Hartanah hanya merupakan satu subbidang sektor yang mengalami kelembapan manakala sektor lain masih bergerak pada kadar yang konsisten seperti yang dirancang.
Ini semua adalah hasil daripada cerita kejayaan ‘menjual impian’ di peringkat domestik dan antarabangsa pada peringkat awal penubuhannya, yang kini bukan lagi sekadar ‘mimpi’ berdasarkan pelbagai tawaran dan peluang yang disediakan.
Sambil memperakui bahawa usaha memperkenal Iskandar Malaysia pada peringkat awal sangat sukar, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, kejayaan mengetengahkan daya tarikan Iskandar Malaysia dengan pelbagai elemen kepada pelbagai peringkat merupakan usaha yang sangat penting bagi IRDA.
“Sepanjang sembilan tahun lepas, kami dapat simpulkan bahawa Iskandar Malaysia telah berkembang secara konsisten dan berkualiti. Itulah yang sangat pen­ting kepada kami.
“Konsisten dan kualiti menunjukkan Iskandar Malaysia terus kompetitif dengan hakikat bahawa kami dapat mengetengahkan Iskandar Malaysia daripada pelbagai elemen yang menjadikan rantau ini wilayah menarik untuk pelaburan, bekerja serta tempat kediaman,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Menyentuh mengenai cabaran dalam membangunkan Iskandar Malaysia, Ismail berkata, mengimbangi antara pembangunan dan mengekalkan agenda mesra alam dan kelestarian merupakan tugas yang sukar buat IRDA.
“Pada peringkat awal, cabaran­nya banyak melibatkan usaha untuk memenangi hari dan minda orang ramai dan komuniti perniagaan bahawa Iskandar Malaysia sangat penting untuk mereka dan kami sudah melepasi fasa itu.
“Cabaran hari ini pula berkisar kepada sejauh mana kami dapat meyakinkan masyarakat apa yang akan ditawarkan di Iskandar Malaysia (dan) apa lagi yang akan diba­ngunkan oleh kerajaan dari segi ekosistem yang menjadikan Iskandar Malaysia lebih kompetitif serta peluang yang tersedia,” katanya.
Dengan itu, mereka akan mendapat akses kepada pasaran, peluang untuk wujudkan aktiviti ekonomi dalam kelompok itu, bentuk kualiti hidup yang akan disediakan di situ bagi membolehkan penghuninya bukan sahaja dapat menikmati
tahap pendapatan yang tinggi malah kualiti hidup yang sama baik.
Bagi sektor ekonomi, Ismail berkata, sebahagiannya sudah pun bergerak mengikut rentak masing-masing, ada yang ketinggalan, dan menilai kembali perkembangan lain sebelum memulakan projek.
“Sektor yang tumbuh secara konsisten ialah bidang pelanco­ngan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Kami kini hampir memenuhi fasa kedua pelan pembangunan Iskandar Malaysia
“Kini sudah mula menyaksikan, mungkin tiga atau lebih sektor bertapak, kreatif, logistik dan minyak serta oleokimia dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.
Tiga lagi bidang, elektrik dan elektronik, makanan dan pemprosesan makanan serta perkhidmatan perbankan, menjadikan kesemua sembilan sektor dalam pelan induk Iskandar Malaysia, mungkin dimulakan lewat sedikit.
Sambil menjawab kritikal bahawa kewujudan Iskandar Malaysia ‘mengalih’ atau menjejaskan peranan Kuala Lumpur, Ismail berkata, wilayah ekonomi itu membolehkan penerokaan bidang baharu serta menyediakan alternatif untuk komuniti perniagaan.
Mengenai pelaburan baharu tahun ini, Ismail berkata, sasarannya ialah untuk meraih RM30 bi­lion, dengan kira-kira RM5 bilion menerusi logistik, selain sektor perkilangan.
Menceritakan aspirasi masa depan Iskandar Malaysia, beliau berkata, wilayah ekonomi itu matang dalam tempoh 10 tahun, dan rakyat akan menjadi penerima manfaat terbesar.
“Ia seperti papan pemuka, ba­nyak butang yang perlu akan pantau, sama seperti juruterbang yang menerbangkan kapal terbang, beliau tidak boleh hanya melihat satu butang sahaja. Anda perlu memandang banyak butang bagi memastikan pesawat terbang lancar ke destinasinya. Ini samalah dengan Iskandar Malaysia. Itu sebab saya selalu kata Iskandar Malaysia merupakan sebuah perjalanan.
“Pelepasan pada 2005, pendaratan pada 2025, dan di sepanjang jalan, kami perlu memantau papan pemuka bagi memastikan kami tidak terbang separuh kosong, pastikan bahan api sentiasa ada, sistem penyaman udara berfungsi, penumpang selesa, banyak benda yang kami nak buat,” katanya.
Apa sahaja yang berlaku pada masa depan, Iskandar Malaysia pastinya menjanjikan masa depan yang cerah