Resepi rahsia daripada rempah ratus, cili, bawang goreng dan serbuk perasa cili sos yang dijadikan kuah mi rebus, pastinya membuka selera mereka yang berkunjung ke restoran ini.
Keenakan mi rebus Mastan Ghani mendapat sambutan sehingga restoran itu mampu membuka empat cawangan di sekitar bandar Teluk Intan antaranya di Taman Intanova di sini dan satu lagi di Silibin, Ipoh.
Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 1961 di sebuah kedai sederet di Jalan Selat, Padang Tembak berdekatan Masjid Melayu kira kira 200 meter dari Menara Condong, seakan-akan menjadi kemestian kepada pengunjung ke bandar ini untuk singgah di Restoran Mastan Ghani.
Diasaskan oleh Mohamed Mastan Ghani bersama anak-anaknya, mi rebus dan rojak yang dihasilkannya menjadi kegemaran semua kaum termasuk pelancong asing.
Setelah pernah melalui saat jatuh bangun dalam perniagaan, kini jenama mi rebus dan rojak terus unggul dan bertahan, malah kini dimajukan lagi oleh cucu Moha­med Mastan, Mohamed Dani Mohd. Sultan, 37.
Mohamed Dani, yang juga seorang kontraktor berjaya di daerah ini berkata, beliau sentiasa berusaha untuk menambah baik perniagaan hasil resepi warisan datuknya.
Menurutnya, dia mahu melihat Restoran Mastan Ghani menjadi tumpuan semua kaum untuk menjamu selera.
Justeru itu, beliau mengakui sentiasa menerima idea dan teguran membina daripada pelanggan kerana restoran tersebut disifatkannya sebagai milik semua kaum.
“Semua pandangan dan idea yang diberikan oleh pelanggan akan dijadikan garis panduan kepada pekerja restoran bagi memenuhi kehendak dan cita rasa mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, para pelanggan mengakui keenakan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani.
Ahmad Khair Omar, 61, berkata, mi rebus Mastan Ghani mempunyai kelainan kerana diadun dengan ramuan yang mempunyai aroma yang tersendiri.
Katanya, mi rebus yang dihasilkan di restoran Mastan Ghani membuka selera dan pelanggan yang pertama kali merasainya, pasti akan datang lagi.
Menurutnya, dia sudah menjadi pelanggan tetap Restoran Mastan Ghani sejak tahun 1960-an lagi ia­itu ketika restoran berkenaan menjalankan perniagaan di Jalan Selat, dekat Padang Tembak.
“Ketika itu apa yang menjadi tarikan pelanggan ialah mi rebus dibungkus dalam daun pisang," katanya.
Subramaniam, 59, pula memberitahu, dia mula merasai keenakan mi rebus Mastan Ghani sejak 10 tahun lalu.
Katanya, keenakan mi rebus itu terletak pada kuahnya yang pekat.
“Saya selalu membawa keluarga dan anak-anak yang balik dari Kuala Lumpur menikmati mi rebus di restoran ini,” katanya.
Fauzai Osman, 56, berkata, selain keenakan mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani, layanannya juga memuaskan hati pelanggan.
“Pekerja di restoran ini baik, cepat dan bersopan. Restoran ini juga bersih dan tersusun,” katanya.