Rasa daging itik memang sedikit kenyal tetapi dengan adunan rempah ratus dan cukup segala perasa, mampu menghilangkan bau hamis yang ada pada itik. Malah bagi mereka yang pertama kali merasainya pasti tidak tahu ia adalah daging itik.
Menurut pemilik Chicken Rice Guys, Firman Fauzi, 34 dan Imran Audi Mohd Onn Yap, 24, mereka bermula dengan gerai nasi ayam stail Hainan di hadapan restoran mereka sekarang di Jalan Zirkon 7F/F, Seksyen 7, Shah Alam.
“Walaupun baru setahun kami memperkenalkan itik goreng berempah dengan nasi ayam tetapi mampu menarik ramai pelanggan tetap yang gemar meratahnya,” kata Firman.
Pada mulanya mereka hanya menjual nasi ayam dan apabila pelanggan bertambah ramai dan kebetulan kedai ini mahu disewakan, mereka berdua terus membuka restoran di kawasan berhampiran.
Kedua-dua sepupu membuka restoran ini memandangkan kesukaran mendapatkan makanan Cina yang halal seperti yang dimakan semasa kecil bersama keluarga.
“Saya pernah mencari nasi itik tetapi kebanyakkannya tidak halal menyebabkan kami berdua mengambil keputusan memasukkan itik dalam menu. Mulanya hidangan itik hanya pada Khamis dan Jumaat tetapi atas permintaan pelanggan kami memasak itik goreng berempah setiap hari.
“Semua hidangan dimasak seperti di rumah malah bagi mi kari, kami mengopek kerang setiap hari bagi mendapatkan rasa kerang yang segar bagi kepuasan pelanggan.
“Kami juga menggunakan teknik memasak tersendiri bagi mendapatkan ayam kukus yang enak,” kata Imran merangkap chef di restoran ini.
Restoran yang dibuka pada 17 Mac tahun lalu menghidangkan pelbagai menu termasuk roti bakar kaya mentega, ban benggali, wantan goreng, mi udang, mi kari putih dan mi wantan kicap yang amat digemari oleh kanak-kanak kerana tidak pedas.
Pelanggan juga boleh memilih pelbagai minuman istimewa seperti crush ice coffee, teh lemon ais, limau asam boi, ribena soda laici dan minuman panas.
Menurut Firman selain restoran, mereka juga sedia menerima pelbagai tempahan seperti katering malah bersedia menghantar pesanan sekitar Shah Alam.