BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, September 8, 2013

RESTORAN BALI-BALI GARDEN-KOTA KINABALU

DR. Alan (tengah) ditemani Chef Roslan (kanan) menunjukkan hidangan empat serangkai 
dan ayam rica-rica yang menjadi pilihan 
pengunjung.

BAGI mereka yang ingin menikmati sajian khas masyarakat Bali di Indonesia tetapi mempunyai kekangan kewangan dan masa untuk menikmati hidangan itu di bumi Bali, kini semuanya tidak menjadi masalah apabila hidangan lazat tersebut boleh dijamah di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah.
Berkonsepkan dekorasi Bali, restoran Bali-Bali Gardens bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu itu pastinya memberikan kelainan dari segenap segi termasuk makanan dan persekitaran yang seolah-olah seperti pengunjung berada di Bali.
Restoran unik yang pertama di Sabah itu juga menyediakan pelbagai makanan dari Indonesia termasuk dari Sulawesi, selain tidak lupa menyediakan sajian Melayu dan Barat.
Pengalaman melangkah masuk ke restoran milik Dr. Alan M. Raman itu memberikan makna tersendiri kepada penulis. Ini kerana penulis dapat merasakan seolah-olah berada di tengah kesibukan destinasi pelancongan terkenal Bali.
Mana tidaknya, ini kerana segala hiasan dan reka bentuk Bali yang asli, selain iringan alunan muzik irama dari Bali menanti para tetamu yang ingin menjamu selera di situ.
Bagi menambahkan lagi hiburan dan keriangan kepada pelanggan restoran, beberapa penghibur tempatan asyik mendendangkan pelbagai lagu tempatan dan luar negara yang menghiburkan.
Sentuhan hidangan yang diketuai oleh Chef Roslan Adnan yang berketurunan Jawa dan berpengalaman lebih 30 tahun sebagai chef hotel lima bintang, menjadikan setiap ringgit yang dibelanjakan di restoran itu amat berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Antara hidangan cita rasa Bali yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah nasi ayam bertutu, nasi goreng lilit, ikan bakar bumbu dan bebola daging Bali-Bali.
Selain itu, hidangan Indonesia lain yang menjadi pilihan adalah nasi ayam Rica-Rica yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Menurut Chef Roslan, kesemua masakan berkenaan menggunakan resipi istimewa Bali dan Indonesia, selain resipi tersendiri hasil pengalaman dan penyelidikan yang dilakukannya.
Tambahnya, setiap masakan akan dibuat dengan teliti supaya tidak menjejaskan rasa dan keenakannya, selain faktor kebersihan dan kesegaran yang sentiasa diberi perhatian.
"Contohnya ayam bertutu Bali dimasak dua kali menyebabkan rasanya begitu lembut, ditambah dengan sos resipi istimewa Bali yang pastinya membuatkan pengunjung berpuas hati.
"Selain itu, ayam Rica-Rica yang merupakan hidangan Sulawesi juga pastinya membuatkan pelanggan tertawan dengan rasanya yang enak selepas dimasak bersama tomato segar yang merupakan resipi tersendiri," katanya.
Tambahnya, bagi memastikan kelainan dalam rasa makanan berbanding di tempat lain, kebanyakan hidangan asas seperti bebola daging diproses sendiri dengan mengutamakan kualiti dan kesegaran.
"Bebola daging yang dihasilkan sendiri mempunyai cita rasa tersendiri dengan rasa daging yang segar dan sate lilit juga amat berbeza sekali apabila kami menggunakan batang serai sebagai lidi yang memberikan rasa dan bau yang enak kepada juadah itu," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Alan yang turut menguruskan sebuah klinik di bandar raya ini berkata, idea untuk mewujudkan restoran bertemakan Bali itu muncul kira-kira enam tahun lalu selepas beliau melanjutkan pengajian di Bali, Indonesia.
Katanya, tarikan dan kelazatan hidangan Bali dan Indonesia yang dilihat berjaya menarik minat pelancong antarabangsa membuatkannya bertekad untuk merealisasikan sebuah restoran Bali di Sabah.
"Hasil usaha keras bersama ahli keluarga yang lain maka restoran yang turut mendapat sentuhan reka bentuk daripada adik saya iaitu Adam M. Raman yang merupakan arkitek di Lakar Design Studio berjaya merealisasikan sebuah restoran berkonsepkan Bali ini," katanya.
Beliau memberitahu, restoran halal yang boleh memuatkan 300 pengunjung dalam satu masa itu turut menyediakan dewan mini dan bilik mesyuarat, selain boleh digunakan untuk pelbagai acara termasuk perkahwinan dalam taman.
Sebarang maklumat lanjut mengenai restoran berkenaan boleh menghubungi Bali Bali Gardens di talian 088-232678 atau melalui Facebook, Bali Bali Gardens restaurant atau e-mel di alamat infobalibaligardens@gmail.com.

No comments:

Post a Comment