Dalam masa tidak sampai setengah jam, Chef Sueha keluar dengan pelbagai hidangan seperti nasi himpit goreng dengan sambal ikan, nasi kerabu, ayam panggang suraya, makaroni cili kering, makaroni bersos tomato, spageti seafood, daging limau purut, asam pedas daging tetel dan ikan talapia masam manis bangkok.
Malah ada beberapa menu yang baru saja dicadangkan dua jam sebelum tiba, semuanya dapat disiapkan dengan segera walaupun Chef Sueha terpaksa keluar membeli beberapa bahan mentah untuk menyediakan hidangan.
Berpengalaman sebagai chef di Brunei dan beberapa buah hotel terkemuka di tanah air, Chef Sueha gemar mencuba dan mencipta resipi baharu. Misalnya resipi daging limau purut yang ringkas dan boleh disediakan tidak sampai setengah jam tetapi rasanya amat menyelerakan.
Tidak suka dengan pembaziran, Chef Sueha mencuba kelainan dengan menghasilkan nasi himpit goreng yang dihidangkan dengan sambal serunding ikan yang pada mulanya untuk makan sendiri dan kawan rapat. Tetapi apabila ramai yang memuji kelazatan nasi himpit goreng, beliau cuba memperkenalkan menu ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Mulanya saya goreng nasi himpit kerana sayang makanan yang terbazir apabila sambal kacang dan rendang sudah kehabisan. Jadi saya cuba buat kelainan dan hasilnya memang menakjubkan. Semua orang suka sebab sedap dan mengelakkan pembaziran,” katanya.
Tapi hidangan istimewa di Restoran Suraya Rawang ialah masakan kampung pantai timur. Paling istimewa ialah nasi kukus serta pelbagai hidangan seperti pulut mangga yang menyelerakan.
Restoran yang dibuka pada pukul 8 pagi hingga 12 malam menyediakan hidangan untuk sarapan pagi, set nasi campur bagi makan tengahari dan ala carte pada waktu petang hingga malam.
Lebih istimewa bagi menghargai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan, mereka semua dijemput hadir ke Rumah Terbuka Restoran Suraya Seafood Rawang bagi merasai air tangan Chef Sueha bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang.
Restoran yang terletak berhampiran McDonalds Rawang mula dibuka 1 Mac tahun ini memperkenalkan pelbagai jenis menu yang boleh dipilih pelanggan dari Timur dan Barat malah bersedia menerima tempahan bagi katering untuk majlis rumah terbuka, majlis korporat atau persendirian.