Di Malaysia, penyakit hati berlemak dikategorikan kepada dua iaitu steatosis alkohol (pengambilan alkohol berlebihan) dan hati berlemak bukan alkoholik atau lebih dikenali sebagai NAFLD.
Kajian menunjukkan NAFLD menjadi penyakit kronik utama dalam kebanyakan negara industri seperti di Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.
Di negara ini pula, 80 peratus individu yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti menghidapnya.
NAFLD merupakan sejenis gangguan hati kronik yang merangkumi penyakit hati tanpa pengambilan alkohol yang serius.
Susulan itu, penghidap berisiko mendapat fibrosis, steatosis bukan alkoholik (NASH), kegagalan hati dan kanser hati.
Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun kepada kanak-kanak kecil, penyebab sebenar NAFLD masih belum diketahui.
Begitupun, penyakit tersebut berkait rapat dengan obesiti, kencing manis melitus (DM) jenis 2, dyslipidemia (tahap kolesterol yang tinggi terutama triglyceride) dan sindrom metabolik (MS).
Presiden Yayasan Hepar Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kesedaran di negara ini tentang NAFLD dan bahayanya masih lagi kurang.
Sedangkan katanya, penyakit tersebut boleh wujud sejak bertahun-tahun tanpa dikesan sehinggalah pemeriksaan rutin dijalankan.
“Pada kebiasaannya pesakit yang mempunyai risiko untuk menghidap NALFD akan di kesan mempunyai keganjilan pada ujian darah fungsi hati atau kadar ALT atau AST yang tinggi.
“Namun pada sesetengah pesakit, biopsi hati mungkin dijalankan untuk memastikan kewujudan lemak pada hati dan tahap penyakit tersebut.
“Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Malah pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
“Pada tahap tersebut, penyakit ini mungkin sudah berevolusi ke peringkat yang seterusnya seperti pembentukan parut pada hati (sirosis) atau lebih teruk lagi boleh berlaku iaitu kanser hati,” katanya ketika majlis perbincangan bersama media tentang NAFLD dan kesedarannya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ujar Dr. Mohd. Ismail lagi, dalam kebanyakan kes , NAFLD tidak menyebabkan berlakunya apa-apa tanda atau gejala sehingga mencapai tahap yang lebih malignan yang menyulitkan diagnosis.
Keadaan yang tidak disedari ini akan berlarutan dalam jangka masa yang panjang.
Terdapat juga peratusan kecil kes yang menunjukkan penghidap mengalami keletihan, berat badan berkurangan, hilang selera makan, nausea, sakit di bahagian perut, dan penyakit kuning (jaundis).
Di Malaysia, golongan yang berisiko menghidap NAFLD adalah mereka yang obes, jantina lelaki dan berketurunan India, kerana kajian menunjukkan mereka berada di tahap pertama dalam peratusan kes yang telah berlaku.
“Hati adalah organ yang berfungsi untuk menukar lemak yang dimakan kepada jenis lemak yang digunakan oleh tubuh.
“Bagaimanapun, apabila seseorang itu menghadapi masalah obesiti, keadaannya mempengaruhi metabolisme lemak. Apabila proses metabolisme lemak terganggu, lemak boleh berkumpul di dalam hati dalam jumlah yang berlebihan sehingga mengakibatkan hati berlemak,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas lebih lanjut tentang penyakit tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Malaysia, Datuk Prof. Dr. Nor Shahidah Khairullah berkata, disebabkan kaitan NAFLD yang rapat dengan obesiti dan diabetes, pengubahan gaya hidup kekal sebagai cara yang paling berkesan dalam usaha menangani penyakit ini.
“Pesakit dinasihatkan agar mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat, aktif secara fizikal, dan mengurangkan berat badan yang berlebihan.
“Dalam sesetengah kes, beberapa diet tambahan boleh membantu mengurangkan lemak di hati, namun kajian masih dijalankan untuk menentukan kepentingannya dalam rawatan NAFLD.
“Kajian awal menunjukkan Fospolipid Penitng (EPL) menunjukkan keberkesanan tinggi dalam menangani hati berlemak. Fospolipid dikenali sebagai unit asas dalam binaan membran sel hati yang menyokong fungsi utama organ tersebut,” katanya.
Atas sebab itu pesakit perlu berada pada tahap paling optimum dalam penjagaan penyakit masing-masing, seperti kawalan diabetes yang baik, pengurangan pemakanan berlemak bagi menurunkan tahap kolesterol, dan pengurangan berat badan pada mereka yang obes.
“Senaman dan aktiviti riadah hendaklah digalakkan kepada pesakit kerana senaman adalah berkesan untuk mengurangkan sel lemak di hati.
“Amalan hidup sihat perlu ditekankan. Kajian telah membuktikan bahawa pengurangan berat badan akan membantu pengurangan tahap penyakit hati berlemak pada seseorang pesakit,” ujarnya.
Katanya, sehingga kini, biopsi hati kekal sebagai cara utama dalam menentukan NAFLD dan kaedah-kaedah lain seperti Tomografi Berkomputer (CT), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), Ultrasonografi (US) dan penggabungan teknik, membantu mengesan penyakit ini.
Walaupun banyak kemajuan yang berjaya dicapai ke arah meningkatkan pemahaman tentang NAFLD, sebenarnya lebih banyak lagi penyelidikan perlu dijalankan.
“Ini bagi mewujudkan garis panduan klinikal dan kaedah rawatan rasmi demi menangani penyakit tersebut dengan lebih baik.
“Kerjasama antara semua pihak menjadi kunci utama yang bukan sahaja kepada penyelidikan, tetapi juga bagaimana untuk menghentikan trend kesihatan yang membimbangkan ini.
“Pendekatan yang lebih proaktif ke arah menangani NAFLD yang lebih baik juga perlu dititikberatkan oleh kerajaan, profesional perubatan dan individu itu sendiri.