BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, September 3, 2013

PAMERAN PELANCONGAN HALAL 24-27 OKTOBER

JOHOR BAHRU 2 September- Jabatan Pelancongan negeri bersama anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. Bhd. (IPPJ) akan menganjurkan Pameran Pelancongan Halal 2013 pada 24 hingga 27 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, program itu akan dibahagikan kepada dua iaitu seminar dan pameran.
Beliau berkata, seminar itu diadakan pada 24 Oktober ini di Hotel Puteri Pacific di sini, bermula 8.30 pagi hingga 5 petang manakala pameran pula berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober ini di Expo Danga City Mall di sini, mulai 10 pagi hingga 10 malam.
"Antara objektif penganjurannya untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan produk serta perkhidmatan pelancongan halal kepada orang ramai.
"Selain itu, program tersebut diharap dapat memberi kemudahan kepada syarikat dan agensi berkaitan pelancongan halal menjalinkan jaringan dan mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar sempena prapelancaran pameran itu di sini semalam.
Siew Kiong berkata, seminar yang dijalankan bakal mengetengahkan topik-topik seperti integriti pelancongan halal, hotel patuhi syariah, potensi pelancongan halal serta kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan halal.
Beliau berkata, sebanyak 101 gerai pameran akan dibuka sempena pameran itu termasuk penyertaan usahawan Singapura dan Indonesia.
"Kita sasarkan 8,000 orang akan mengunjungi program yang julung kali kita anjurkan ini dengan sasaran jualan sebanyak RM10 juta.
"Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan program kali ini sekali gus menggalakkan perkembangan pelancongan halal di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment