Terletak di kawasan strategik dan mampu menampung seramai 40 orang pada satu-satu masa, restoran ini pastinya dapat memenuhi selera sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa serta umur.
Boleh memilih sama ada ingin menikmati sepinggan nasi campur bersama pilihan lauk-pauk yang lebih daripada 50 jenis atau makanan berasaskan mi seperti mi kari atau pun laksa, pelbagai jenis bubur, nasi ayam serta nasi lemak, pasti membuatkan anda rambang mata untuk memilih yang mana satu untuk memenuhi selera.
Menyediakan pelbagai pilihan masakan lauk pauk panas, Restoran Nana mampu menggamit para pelanggan untuk singgah menjamu selera di situ.
Tidak lokek untuk memberikan yang terbaik buat para pelanggannya, pemilik restoran tersebut, Suzana Mohd. Nasir, 33, sanggup berulang alik ke pasar borong empat kali sehari semata-mata untuk membeli bahan-bahan segar.
Katanya, senario tersebut berlaku sejak mereka ditipu pembekal yang membekalkan barang-barang tidak segar dan busuk.
“Restoran ini menawarkan sajian daripada sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, dan makan malam jadi apa jua yang kami sediakan merupakan sajian panas.
“Dan sudah pasti kami ingin menyajikan hidangan yang enak dan berkualiti agar pelanggan yang datang makan berpuas hati seterusnya mengunjungi lagi restoran ini.
“Disebabkan alasan ini jugalah membuatkan kami mengambil keputusan untuk membeli sendiri bahan-bahan mentah dan basah kerana kami pernah ditipu pembekal dengan membekalkan bahan-bahan yang lama dan busuk dan bagi memastikan bahan-bahan yang dibeli adalah segar dan berkualiti kami berulang alik empat kali sehari ke pasar borong untuk membeli bahan-bahan keperluan harian,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Memberitahu akan ke pasar borong seawal 4 pagi untuk membeli sayur, kunjungan kali kedua Suzana ke pasar borong adalah sekitar pukul 11 pagi untuk membeli ikan.
Seterusnya Suzana akan pergi semula pada pukul 2 petang untuk membeli ayam sebelum yang terakhirnya pada pukul 9 malam untuk membeli pelbagai jenis mi.
Begitulah rutin harian Suzana dan juga suami, Nur Firdaus Beh Abdullah dalam usaha memberikan yang terbaik kepada para pelanggan mereka.
Memulakan operasi pada 6 Oktober 2013, Suzana menambah restorannya dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 9.30 pagi hingga 9.30 malam.
Apa yang menarik dan boleh diperkatakan mengenai Restoran Nana ini, lauk-pauk untuk sajian nasi putih yang dimasak selain kuantitinya sedikit, kebanyakkannya adalah gabungan antara masakan Melayu dan Cina.
Ingin memberikan kelainan kepada para pengunjung, Suzana sanggup ‘mengembara’ mendapatkan resipi serta bagaimana satu-satu makanan itu dimasak terutama sekali masakan Cina.
Turut dibantu oleh suami tercinta, Suzana bertuah kerana suaminya merupakan seorang mualaf dan disebabkan itu jugalah antara alasan kenapa dia membuka restoran yang menyajikan masakan Melayu dan Cina.
“Kami berdua suka makan dan suami pula apabila memeluk agama Islam masih ingin menikmati hidangan Cina dan sudah pasti masakan Cina yang halal susah untuk diperoleh.
“Jadi mahu atau tidak saya ‘terpaksa’ belajar memasak masakan Cina dan dari situ jugalah kami dapat idea untuk membuka restoran yang menawarkan masakan Cina halal.
“Nampaknya usaha kami tidak sia-sia dan setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan malah kami juga mempunyai pelanggan tetap,” tuturnya.
Bercerita pula mengenai masakan yang dimasak hanya dalam kuantiti yang sedikit, ulas Suzana, ini kerana mereka ingin memberikan masakan segar kepada pengunjung.
Ini dimana apabila lauk yang dimasak awal habis, pihaknya akan memasak semula masakan yang sama untuk para pengunjung yang seterusnya dan ia bermakna para pengunjung akan sentiasa disajikan dengan masakan panas dan segar