BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, September 8, 2013

RESTORAN BALI-BALI GARDEN-KOTA KINABALU

DR. Alan (tengah) ditemani Chef Roslan (kanan) menunjukkan hidangan empat serangkai 
dan ayam rica-rica yang menjadi pilihan 
pengunjung.

BAGI mereka yang ingin menikmati sajian khas masyarakat Bali di Indonesia tetapi mempunyai kekangan kewangan dan masa untuk menikmati hidangan itu di bumi Bali, kini semuanya tidak menjadi masalah apabila hidangan lazat tersebut boleh dijamah di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah.
Berkonsepkan dekorasi Bali, restoran Bali-Bali Gardens bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu itu pastinya memberikan kelainan dari segenap segi termasuk makanan dan persekitaran yang seolah-olah seperti pengunjung berada di Bali.
Restoran unik yang pertama di Sabah itu juga menyediakan pelbagai makanan dari Indonesia termasuk dari Sulawesi, selain tidak lupa menyediakan sajian Melayu dan Barat.
Pengalaman melangkah masuk ke restoran milik Dr. Alan M. Raman itu memberikan makna tersendiri kepada penulis. Ini kerana penulis dapat merasakan seolah-olah berada di tengah kesibukan destinasi pelancongan terkenal Bali.
Mana tidaknya, ini kerana segala hiasan dan reka bentuk Bali yang asli, selain iringan alunan muzik irama dari Bali menanti para tetamu yang ingin menjamu selera di situ.
Bagi menambahkan lagi hiburan dan keriangan kepada pelanggan restoran, beberapa penghibur tempatan asyik mendendangkan pelbagai lagu tempatan dan luar negara yang menghiburkan.
Sentuhan hidangan yang diketuai oleh Chef Roslan Adnan yang berketurunan Jawa dan berpengalaman lebih 30 tahun sebagai chef hotel lima bintang, menjadikan setiap ringgit yang dibelanjakan di restoran itu amat berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Antara hidangan cita rasa Bali yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah nasi ayam bertutu, nasi goreng lilit, ikan bakar bumbu dan bebola daging Bali-Bali.
Selain itu, hidangan Indonesia lain yang menjadi pilihan adalah nasi ayam Rica-Rica yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Menurut Chef Roslan, kesemua masakan berkenaan menggunakan resipi istimewa Bali dan Indonesia, selain resipi tersendiri hasil pengalaman dan penyelidikan yang dilakukannya.
Tambahnya, setiap masakan akan dibuat dengan teliti supaya tidak menjejaskan rasa dan keenakannya, selain faktor kebersihan dan kesegaran yang sentiasa diberi perhatian.
"Contohnya ayam bertutu Bali dimasak dua kali menyebabkan rasanya begitu lembut, ditambah dengan sos resipi istimewa Bali yang pastinya membuatkan pengunjung berpuas hati.
"Selain itu, ayam Rica-Rica yang merupakan hidangan Sulawesi juga pastinya membuatkan pelanggan tertawan dengan rasanya yang enak selepas dimasak bersama tomato segar yang merupakan resipi tersendiri," katanya.
Tambahnya, bagi memastikan kelainan dalam rasa makanan berbanding di tempat lain, kebanyakan hidangan asas seperti bebola daging diproses sendiri dengan mengutamakan kualiti dan kesegaran.
"Bebola daging yang dihasilkan sendiri mempunyai cita rasa tersendiri dengan rasa daging yang segar dan sate lilit juga amat berbeza sekali apabila kami menggunakan batang serai sebagai lidi yang memberikan rasa dan bau yang enak kepada juadah itu," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Alan yang turut menguruskan sebuah klinik di bandar raya ini berkata, idea untuk mewujudkan restoran bertemakan Bali itu muncul kira-kira enam tahun lalu selepas beliau melanjutkan pengajian di Bali, Indonesia.
Katanya, tarikan dan kelazatan hidangan Bali dan Indonesia yang dilihat berjaya menarik minat pelancong antarabangsa membuatkannya bertekad untuk merealisasikan sebuah restoran Bali di Sabah.
"Hasil usaha keras bersama ahli keluarga yang lain maka restoran yang turut mendapat sentuhan reka bentuk daripada adik saya iaitu Adam M. Raman yang merupakan arkitek di Lakar Design Studio berjaya merealisasikan sebuah restoran berkonsepkan Bali ini," katanya.
Beliau memberitahu, restoran halal yang boleh memuatkan 300 pengunjung dalam satu masa itu turut menyediakan dewan mini dan bilik mesyuarat, selain boleh digunakan untuk pelbagai acara termasuk perkahwinan dalam taman.
Sebarang maklumat lanjut mengenai restoran berkenaan boleh menghubungi Bali Bali Gardens di talian 088-232678 atau melalui Facebook, Bali Bali Gardens restaurant atau e-mel di alamat infobalibaligardens@gmail.com.

