BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, September 15, 2014

BAYU BISTRO-KANGAR, PERLIS


PERCUBAAN memperkenalkan makanan barat menerusi Bayu Bistro bagi menambahkan lagi kepelbagaian pilihan makanan untuk dinikmati oleh penduduk di Perlis dan pelancong luar telah menampakkan kejayaan yang tidak disangka.
Bagi pemiliknya, Mohd. Afif Md. Jamil Khir, 29, sekalipun Bayu Bistro baru berusia setahun jagung, tetapi restoran ini sudah mula mendapat tempat di hati peminat makanan ala Barat. Restoran ini mula beroperasi pada April 2013.
"Bayu Bistro bukan sahaja menyajikan keenakan makanan barat yang terbaik untuk pelanggan, malah kesemua menu yang ditawarkan di sini dijual pada harga yang sangat berpatutan,'' katanya kepada sambil mengakui restorannya yang terletak di No. 8, Taman Putra Putri, Jalan Santan, Kangar turut menjadi tumpuan pelajar institusi pengajian tinggi di Perlis.

Mohd. Afif berkata, sebelum Bayu Bistro wujud memang telah ada beberapa buah lagi restoran yang menyajikan makanan barat di negeri ini. Namun begitu, katanya beliau menganggap persaingan dalam bisnes perniagaan makanan seperti ini adalah sesuatu yang sihat.
"Bagi bersaing secara sihat, Bayu Bistro menampilkan menu eksklusif seperti Chicken Skewer atau Big Bayu Beef Burger supaya pelanggan dapat menikmati kelainan apabila menjamu selera di sini,'' katanya.
Selain itu, pihaknya juga menyediakan menu lain seperti chicken chop yang sering menjadi pilihan pelanggan selain lamb chop, beef steak, salmon grill, spageti bolognese, spageti carbonara dan juga sandwic.
Katanya, pihaknya juga menawarkan dua pilihan menu percuma untuk setiap hidangan utama, selain menyediakan empat pilihan iaitu black pepper, BBQ, mushroom dan oriental.
Menurutnya, Bayu Bistro juga menyediakan minuman istimewa iaitu Bayu reMIX seperti Rising Sun (campuran oren, epal dan strawberi) serta Amazon Dream (buah kiwi) daripada pilihan minuman Bayu 7up Round da' World.

Mohd. Afif berkata, sekalipun beliau tidak mempunyai kepakaran dalam masakan barat tetapi Bayu Bistro berjaya dihidupkan dengan penglibatan keseluruhan krew termasuk tukang masak yang terdiri daripada ahli keluarga.
Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini operasi restorannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang boleh menjejaskan perniagaan.
''Restoran ini asalnya sebuah rumah yang ruang dalamannya telah diubahsuai supaya pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana santai,'' katanya.
Beliau berkata, sekalipun kedudukan restoran ini agak tersorok dari jalan utama iaitu Jalan Kangar-Arau tetapi Bayu Bistro tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelanggan.
Lulusan dalam bidang komputer ini memberitahu, pihaknya juga tidak kisah menerima teguran pelanggan supaya kualiti menu dapat diperbaiki dari segi rasa dan sebagainya.
"Kami mengutamakan kualiti dalam penyediaan bahan masakan termasuk menggunakan daging ayam segar dan daging lembu tempatan,'' katanya.

Ini kerana pihaknya mengutamakan kualiti supaya pelanggan berpuas hati dengan setiap sajian pilihan.
Katanya, Bayu Bistro yang dibuka mulai pukul 6.30 petang hingga 12.30 malam ini hanya ditutup pada hari Ahad.
Mohd. Afif juga berkata, pihaknya hanya menyajikan sajian barat tanpa hidangan lain supaya pelanggan yang datang ke situ semata-mata mahu menikmati hidangan barat.
"Kami mahu mengekalkan identiti Bayu Bistro sebagai destinasi untuk pelanggan menikmati makanan barat di Perlis,'' katanya.

