Apatah lagi jika dimasak dengan resepi tradisi turun-temurun. Sebab itu tidak menghairankan kebanyakan kedai yang menghidangnya senantiasa dipenuhi oleh penggemar ikan ini.
Untuk itu bagi peminat ikan patin masak tempoyak yang dahulunya hanya boleh didapati di sekitar daerah Temerloh, Pahang kini mereka boleh menikmatinya di ibu kota.
Restoran Gobang Maju yang telah membuka cawangan pertamanya di Taman Seri Rampai, Setapak sedia menerima pengunjung terutama peminat masakan asli negeri Pahang.
Dibuka sejak penghujung November lalu, restoran ini menyediakan sajian masakan gulai patin tempoyak yang menjanjikan satu kepuasan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
Menurut Pengurus Restoran Gobang Maju, Muhamad Rizal Muhamad Rosely, beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam industri sajian makanan menyifatkan pembukaan cawangan ini adalah sesuatu yang amat istimewa.
“Tujuan utama pembukaan cawangan ini adalah untuk memudahkan pelanggan menikmati masakan (patin tempoyak) tanpa perlu keluar dari Kuala Lumpur selain tergesa-gesa kerana mengejar masa.
“Saya akui ada pelanggan kebanyakannya datang dari luar Temerloh semata-mata untuk menikmati hidangan ini”, jelasnya.
Restoran pertama mereka di Temerloh sudah beroperasi selama empat tahun sebelum membuka cawangan di sini.
Malah chef utama, Farhan Marzuki didatangkan khas dari Temerloh dan mampu menyediakan masakan panas bermula dari pukul 11 pagi sehingga waktu tamat operasi sekitar 11 malam.
Muhamad Rizal menambah, keistimewaan masakan ikan patin tempoyak ini menggunakan bahan-bahan segar yang dibawa khusus dari Pahang tanpa sedikit pun mengubah cita rasa sebagaimana restoran miliknya yang pertama.
Mengakui bahawa ikan patin mempunyai beberapa spesies tetapi beliau membawa ikan patin dari sangkar ternakan di Sungai Pahang.
“Saya tidak menafikan bahawa patin adalah spesies liar dan ada juga diternak di dalam kolam tetapi apa yang saya sajikan adalah patin bersaiz sama.
“Tujuannya bagi memastikan setiap hidangan mempunyai rasa yang sama selain memudahkan urusan penetapan harga jualan” jelas Rizal.
Restoran Gobang Maju boleh menempatkan seramai kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa di waktu siang. Manakala sebelah malamnya pula bertambah sehingga 250 orang.
Persekitaran kawasan restoran juga luas dan cukup selesa lengkap kemudahan surau serta ruang lot tempat letak kereta.
Selain masakan gulai patin tempoyak, pelanggan juga boleh memilih paih patin bakar atau talapia yang dihidangkan dengan tempoyak.
Gulai daging, udang, ayam goreng berempah, keli goreng, kembung, kerisi adalah antara makanan lain yang disediakan selain pelbagai pilihan ulam-ulam segar dan sayur goreng. Dalam pada itu, Restoran Gobang Maju juga menjual tempoyak segar yang dibawa terus dari Temerloh.
Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh dibuat menerusi telefon 019-9569696/019-9625445.