BUKU ILHAM CHEF

Seramai 15 chef yang terlibat menyiapkan buku resipi Amazing Inspirations.

UMUM mengetahui bahawa chef-chef tersohor memiliki pengetahuan meluas mengenai sajian serta pengalaman kulinari yang mendalam. Pengetahuan ini sebaiknya dikongsi bersama dengan orang lain terutamanya dengan mereka yang turut berminat dalam bidang masakan.
Maggi turut mempercayai nilai baik ini dan untuk itu telah bekerjasama dengan Persatuan Chef Malaysia (CAM) bagi menghasilkan buku resipi yang bertujuan untuk memberi ilham kepada chef-chef muda di dalam industri ini.
Buku yang diberi judul Amazing Inspirations ini bukan sahaja menonjolkan chef-chef terbaik negara dan memaparkan kemahiran memasak pemimpin industri ini, tetapi turut memberikan sedikit pemahaman mengenai asal-usul dan falsafah masakan mereka.
Chef-chef profesional ini juga berharap supaya chef-chef muda akan terpengaruh dan mendapat ilham dengan kisah-kisah, resipi dan teknik-teknik yang dipaparkan untuk menghasilkan ciptaan yang lebih kurang sama atau yang tersendiri.
Bagi menjadikan buku ini satu realiti, 15 orang chef tersohor negara yang masing-masing terkenal dengan kecemerlangan masakan mereka telah turut bekerjasama.
Mereka adalah Chef Chern Chee Hoong (Presiden Persatuan Chef Malaysia), Chef Antoine Rodriguez (Hotel Le Meridien Kuala Lumpur), Chef Arthur Heng (Hotel Concorde Kuala Lumpur), Chef Federico Michieletto (Marini's on 57), Chef Gary Lim (Hotel ParkRoyal), Chef Helmut Lampberger (Hotel Impiana KLCC) dan Johari Edrus (Chefjo Culinary Consultant).
Selain itu, Chef Oliver Lopez (Resorts World Genting), Chef Rajesh Kanna (Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur), Chef Raymond Tan (Sunway Hotel Resort & Spa), Chef Richmond Lim (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur), Chef Sabri Hassan (Pelatih Seni Kulinari, Chef Selebriti, Juri Pertandingan), Chef Tan Tik San (Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur), Chef Wilfred Lim (Hotel Palace of the Golden Horses) dan Cheh Yau Kok Kheong (Dorsett Regency Kuala Lumpur).
Setiap seorang daripada chef tersebut telah berkongsi dua resipi istimewa mereka yang menggunakan produk Maggi sebagai sebahagian daripada bantuan kulinari mereka untuk hidangan pembuka selera, sup, sajian pertama, sajian utama dan pemanis mulut.
Kesemua mereka telah hadir semasa majlis pelancaran buku resipi Amazing Inspirations yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Buku Amazing Inspirations dijual pada harga RM49 untuk ahli Cam dan RM59 untuk bukan ahli. Buku ini akan dijual oleh CAM semasa berlangsung Culinaire Malaysia 2013 yang dianjurkan daripada 17 September hingga 20 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kutipan daripada jualan buku akan digunakan bagi menyokong aktiviti dan program pembangunan CAM.

8.5 JUTA RAKYAT MALAYSIA OBES

PUTRAJAYA 7 Sept. - Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan berlebihan berikutan terlebih makan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, setakat ini, 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.
Menurutnya, masalah tersebut berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis.
Beliau berkata, bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kementerian terus menekankan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat kerana masalah berat badan berlebihan di kalangan mereka telah mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1 peratus.
“Masalah tersebut kini telah menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan masyarakat. Bayangkan ketika ini seorang daripada tiga penduduk negara ini obes atau mempunyai berat badan berlebihan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, di Dataran Wawasan Presint 2 di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat kerana kajian menunjukkan purata setiap individu melakukan aktiviti senaman selama 20 minit sehari.
Mengulas mengenai Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, Subramaniam berkata, seramai 70,000 orang yang majoritinya belia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan yang dilancarkan serentak di seluruh negara.
Kempen yang diadakan untuk tahun keempat itu katanya, memfokuskan kepada peningkatan kesedaran golongan belia terhadap kepentingan melakukan senaman sebagai amalan hidup seharian.
“Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.
“ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan," katanya.
Katanya, kerajaan akan memainkan peranan dalam memastikan golongan muda sentiasa mengamalkan kehidupan sihat dengan memperbanyakkan kemudahan beriadah di kawasan perumahan antaranya kempen berjalan 10,000 langkah sehari merupakan aktiviti intensiti rendah dan sesuai semua peringkat umur.
“Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori," katanya.