Thursday, September 11, 2014

UCAPAN "INNA LILLAH" KEPADA BUKAN ISLAM

Ucapan Innalillah adalah salah satu bentuk doa yang dibacakan kepada orang Islam yang meninggal dunia atau apa-apa musibah kepada orang-orang Islam. Ia diambil daripada surah al-Baqarah ayat 156: Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan innalillah wa inna ilayhi raji’un. (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali)
Walaupun ada yang berpandangan bahawa kata-kata ini berbentuk umum dan tidak dikhususkan kepada orang Islam, namun dalam konteks kefahaman ayat al-Quran tersebut, penggunaannya lebih merujuk kepada musibah yang berlaku kepada orang Islam. Ayat di atas misalnya adalah penerusan daripada ayat-ayat yang merujuk kepada cabaran dan dugaan yang dihadapi mukmin.
Sementara dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ketika api pelita Rasulullah terpadam, maka Rasulullah menyebut: Innalillah wa inna ilayhi raji’un. Maka Aisyah bertanya: “Adakah api terpadam pun satu musibah?" Jawab Nabi: “Setiap perkara yang memberi kesan buruk kepada orang mukmin adalah satu musibah."
Daripada dua asas di atas, jelas bahawa bacaan innalillah tidak ditujukan kepada mereka yang bukan Islam. Berkaitan ucapan Rest in Peace, sepertimana yang telah dihuraikan dalam Facebook Fatwa Malaysia sebelum ini, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.
Ia juga biasanya diukir di batu nisan dalam kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan itu berasal daripada bahasa Latin ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’ Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut itu.
Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan kerahmatan daripada Tuhan.
Ini berdasarkan ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 113 yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.
Namun Islam tidak menghalang umatnya mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti ‘saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda’ atau ‘kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan daripada keluarga anda.’ Wallahu a’lam

Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)


Wednesday, September 10, 2014

KEPUTUSAN KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA JANUARI 2015

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Keputusan kajian boleh laksana projek rel berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dan Singapura dijangka diketahui Januari tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia sudah menyelesaikan kajian itu manakala Singapura masih dalam peringkat kajian.
Jelasnya, kerajaan Singapura akan mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan kajian boleh laksana projek itu dan menyerahkannya kepada dua jawatankuasa yang dibentuk di negara itu iaitu jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kementerian.
"Setakat ini, proses kajian itu berlangsung dengan lancar dan baik. Prosesnya mengikut pelan seperti yang ditetapkan dan kerajaan Singapura hampir menyiapkan kajian tersebut.
"Saya berharap keputusan kajian ini dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini dan diketahui pada awal tahun depan," katanya selepas me­rasmikan pameran Rail Business Asia 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kabinet United Kingdom, Grant Shapps; Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed.
Hasrat pembinaan rel kereta api berkelajuan tinggi diumumkan oleh kedua-dua buah negara pada awal tahun lalu dengan perkhidmatan pengangkutan kereta api yang disediakan di antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya memakan masa selama 90 minit.
Projek ini telah menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol untuk merebut pelbagai tender yang dianggarkan bernilai sekitar RM30 bilion dan dijangka siap pada 2020.
Laporan media antarabangsa sebelum ini turut mendedahkan bahawa rel Malaysia-Singapura itu merupakan sebahagian daripada pembinaan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan antara Singapura dan Kunming, China dengan melintasi beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia.

Saturday, September 6, 2014

LEDAKAN DIABETES

Seiring kemajuan negara kita, berlaku perubahan kepada corak hidup masyarakat sekarang, terutama dari sudut pemakanan dan aktiviti fizikal.
Oleh kerana itu, berlaku ledakan penyakit ‘moden’ seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, kolesterol tinggi, strok dan kanser. 
Penyakit diabetes atau kencing manis meningkat begitu ketara sejak 20 tahun lalu. Menurut data Kementerian Kesihatan, peratusan pesakit diabetes 31.2 peratus pada 2011 bagi penduduk Malaysia berumur 30 tahun ke atas. 

Berlaku peningkatan mendadak berbanding data pada 2006 menunjukkan peratusan nisbahnya 14.9 peratus bagi penduduk Malaysia berumur 30 tahun ke atas.
Foto
SAYUR-sayuran mampu mencegah diabetes.

Fakta ini sangat membimbangkan kerana jika polar serupa berterusan, dibimbangi jumlah peratusan ini boleh meningkat hingga 50 peratus. Jika ini berlaku, ia akan menjadi bencana kesihatan besar kerana beban kewangan yang tinggi harus ditanggung negara.
Langkah pencegahan awal penting untuk masyarakat kita amalkan dengan mengubah kepada gaya hidup sihat. Langkah untuk gaya hidup sihat adalah dengan makan secara sihat, aktif secara fizikal, mengawal tekanan, pengambilan makanan tambahan yang perlu dan mengelak aktiviti berisiko seperti merokok. 

