada dan kuah sup berisi dua keping filet ikan. Ada juga pelanggan yang memesan kedua-duanya iaitu sup dan semangkuk kuah mi kari.
Sepinggan mi kicap berharga RM5, manakala tambahan bahan-bahan di dalam sup seperti bebola ikan, bebola sotong, bebola udang dan isi ketam pula dikenakan harga tertentu.

Para pelanggan sangguh datang dari jauh semata-mata ingin menikmati mi kicap Ipoh.


Menurut Harman, keluarganya mula berniaga mi kicap dan mi kari kira-kira sedekad lalu bermula di Silibin dan kemudian ke Manjoi sebelum berpindah ke gerai sedia ada pada tahun 1998.
Katanya, perniagaan keluarga itu diusahakan secara kecil-kecilan dan tidak berhasrat untuk membuka cawangan lain.
“Gerai ini dibuka setiap hari bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan waktu paling sibuk antara pukul 8 hingga 10 pagi iaitu pelanggan datang untuk bersarapan.
“Pernah juga pelanggan datang ramai secara berkumpulan menyebabkan kami tidak menang tangan melayan mereka,” ujarnya yang memberitahu, perniagaan itu hanya dibantu oleh ahli keluarga.
Akuinya lagi, mi kicap menjadi antara makanan yang cukup digemari di bandar raya itu dan sebagai anak jati Ipoh, beliau amat berbesar hati apabila dapat menyumbangkan sesuatu yang boleh melonjakkan nama tempat kelahiran sendiri.
Sementara itu, penggemar mi kicap, Nur Athiqah Ahmad Bahalal, 26, memberitahu, dia kerap berkunjung ke beberapa gerai di bandar itu kerana setiap satunya memiliki keistimewaan tersendiri.
“Saya tidak mempunyai gerai pilihan dan ada ketikanya mengikut pilihan rakan-rakan. Misalnya, ke gerai mi kicap stadium kerana terletak tidak jauh dari pejabat.
“Di gerai ini, saya menggemari supnya bersama filet dan bebola ikan terutama semasa disajikan panas-panas,” ujar eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Seorang lagi penggemar, Siti Nor Amira Othman, 26, memberitahu keunikan makanan itu telah meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan tempatan sekali gus menjadi kebanggaan warganya.
Jelasnya, beliau berbangga kerana keenakan mi kicap Ipoh dikenali sehingga ada rakan-rakannya dari negeri lain sanggup datang bercuti di Ipoh semata-mata untuk mencubanya.

