Bunyinya agak mustahil, namun kecanggihan teknologi sedemikian bukan lagi sekadar imaginasi.
Rawatan CyberKnife melalui teknologi Terapi Stereotaktik Radiasi Badan (SBRT), sel-sel barah boleh dimatikan dalam tempoh berkenaan tanpa melakukan pembedahan ke atas pesakit, tanpa sebarang pemotongan, tidak sakit, tidak luka, dan tidak memerlukan bius.
Teknologi yang diperkenalkan sejak 10 tahun lalu di negara ini, berjaya merawat lebih 1,000 pesakit yang menghidap ketumbuhan kecil daripada jenis kanser serta masalah saraf bukan kanser.
Menurut Pengarah Perubatan dan Konsultan Klinikal Onkologis Hospital Beacon,Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A.Wahid, rawatan CyberKnife boleh dianggap sebagai teknologi terkini dalam sejarah perubatan negara, namun masih belum berkembang sepenuhnya kerana kurang kepakaran dalam bidang ini berbanding rawatan GammaKnife atau X-Knife.
“CyberKnife merupakan robot pembedahan berkomputer yang dikawal secara automatik dengan menggunakan sistem pemanduan imej. Sinaran radiasi ditujukan pada sasaran, iaitu kurang daripada 1 milimeter untuk mematikan sel ketumbuhan.
“Ketepatannya boleh disahkan sepanjang rawatan dilakukan walaupun ketika tubuh bergerak, bagi memastikan ia tidak menjejaskan tisu-tisu sihat di sekitar organ yang terjejas akibat ketumbuhan atau kanser.
“Kadar pemulihan menerusi kaedah tersebut juga tinggi berbanding prosedur biasa yang melibatkan beberapa siri pembedahan yang lazimnya mengambil masa berjam-jam dan memerlukan rawatan susulan dalam tempoh yang agak lama,” katanya.
Ujarnya, masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan rawatan ini sedangkan sesetengah penyakit yang selama ini dianggap tidak boleh dirawat atau mempunyai risiko tinggi jika dibedah kini sudah pun boleh dirawat dengan adanya Cyberknife.
Dengan kadar ketepatan mencapai satu milimeter, Cyberknife juga boleh digunakan untuk merawat tumor pada organ lain badan seperti spina, prostat, paru-paru, hati dan pankreas.
Cyberknife juga merupakan satu-satunya sistem seumpamanya yang berupaya mengimbangi pergerakan pesakit iaitu pergerakan dada semasa pernafasan demi memastikan penghantaran yang tepat sinaran radiasi semasa menerima rawatan.
Cepat dan tidak menyakitkan
Menurut Dr. Mohamed Ibrahim, semasa rawatan dilakukan, pesakit berada dalam keadaan yang sedar sepenuhnya sepanjang prosedur yang lazimnya memakan masa di antara 30 hingga 60 minit, bergantung kepada kerumitan kedudukan sel dan tumor yang ingin dihapuskan.
“Sistem pemanduan imej akan mengambil imej sinar X dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan data daripada imbasan CT (CT scan) untuk memastikan radiasi disasarkan dengan tepat ke arah tumor.
“Pesakit diminta untuk tidak bergerak dan mereka tidak memerlukan sebarang suntikan bius dan potongan pembedahan. Pesakit biasanya dibenarkan meninggalkan pusat rawatan sejurus rawatan selesai dan boleh terus memulakan rutin harian mereka seperti biasa.
“Sekiranya doktor mengambil keputusan untuk melakukan beberapa sesi rawatan, pesakit perlu kembali semula untuk rawatan tambahan harian, tetapi biasanya tidak lebih daripada lima kali.
“Selepas rawatan radiosurgeri, susulan dengan imbasan CT dan MRI akan dilakukan dalam tempoh dua hingga enam bulan yang akan diterangkan kepada pesakit tentang prosedur berkenaan pada akhir rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, disebabkan Cyberknife menggunakan pancaran berganda radiasi yang bertenaga tinggi dan disasarkan pada kedudukan tumor, proses ini berjaya meminimumkan pendedahan radiasi terhadap tisu-tisu normal yang sihat di sekeliling tumor yang dirawat.
Oleh itu, boleh dikatakan pesakit hampir tidak mempunyai kesan sampingan selepas rawatan.
Katanya, keputusan keberkesanan rawatan tidak boleh dilihat serta merta kerana objektif rawatan dijalankan adalah untuk mengawal pertumbuhan tumor.
Kesannya boleh dilihat seawal beberapa minggu sehinggalah kepada beberapa bulan bergantung kepada keadaan semula jadi tumor sama ada terus musnah atau mengecil.
Memahami rawatan kanser boleh memberi tekanan yang berat kepada pesakit dan keluarga, kesedaran kepada rawatan yang lebih mudah dan cepat perlu diberi perhatian agar pesakit dapat dirawat dalam keadaan yang lebih selesa sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung.
“Walaupun CyberKnife boleh dilaksanakan pada peringkat kritikal kanser namun pesakit digalakkan untuk melakukan pengesanan awal dan mendapatkan rawatan segera kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawati.
“Apa pun, pilihan rawatan bergantung kepada pesakit dan perlulah disyorkan daripada pakar perubatan mereka,” katanya.
Hospital Beacon, yang beroperasi sebagai pusat rawatan kanser, merupakan satu-satunya institusi perubatan yang menyediakan kemudahan Cyberknife di rantau Asia Pasifik, sejak tahun 2005 lagi.