Pemakanan sihat faktor utama untuk membendung diabetes. Berikut beberapa tip yang boleh kita ikuti sebagai cara untuk makan secara sihat dan mengawal serta mengelak diabetes di peringkat awal. 

1. Ambil makanan berserat tinggi 

Kita boleh mengamalkan makan makanan seperti oat, beras perang, roti serat penuh (wholegrain) dan pelbagai makanan berserat tinggi yang ada di pasaran sekarang. 

Menurut kajian Harvard School of Medicine, pemakanan tinggi dengan serat akan menurunkan risiko mendapat penyakit diabetes antara 35 hingga 42 peratus. 

Contohnya, makanan oat (oatmeal) yang sangat tinggi kandungan serat boleh larut yang akan membantu melambatkan penyerapan glukosa dalam usus dan ini membantu mengawal paras gula yang lebih baik, terutama pesakit diabetes. Ia juga akan menurunkan paras kolesterol, mencegah sembelit dan membantu menurunkan berat badan secara tidak langsung. 


2. Makan banyak kekacang 

Makan kekacang seperti kacang ginjal, kacang pis dan kacang kuda adalah rendah lemak dan tinggi protin sihat. Ia juga tinggi dengan serat boleh larut yang boleh menstabilkan paras gula dalam darah. Kandungan protinnya juga baik dan menjadi alternatif kepada sumber protin lain seperti daging lembu dan kambing yang tinggi dengan lemak tepu. 

Jenis kacang seperti almond, pistachio, gajus, macademia, kacang tanah dan kuaci juga baik untuk dijadikan makanan ‘snek’ di waktu santai. 

Kacang almond yang tidak bergaram adalah sumber baik tinggi protin dan karbohidrat sihat di samping lemak mono tak tepu (monounsaturated) yang berfaedah untuk mengurangkan kolesterol serta risiko sakit jantung. Lemak baik dalam kacang almond juga membantu menstabilkan paras glukosa dalam darah dengan melambatkan penyerapan glukosa secara beransur-ansur dalam usus. 

Kajian besar dijalankan di Universiti Harvard mengenai pengambilan kacang almond merumuskan, pengambilan makanan yang kaya dengan magnesium seperti almond, kuaci biji labu dan bayam akan mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes sehingga 33 peratus. 

Jadikan makan ‘snek’ harian kita dalam bentuk kekacang yang pelbagai di pasaran dan elak ‘snek’ atau jajan yang kaya dengan karbohidrat seperti kerepek kentang, kerepek ubi dan keropok. 


3. Makan ikan 

Ikan mengandungi asid lemak Omega 3 yang tinggi dan sangat baik untuk mencegah penyakit diabetes dan membantu pesakit mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik. Dr Sven Ebbeson dari University of Virginia, Amerika Syarikat pernah mengkaji kesan Omega 3 kepada penduduk Alaska yang hampir menghidap diabetes (prediabetics). 

Kesimpulan kajian beliau menunjukkan, Omega 3 mampu mencegah diabetes sepenuhnya dan membantu mengawal paras glukosa dalam darah dengan lebih baik. Ikan salmon kaya dengan Omega 3 selain ikan tempatan di Malaysia seperti tenggiri, kembong, ikan merah dan jenahak. 


4. Makan lebih sayur-sayuran 

Sayur-sayuran kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Mengambil lebih banyak sayur-sayuran dalam pemakanan seharian membantu mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik dan mampu mencegah diabetes. Sayur-sayuran sama ada dimasak atau diambil sebagai ulam antara cara terbaik mencegah diabetes. 

Kajian dilaporkan dalam The Journal of Nutrition pada 2003 menunjukkan sayuran yang pahit iaitu peria (momordica charantia) mampu mengawal diabetes kerana ia mengandungi sebatian polipeptidep dan alkaloid yang pahit. Begitu juga ulam yang pahit seperti petai didapati boleh memberi kesan serupa. 


5. Makan lebih buah-buahan 

Buah-buahan penting sebagai sumber serat dan vitamin. Buah-buahan biasanya enak dimakan, oleh itu lebih mudah bagi kita amalkan sebagai rutin pemakanan sihat. Makan lebih buah-buahan ‘rangup’ seperti jambu batu, epal, pear dan kedondong. 

