Salah satu makanan Hungary yang popular di sini ialah kalacs, sejenis pastri roti dan kek. Makanan ini sudah wujud sejak kurun ke-19 lagi dan pada awalnya kalacs hanya dibuat khusus ketika perayaan. Kini kalacs menjadi makanan harian di Hungary.
Roti ini memiliki tekstur yang garing di luar dan lembut di dalam. Menariknya, roti ini mempunyai sos istimewa dan pelbagai perisa.
Menurut Pengurus Secret 009, Siti Mariana Sirun, roti ini mengambil masa 40 minit untuk dibakar sebelum sedia dimakan.
“Kami akan menambah pelbagai perisa seperti kacang, coklat, badam, kelapa, bijan dan sebagainya.
“Ramai yang gemar memakan roti ini ketika panas dan baharu dibakar daripada oven. Kebiasaannya, roti ini lazat dimakan bersama teh organik atau kopi Hungary pada sebelah petang. Pun begitu, ada juga yang memakannya untuk makanan tengah hari,” katanya.
Kalacs dihasilkan menggunakan bahan asli, tiada pengawet dan tanpa bahan tiruan.
Selain kalacs, Secret 009 turut menghidangkan menu lain seperti mutton gulyas iaitu daging kambing atau ayam gulyas yang dimakan bersama nokedli iaitu nasi Hungary.
Asli
Terdapat juga menu lain seperti ayam gril minyak zaitun, kobis masam dan pemanis mulut.
“Kami menghasilkan makanan ini menggunakan 100 peratus resepi daripada Piroska. Beliau akan memastikan makanan yang dihasilkan asli dan menggunakan bahan-bahan yang betul. Bahkan mi dan nokedli yang dimasak, kami buat sendiri,” ujarnya.
Tambah Siti Mariana, kafe ini merupakan yang pertama menampilkan makanan asli Hungary di negara ini.
Bercerita lanjut tentang konsep kafenya, Siti Mariana memberitahu, Secret 009 menampilkan konsep kiosk. Kafe ini turut menampilkan ciri hiasan dinding, kerusi dan meja artistik untuk memastikan pelanggan menikmati makanan seperti berada di Hungary.
Dalam pada itu, Siti Mariana turut mempelawa mereka yang berminat menjadi rakan perniagaan untuk membuka cawangan lain Secret 009.

INFO
Secret 009,
UG Level Lot 26,
Block C, Solaris Dutamas,
No 1, Jalan Dutamas 1, 50480, Kuala Lumpur, WP
Telefon: 03-62065105/012-6077846
secret009kalacs@gmail.com
www.secret009kalacs.com