Bila menyebut masakan Pantai Timur, pastinya Restoran Kelantan Delights menjadi pilihan di sekitar Lembah Klang, diiktiraf antara pakar menyediakan hidangan tradisional tersebut yang bertaraf lima bintang.
Ujar Pengurus Besar Kelantan Delights Holding Sdn. Bhd., Azman Fitton, bersempena bulan Ramadan ini, Restoran Kelantan Delights yang terletak di Citta Mall, Ara Damansara memuaskan penggemar masakan Pantai Timur dengan hidangan bufet berbuka puasa sehingga lebih 80 jenis disediakan setiap hari.
Jangan risau, anda boleh menikmati sebanyak mungkin hidangan signatur mereka seperti nasi dagang, nasi kerabu iaitu nasi yang dimasak dengan air rebusan bunga telang yang turut dimasukkan bersama serai, halia, daun kunyit dan limau itu mencipta aroma yang harum sekali gus membangkitkan selera menunggu waktu berbuka.
Tidak lupa nasi dagang mereka yang sungguh istimewa. Beras perang yang dikukus bersama santan yang dimasak bersama halia, halba, bawang kecil, garam dan gula terlebih dahulu itu yang dimakan bersama gulai ikan tongkol, sungguh menyelerakan.
Begitu juga pelbagai masakan tradisional Malaysia lain. Daripada gulai ikan patin masak lemak tempoyak, siput sedut masak lemak, daging masak hitam, dan ikan tenggiri kari bendi dan banyak lagi, ia cukup untuk memuaskan selera anda.
Selain itu, pelbagai hidangan Thai yang unik turut dihidangkan seperti Miang Kam, iaitu daun kaduk yang dimakan bersama kacang, hirisan kelapa, herba dan cili serta dimakan bersama sos hitam khas, memberikan kelainan kepada tetamu.
Kelainan tahun ini, terdapat gerai masakan secara langsung disediakan di perkarangan Restoran Kelantan Delights seperti char kuayteow, kerang bakar, ikan bakar, gulai kawah, pelbagai jenis sup dan banyak lagi.
Setiap hari, kira-kira tiga hingga empat jenis bubur disediakan iaitu bubur pulut hitam, bubur kacang hijau, bubur cha cha, bubur pengat pisang dan bubur nangka.
Bufet berharga RM77 nett untuk dewasa manakala kanak-kanak dari empat hingga 11 tahun pula hanya RM38.50 seorang. Untuk keterangan lanjut dan tempahan, hubungi 03-78316152, 010-7984616, 013-2177001 atau 019-6716135.