Kurangkan buah-buahan yang tinggi gula dan rendah seratnya seperti durian, rambutan dan manggis. Lebihkan makan buah-buahan tempatan seperti betik, mangga, tembikai susu, limau bali, limau manis, duku, langsat, dokong dan pisang. Jadikan buah-buahan sebagai makanan ‘snek’ harian kita dan makan buah setiap kali kita makan sama ada sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

PUNCA MATI AWAL

Penyakit kardiovaskular, kanser, respiratori kronik dan diabetes adalah kumpulan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kadar kematian di seluruh dunia.
Penyakit kardiovaskular, kanser, respiratori kronik dan diabetes adalah kumpulan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kadar kematian di seluruh dunia.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 38 juta orang maut akibat menghidap NCD setiap tahun dan daripada jumlah itu hampir 16 juta orang maut secara pramatang iaitu meninggal dunia pada usia muda atau sebelum usia mencecah 70 tahun.

Angka kematian akibat NCD di seluruh dunia ini didapati meningkat sejak tahun 2000 dan paling banyak dilaporkan di Asia Tenggara dan Wilayah Pasifik Barat dengan faktor yang menjadi risiko di kalangan penduduk adalah penggunaan tembakau, pemakanan tidak seimbang, fizikal tidak aktif dan pengambilan alkohol berlebihan.
Mengikut profil NCD di Malaysia dalam tempoh 12 tahun sehingga 2012 yang dikeluarkan WHO, dianggarkan 73 peratus daripada 146,000 jumlah kematian di negara ini akibat NCD dengan penyakit berkaitan kardiovaskular menjadi penyumbang utama kematian.
Malah, kematian pramatang antara umur 30 hingga 70 tahun di Malaysia akibat empat kumpulan NCD juga dianggarkan meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Merokok di kalangan lelaki masih menjadi penyumbang utama golongan berkenaan mendapat NCD, manakala wanita mendapat NCD akibat obesiti. 

Oleh itu, WHO melakukan pelbagai usaha dengan kerjasama negara yang terbabit untuk mencegah NCD menerusi sembilan sasaran global termasuk mengurangkan kadar kematian akibat NCD, menangani faktor risiko kepada NCD dan membekalkan rawatan serta perubatan setiap faktor risiko NCD.

NCD adalah penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan kepada orang lain dan penghidapnya mendapat penyakit ini secara perlahan-lahan akibat mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

Penyakit yang terangkum di bawah empat kumpulan NCD seperti darah tinggi, serangan jantung, strok, kolesterol tinggi, lelah, paru-paru tersumbat, kegemukan dan sakit buah pinggang. Kesemua penyakit ini boleh dicegah melalui amalan yang betul dengan mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia kesan daripada perkembangan pesat negara terutama dalam pembangunan sosio ekonomi mengubah taraf kesihatan masyarakat apabila mereka mula mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

"Globalisasi, urbanisasi dan tekanan ekonomi mengubah budaya dan tabiat pemakanan kita ke arah cara yang tidak sihat. Malah, beban penyakit disebabkan NCD juga terus meningkat dan walaupun puncanya agak kompleks tetapi pemakanan tidak sihat dikesan menjadi penyumbang utama faktor risiko bagi NCD.

"Oleh itu, pelbagai pihak profesional kesihatan termasuk pakar pemakanan kesihatan awam diminta bersama-sama dalam melaksanakan dan menyokong usaha penyediaan sistem kesihatan yang saksama, mampu milik dan cekap sekaligus membentuk teras dalam wawasan kesihatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesihatan Awam Antarabangsa Kali ke-4 dengan tema Paradigma Baru Dalam Pemakanan Kesihatan Awam: Ke Arah Amalan dan Dasar Kompeten di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-66 di Geneva tahun lalu, berlaku perbincangan hebat bagi memuktamadkan dan mengguna pakai Pelan Tindakan Global untuk Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit 2013-2020 yang juga mengandungi Rangka Kerja Pemantauan Global.

"Dalam pelan berkenaan mensasarkan untuk mengurangkan kadar kematian pra matang akibat NCD sebanyak 25 peratus pada 2025. Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan mengukuhkan program kawalan dan pencegahan NCD dengan membangunkan dan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (NSP -NCD ) 2010-2014.

"Pengambilan pemakanan yang seimbang dalam masyarakat kita biasanya berpandukan isu kesihatan awam dan kebelakangan ini ia berkembang merangkumi pelbagai isu. 

