Berpuasa jelas Dr. Beni akan melatih seseorang, untuk hidup lebih teratur, serta mengelakkan makan secara berlebihan. Kajian yang dijalankan di beberapa negara Timur Tengah mendapati puasa dapat menyihatkan tubuh kerana makanan berkaitan rapat dengan proses metabolisme tubuh.
“Ketika berpuasa paras kolesterol baik HDL meningkat manakala penurunan LDL yang ternyata sangat bermanfaat bagi kesihatan jantung dan pembuluh darah. Beberapa kajian menunjukkan berpuasa pada bulan Ramadan mempengaruhi terhadap ritma penurunan seperti suhu tubuh, hormon kortisol, melatonin dan glisemia.
Pelbagai perubahan yang walaupun kecil tetapi berperanan dalam meningkatkan kesihatan manusia.
“Keadaan psikologi yang tenang dan tidak dipengaruhi rasa marah semasa berpuasa ternyata dapat menurunkan adrenalin. Ketika marah jumlah adrenalin meningkat beberapa kali ganda,” katanya.
Puasa juga boleh menurunkan kadar gula dalam darah, kolesterol dan mengendalikan tekanan darah. Itulah sebabnya, puasa berpotensi dalam membantu mengawal penyakit diabetes, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi.
Ini adalah antara sebab mengapa selain bulan Ramadan, Islam juga menggalakkan umatnya untuk meneruskan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.
Ini membolehkan manfaat dari berpuasa itu boleh dicapai secara konsisten bukan sahaja dalam bulan Ramadan malah juga untuk sepanjang tahun.
Sepanjang bulan Ramadan ini juga adalah peluang keemasan bagi mereka yang merokok supaya dapat mengurangkan pengambilan rokok secara perlahan-lahan dan berpotensi untuk berhenti terus daripada merokok.
Klinik berhenti merokok juga ada disediakan di IJN. Bagi mereka yang berminat boleh bertanyakan melalui operator IJN di talian 03 – 26178200.
Menurut Dr.Beni lagi, bagi mereka yang ingin meneruskan gaya hidup yang sihat selepas bulan Ramadan sambil membuat pemeriksaan tahap kesihatan jantung mereka dan saringan penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan hiperlipidemia boleh menghubungi ‘Wellness Centre IJN’ no. telefon 03 26006421 atau e-melheart@ijn.com.my untuk temu janji dengan pakar-pakar jantung IJN.