BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, August 25, 2015

RESTORAN BISIK-BISIK-SEKSYEN 7 SHAH ALAM



Restoran Bisik-Bisik yang menawarkan menu istimewanya, mi bandung udang galah yakin pelanggan yang menikmati variasi mi bandung Muar di situ puas hati dengan apa yang terhidang.

Menggunakan pes (perencah) buatan sendiri yang mengandungi pelbagai ramuan serta rasa pedas, manis, lemak, masin dengan aroma yang mendatangkan selera kepada peminatnya, tentunya mi bandung di Restoran Bisik-Bisik akan menjadi bualan ramai.

Udang galah pengikat selera

Bisik-bisik hanya hidang makanan yang terbaik untuk pelanggan setia

Hidangan yang masih panas itu menandakan ia baru sahaja dimasak. Kecur air liur dibuatnya pabila diberi peluang mencuba sendiri keenakan mi bandung udang galah di Restoran Bisik-Bisik.

Udang galah yang bersaiz XXL mengejutkan penulis. Begitu besar dan sangat sedap bila dimakan. Memang meletoplah makanan yang dihidangkan.

Pemilik Bisik-Bisik, Norhaliza Md Yusof, 31 berkata, mi bandung udang galah adalah menu istimewa yang ada di restoran ini. Terdapat dua set mi bandung udang galah yang boleh dipilih pelanggan, set pertama berharga RM29.90 (gred A) dan set kedua RM15.90 (gred B).

Gred A merujuk kepada berat udang galah sekitar 300 - 400 gram untuk seekor manakala gred B sekitar 200 - 250 gram seekor.

Norhaliza berkata, kelazatan mi bandung udang galah ini bukan sahaja terletak pada makanan laut itu sahaja tetapi rasa kuahnya yang pekat, pedas dan manis.

"Kita guna pes (perencah) yang dibuat sendiri untuk hasilkan kuah mi bandung ini. Bahan-bahan seperti cili, udang kering, bawang besar, bawang putih, kacang tanah, gula dan garam digunakan untuk buat pes. Setakat ini, sambutan cukup meriah dan ramai pelanggan yang menyukai kuah pekat yang Bisik-Bisik hasilkan,"
katanya kepada Citra.

Mi bandung ketam berharga RM15 sepinggan juga turut menarik perhatian pelanggan bila berkunjung ke Bisik-Bisik. Turut menggunakan kuah yang sama seperti mi bandung udang galah, mi bandung ketam memang mencuri tumpuan juga.

Uniknya lagi, variasi mi bandung di Restoran Bisik-Bisik menggunakan mi yang dihasilkan sendiri oleh seorang bumiputera dari Kampung Jawa, Klang.

"Beliau seorang yang pakar dalam bab pembuatan mi kuning ini. Saya tempah hampir 50 kilo sehari dengannya. Memang mi kuning dia cukup berkualiti dan bermutu tinggi.

Mungkin dek kualiti tersebut, mi bandung di Bisik-Bisik jadi siulan," ujarnya dengan menambah mi bandung Muar RM5, mi bandung udang RM8 dan mi bandung tulang RM7.50 turut dijual.

Selain sajian mi bandung, Bisik-Bisik turut menghidangkan asam pedas Mak Kiah yang memang sedap dan terbaik. Menawarkan beberapa jenis ikan seperti ikan pari, kembong, tenggiri, merah, jenahak dan patin untuk dimasakkan asam pedas. Harga sepinggan sekitar RM8 - RM25 sepinggan, bergantung kepada jenis ikan yang dipilih.

Dalam pada itu, menu lain yang tidak boleh diketepikan adalah kacang pol (roti dan kuah kacang pol) RM6, laksa Johor, sotong kangkung, tauhu bakar, nasi ayam warisan, mi rebus Johor, mi rebus tulang, makanan barat dan masakan panas.

Minuman istimewa

Untuk menghilangkan dahaga, jangan lupa mencuba air kathira JDT dan bandung soda yang masing-masing berharga RM3.50 untuk segelas.

Kedua-dua minuman tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan pelanggan pastinya berpuas hati.

Norhaliza berkata, air kathira JDT begitu istimewa di Bisik-Bisik kerana ia adalah campuran kurma, barli, kembang semangkuk, badam, susu cair dan pandan.

"Warna minumannya hijau dan rasanya seakan daun pandan. Ia bertambah sedap jika dimakan bersama mi bandung udang galah," katanya.

Sementara itu, Norhaliza yang berasal dari Muar, Johor mengharapkan agar Bisik-Bisik menjadi pilihan seisi keluarga dan pelanggan akan gembira dan puas hati dengan segala hidangan dan perkhidmatan yang diberikan oleh kru Bisik-Bisik.

No comments:

Post a Comment