Wednesday, September 4, 2013

YOGURT BEKU TIDAK SIHAT


YOGURT beku tidak memberikan manfaat yang sama seperti pengambilan yogurt biasa.

MAKANAN yogurt beku atau dikenali sebagai froyo yang turut mengandungi buah-buahan segar dan kering dilihat mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Namun, di sebalik rasanya yang sedap, makanan itu juga memiliki risiko dari segi kesihatan.
Yogurt beku yang dijual di pasaran kebanyakannya mengandungi kadar gula yang tinggi.
Seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan Pencegahan, Universiti Yale, Amerika Syarikat, David Katz memberitahu, yogurt beku tidak memberikan manfaat yang diharapkan sama seperti pengambilan yogurt biasa.
“Kita memakan terlalu banyak gula,” katanya yang mengulas tentang yogurt beku itu baru-baru ini.
Bahan-bahan seperti maltodekstrin, natrium sitrat, gam selulosa, dinatrium fosfat dan propilena glikol monoester merupakan antara bahan yang ditemui di dalam yogurt beku.
Menurut Katz, bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan mungkin memberikan kesan yang buruk ke atas tubuh badan.
Menurutnya, yogurt tidak lebih hanya sebagai alternatif untuk aiskrim.
Dalam penyelidikan yang dilakukan ke atas yogurt beku itu, para penyelidik turut menemui bahan karagenan.
Bahan tersebut boleh memberi kesan yang tidak baik untuk kesihatan perut.
Para penyelidik menyatakan, pengambilan yogurt itu akan membahayakan kesihatan jika ia diambil secara keterlaluan.
Bagi mengelak daripada terjebak memakan makanan yang tidak menyihatkan, anda perlu membaca label pada bungkusan makanan terlebih dahulu sebelum membelinya dan pastikan ia tidak mengandungi kandungan gula yang terlalu tinggi.

4 KALI RUMAH DIREMPUH

  • Empat kali rumah dirempuhKeadaan kereta yang pernah terbabas ke rumah Rosliyah.
 1 / 2 
PONTIAN - Sebuah keluarga hidup dalam kebimbangan apabila rumah yang mereka duduki kerap menjadi mangsa sasaran kenderaan yang terbabas.

Rosliyah Jaafar, 66, yang tinggal di Kampung Ulu Pulai mendakwa, sejak laluan Pekan Nenas-Gelang Patah menjadi tumpuan dan sibuk, sudah empat kali kediamannya dirempuh kenderaan

“Sudah empat kali rumah mak cik dirempuh kereta yang terbabas,” kata yang tinggal bersama suami Hassani Ambok Sakak, 76, dan dua orang anaknya di rumah berkenaan.

Rumah yang didiami lebih 20 tahun itu terletak terlalu hampir dengan selekoh tajam yang berisiko dari kedua-dua arah Pekan Nenas dan Gelang Patah.

“Pada awal 90an, jalan di sini kecil sahaja seperti jalan kampung dan tidak banyak kenderaan.

“Tetapi, sejak kawasan di Gelang Patah dan Nusajaya membangun pada awal tahun 2000, semakin hari semakin banyak kenderaan yang menggunakan laluan di sini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia sekeluarga sukar untuk tidur nyenyak kerana sering dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

“Dulu, terdapat pokok buah-buahan di laman rumah, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi selepas dilanggar kenderaan yang kerap terbabas.

“Malah ada pemandu yang terbabas sehingga melanggar pokok durian di depan rumah,” katanya.

Di sebalik kejadian itu, Rosliyah sekeluarga turut kesal apabila kerosakan akibat perlanggaran itu terpaksa ditanggungnya sendiri..

“Pemandu bersikap lepas tangan selepas melanggar rumah, menyebabkan kami sekeluarga terpaksa menanggung kos kerosakan. Hanya papan yang kami gunakan untuk menutup lubang kesan daripada pelanggaran kenderaan terbabas,” katanya.

Rosliyah memberitahu, langkah-langkah keselamatan telah diambil pihak berwajib, namun terdapat segelintir pemandu yang masih memandu laju di kawasan itu.