"Di negara membangun, pengambilan makanan berlebihan menjadi kebimbangan kerana menyumbang pelbagai penyakit kronik, sedangkan di kawasan yang masih dilanda kemiskinan kekurangan makanan berkhasiat menyumbang masalah kekurangan zat dan mikronutrien," katanya.

Katanya, pencegahan penyakit adalah tanggungjawab semua pihak dan disebabkan itu semua profesional kesihatan termasuk pakar pemakanan wajar bekerja secara sinergi dan mempamerkan komitmen penuh mereka untuk mencapai misi kesihatan negara selaras dengan tema seminar. 

Lebih penting, katanya, bagaimana mencari strategi kerja yang lebih baik dalam mengurangkan faktor risiko dalam populasi terutamanya untuk mengubah tabiat atau amalan makan yang tidak sihat di kalangan rakyat Malaysia pelbagai lapisan umur bagi mengurangkan NCD.

"Malaysia menubuhkan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) sejak 1996 untuk menangani kekurangan zat makanan, diet yang tidak sihat, obesiti dan pemakanan berkaitan NCD susulan Deklarasi Dunia Mengenai Nutrisi dan Pelan Tindakan Kongres Pemakanan Antarabangsa (ICN) 1992 di Rom, Itali.

"Negara juga melaksanakan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia yang berusaha untuk mencapai dan mengekalkan pemakanan yang optimum rakyat, selain bertujuan menyediakan akses makanan yang mencukupi, berzat, selamat dan berkualiti untuk semua. 

"Ini akan menggalakkan dan menyokong strategi bagi amalan pemakanan sihat. Dasar ini mengintegrasikan dan menyepadukan usaha pihak yang berkepentingan dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian program makanan dan pemakanan yang berkesan dan berterusan," katanya.

Beliau berkata, melalui Tindakan Rangka Kerja (FFA) berpandukan Deklarasi Pemakanan Rom 2014 yang akan datang, komitmen yang dibuat ketika seminar pemakanan antarabangsa pada 1992 itu akan memastikan pembangunan dalam meningkatkan pemakanan rakyat termasuk sistem makanan global di rantau ini dilakukan dengan cara yang mampan.

"Ini akan mengukuhkan pelaksanaan NPANM yang merangkumi semua spektrum isu pemakanan termasuk aspek tadbir urus, alam sekitar, sosial dan kesihatan," katanya.

KAFE ALA GARAJ-LAKE FIELD SUNGAI BESI















SUSUN atur kedai menggabungkan rona kelabu sebagai warna
 asas dan warna-warna ceria sebagai warna tambahan bagi menaikkan seri kafe.


DARI luar, kedai yang terletak di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur ini tidak ubah seperti ruang pameran motosikal klasik. Namun, siapa sangka, ruang yang memuatkan kira-kira 13 buah motosikal dan skuter itu sebenarnya sebuah kafe yang berkonsepkan sebuah garaj.
Ternyata, kelainan konsep tersebut berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mengunjungi restoran tersebut.
Buktinya, biarpun kafe yang diberi nama Abah & Sons itu baru sahaja beroperasi pertengahan April lalu, namun, ia begitu popular dalam kalangan masyarakat setempat dan menjadi bualan umum dalam media sosial.
Menurut pemilik kafe yang berdarah Perancis, Mia Marine Jores, 28, konsep asal kafe tersebut merupakan lontaran idea suaminya, Mohd. Fadhil Zakaria, 32, dan rakannya, Pa'Din, seorang pemain papan luncur terkenal antarabangsa.

RUANG pameran yang menempatkan barang-barang klasik zaman dahulu.


Dekorasi
"Sebenarnya, idea ini diadaptasi daripada kafe-kafe di Eropah yang mengetengahkan konsep garaj.
"Berbeza di Malaysia, konsep ini belum begitu popular kerana kebanyakan pengusaha restoran lebih gemar memilih elemen moden, rustik, taman dan lain-lain," jelasnya.
Justeru itu, ujar Mia, suaminya mengambil peluang tersebut untuk mengaplikasikan konsep garaj di kafe mereka.
Melihatkan kafe yang cantik dan berseni, umum pasti beranggapan keseluruhan dekorasi itu hasil sentuhan magis pakar penghias dalaman.

PEMILIK kafe Abah & Sons, Mia Marine (kanan) bersama pengurus kafe, Ahmad Fitri.