Tuesday, November 11, 2014

CUPCHAI CAFE & BISTRO-BBU JB

Variasi makanan yang disediakan bermula daripada kopi, ais kacang, nasi kukus, kacang pool hinggalah makanan barat menjadikan Cupchai Cafe & Resto (Cupchai) sebagai sebuah lagi lokasi menarik untuk dikunjungi remaja.
Pendek kata, Cupchai merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh penggemar makanan tempatan dan barat, selain menjadi lokasi persinggahan bagi remaja yang menggelarkan diri mereka ‘hipster’ untuk bersantai dan melahirkan kreativiti mengambil gambar makanan dan kopi seperti trend terkini.
Menggunakan konsep ‘Good Stuff Eatery’, Cupchai mahukan para pelanggannya yang terdiri daripada semua golongan termasuk pelajar, eksekutif atau sesiapa sahaja yang mahu datang dan bersantai sambil menikmati pelbagai hidangan yang enak.
Terletak di Jalan Padi Emas, Uda Business Centre, Johor Bahru dan berdekatan dengan gedung kain Jakel memudahkan lokasi ini dikunjungi. Selain menjadikan hidangan kacang pool yang diadun khas bersama rempah ratus sebagai menu istimewa, Cupchai boleh dikatakan antara kafe dan restoran yang memahami kehendak serta cita rasa pelanggan hari ini.
Menurut pemiliknya, Safarizul Azhar Saparuddin, dekorasi Cupchai mengekalkan elemen semula jadi seperti penggunaan batu dan kayu. Rekaan dalaman tidak menggunakan perkhidmatan pereka dalaman, malah pemiliknya sendiri mengilhamkan rekaan dan tema kafe tersebut.
“Hanya kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh tenaga kerja asing. Saya juga menghasilkan sendiri meja dan kerusi yang diperbuat daripada kayu-kayu pallet terbuang. Kebanyakan perabot juga dihasilkan sendiri bersama adik saya.
“Tidak dinafikan bahawa kami memang tiada pengalaman dan kemahiran dalam bidang pertukangan, tetapi kami sangat menggemari konsep DIY. Malah perkara ini merupakan satu kepuasan buat kami kerana dapat menghasilkan sendiri hiasan untuk Cupchai,” katanya.
Istimewanya juga, kafe dan restoran ini menggunakan konsep layan diri di mana reka bentuk kaunter minuman dan makanan seperti di kantin. Para pelanggan dapat melihat sendiri bagaimana kakitangan Cupchai menyediakan makanan dan minuman sehinggalah nama mereka dipanggil apabila hidangan sudah tersedia.
Selain daripada hidangan yang menyelerakan, ditambah dengan suasana dan persekitaran yang cukup selesa, harga makanan dan minuman yang ditawarkan juga sangat berpatutan serta cukup berbaloi untuk dinikmati.
Di samping itu, terdapat juga kemudahan-kemudahan lain yang disediakan untuk para pelanggan seperti WiFi, Astro serta permainan kad.
Waktu operasi Cupchai bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 malam. Bagi anda yang mahu mendapatkan segala informasi mengenai Cupchai, boleh ikuti mereka di Facebook dan Instagram, Cupchai Cafe & Resto.
Selain itu, jika anda berminat untuk membuat tempahan, hubungi Cupchai di talian 072446165 atau emel, cupchai.caferesto@gmail.com. – FATIEHAH

Monday, November 10, 2014

PETRONAS LANCAR PCP 5 BILLION

Hasni Mohammad (dua dari kiri) bersama Roland Fischer (kiri) dan
Hasni Mohammad (dua dari kiri) bersama Roland Fischer (kiri) dan Wan Zulkiflee Wan Ariffin 
melakukan upacara pecah tanah tapak PCP di Pengerang, Kota Tinggi di Johor, semalam

KOTA TINGGI 3 Nov. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hari ini melancarkan projek Stesen Janakuasa Penjanaan Bersama Pengerang (PCP), satu daripada komponen utama dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang dianggarkan bernilai RM5 bilion.
Projek tersebut merangkumi pembinaan empat stesen janakuasa dengan yang pertama dijangka siap pada pertengahan 2017, dibangunkan oleh sebuah konsortium terdiri daripada Siemens AG, Siemens Malaysia dan MMC Engineering Sdn. Bhd.
Naib Presiden Infrastruktur dan Utiliti Petronas, Ir. Pramod Kumar Karunakaran berkata, PCP yang menyasarkan beroperasi sepenuhnya pada 2019, bakal memainkan peranan penting dalam membekalkan wap dan kuasa yang mencukupi bagi kelancaran PIC.
"PCP yang merupakan antara komponen utama PIC ini apabila siap kelak mampu menghasilkan kuasa 1,220 megawatt dan dapat menyediakan bekalan wap sehingga 1,480 tan sejam sekali gus menjadikan ia stesen janakuasa penjanaan terbesar di rantau ini.
"Projek tersebut juga dijangka menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan kemahiran," katanya pada majlis pecah tanah PCP yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuasa dan Gas Siemens AG, Dr. Roland Fischer.
PCP merupakan antara enam komponen utama PIC selain projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) oleh Petronas yang dibangunkan di atas tanah seluas 2,500 hektar dengan pelaburan melebihi RM89 bilion.
Petronas merupakan pelabur utama di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang di sini, kawasan yang bakal dibangunkan sebagai hab minyak dan gas negara sekali gus menjadi satu daripada penyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
Pramod Kumar berkata, menerusi kerjasama konsortium tersebut, beliau yakin pihak terlibat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkaitan selain mempunyai kemampuan, dapat menjalankan projek PCP berkenaan dengan jayanya.