“Meskipun tembok pengadang sedang dibina di sebelah rumah, ia tidak dapat menghindar perasaan takut kerana bimbang kenderaan akan terbabas pada bila-bila masa saja,” katanya.

Demi faktor keselamatan, mereka sekeluarga tidak kisah untuk berpindah dan berharap agar ada pihak yang dapat membantu mereka.

“Sebelum ini, ada pegawai datang menjenguk keadaan rumah kami dan mereka ada cadangkan kami untuk berpindah. Namun sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas,” katanya.

Sementara itu, Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar berkata, kawasan di selekoh tajam berkenaan dilihat sangat berbahaya terutamanya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihak berwajib dari daerah Pontian yang merupakan pentadbir di kawasan itu sudah mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian itu berlaku.

“Antaranya adalah dengan memasang papan tanda amaran dan membina tembok pengadang.

“Jika keluarga yang tinggal berdekatan dengan selekoh tajam itu hendak berpindah, usaha bagi mendapatkan bantuan rumah yang sewajarnya dilakukan,” katanya.

Tuesday, September 3, 2013

MEDAN SELERA TEPI LAUT PERLU DINAIK TARAF

  • Tiba masa dinaik tarafMedan Selera Tepi Laut perlu dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pengunjung.
 1 / 1 
PONTIAN - Suatu ketika dulu, Medan Selera Tepi Laut, dekat sini begitu dikenali dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Namun, sejak lokasinya berpindah ke tapak perhentian bas lama, peniaga semakin kurang.
Peniaga, Azib Zainin mendakwa, keadaan medan selera di tapak lama iaitu di hadapan Dewan Jubli Intan Pontian sebelum ini sangat meriah dengan 16 gerai dibuka.

“Tapi, selepas medan selera ini berpindah ke tapak di hadapan perhentian bas lama pada 2008, peniaga semakin kurang.

“Bagaimanapun, medan selera ini masih lagi jadi tumpuan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu.
“Mereka masih lagi mengenali kawasan tepi laut Pontian yang suatu masa dahulu dipenuhi dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan,” katanya.

Walaupun terus dikunjungi, Azib mengakui peniaga di situ mahu keadaan persekitaran medan selera dinaik taraf.

“Kadang-kadang kami juga segan apabila orang ramai bertanya mengenai keadaan medan selera di sini.

“Rata-rata mereka beranggapan ianya sudah tidak lagi sesuai dengan perubahan semasa sepertimana medan selera di bandar-bandar yang lain,” katanya.
Katanya, diharapkan agar kawasan ini dibangunkan kerana berpotensi besar menjadi kawasan pelancongan.

“Medan selera ini adalah satu-satunya medan selera yang masih wujud di bandar Pontian dengan menyediakan hidangan seperti nasi ayam, pelbagai jenis mee, satay dan sebagainya.

“Sekiranya ada perancangan bagi membangunkan tapak ini, kami peniaga amat berharap ianya dapat dilakukan segera demi keselesaan peniaga dan pengunjung,” katanya.

PAMERAN PELANCONGAN HALAL 24-27 OKTOBER

JOHOR BAHRU 2 September- Jabatan Pelancongan negeri bersama anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. Bhd. (IPPJ) akan menganjurkan Pameran Pelancongan Halal 2013 pada 24 hingga 27 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, program itu akan dibahagikan kepada dua iaitu seminar dan pameran.
Beliau berkata, seminar itu diadakan pada 24 Oktober ini di Hotel Puteri Pacific di sini, bermula 8.30 pagi hingga 5 petang manakala pameran pula berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober ini di Expo Danga City Mall di sini, mulai 10 pagi hingga 10 malam.
"Antara objektif penganjurannya untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan produk serta perkhidmatan pelancongan halal kepada orang ramai.
"Selain itu, program tersebut diharap dapat memberi kemudahan kepada syarikat dan agensi berkaitan pelancongan halal menjalinkan jaringan dan mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar sempena prapelancaran pameran itu di sini semalam.
Siew Kiong berkata, seminar yang dijalankan bakal mengetengahkan topik-topik seperti integriti pelancongan halal, hotel patuhi syariah, potensi pelancongan halal serta kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan halal.
Beliau berkata, sebanyak 101 gerai pameran akan dibuka sempena pameran itu termasuk penyertaan usahawan Singapura dan Indonesia.
"Kita sasarkan 8,000 orang akan mengunjungi program yang julung kali kita anjurkan ini dengan sasaran jualan sebanyak RM10 juta.
"Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan program kali ini sekali gus menggalakkan perkembangan pelancongan halal di negeri ini," katanya.