Manakan tidak, walaupun kesemua bahagian kafe menggunakan warna kelabu dan suram, namun, ia diseimbangkan dengan penggunaan mentol lampu rona kuning keemasan.
Bukan itu sahaja, setiap dekorasi di dalam kafe tersebut juga diletakkan pada posisi yang betul selain mempunyai susun atur yang kemas.
Bagaimanapun, menurut pengurus kafe tersebut, Ahmad Fitri Zainal Abidin, 33, hampir seratus peratus dekorasi dan ubah suai kafe tersebut dilakukan sendiri oleh si pemilik dengan dibantu rakan-rakannya yang lain.
"Semasa melakukan kerja pengubahsuaian, kami duduk berbincang beramai-ramai sambil mengeluarkan idea untuk dekorasi kafe ini baik dari segi hiasan, lukisan mural, posisi motosikal mahupun menu makanan.

Motosikal paling mahal bernilai RM45,000 yang dipamerkan di kafe ini.


"Disebabkan permuafakatan tersebutlah, proses pengubahsuaian hanya mengambil masa kurang daripada sebulan sebelum dibuka kepada pelanggan," katanya.
Menurut Ahmad Fitri, kos pengubahsuian kafe tersebut menelan belanja hampir RM30,000.
Aksesori
Henkel Tourist, Dolphin, Lambretta, Vespa, Norton dan Zuldap merupakan antara motosikal dan skuter yang dipamerkan di sudut kedai.
"Disebabkan motosikal ini sangat unik dan eksklusif, ramai yang bertanya adakah ia milik kami. Sebenarnya, motosikal ini dipinjamkan oleh seorang usahawan permotoran untuk tujuan pameran," ujarnya.
Tambah Ahmad Fitri, motosikal termahal yang dipamerkan di kafe tersebut ialah daripada model Norton dan berharga RM45,000.
Tarikan kafe tersebut bagaimanapun tidak terletak sepenuhnya pada deretan motosikal klasik mewah sahaja. Ini kerana, lukisan mural, gantungan papan luncur dan perkakas-perkakas bengkel turut menaikkan seri kafe berkeluasan 250 meter persegi itu.
Bagi menonjolkan lagi konsep garaj, pemilik mengolah tong aluminium lama rona biru menjadi meja dan kerusi tempat pengunjung menjamu selera.
Untuk mencetuskan kelainan dalam konsep garaj, pemilik turut mengolah kayu lapis menjadi meja papan manakala tin biskut lama sebagai alas duduk.

Wednesday, September 3, 2014

SELASIH DALAM MASAKAN DAN PERUBATAN

  • Daun selasihDaun selasih
 1 / 1 
Pla muek phat krapau ialah sejenis makanan Thai bermaksud sotong goreng bercili dan ruku-ruku. Ruku-ruku, Ocimum tinuiflorum (sinonim Ocimum sanctum) yang dikenali di Malaysia sebagai kemangi biasa ditanam oleh orang India di pekarangan kuil dan rumah.
Ruku-ruku yang dikenali sebagai tulasi (atau tulsi) di India ini juga dikenali sebagai holy basil.

Di Indonesia, kemangi merujuk kepada sejenis selasih yang memiliki aroma sitrus iaitu Ocimum citriodorum. O.citriodorum biasa digunakan oleh orang Terengganu dalam menyediakan rempah kari untuk masakan berempah daging, ikan dan ayam yang dimakan bersama nasi dagang.

Di Indonesia, selasih sitrus biasa dimakan sebagai ulam secara mentah. Contohnya ia dimakan bersama ayam kalasan. Ayam kalasan ialah ayam goreng yang disediakan dengan memerap ayam dengan air kelapa selama beberapa jam sebelum digoreng. Ayam kalasan goreng biasanya dimakan dengan nasi panas dan daun selasih sitrus segar.

Orang Thailand menggunakan dua jenis selasih dalam makanan iaitu selasih Thai dan kemangi. Selasih Thai, Ocimum basilicum var. Thyrsiflorum biasa digunakan oleh orang Thailand dalam menyediakan kari hijau, yang digunakan sebagai bahan untuk menyediakan masakan berkuah. Namun selasih Thai juga biasa dijadikan perencah makanan bergoreng.
Orang Thai biasa menggunakan ruku-ruku untuk menyediakan masakan bergoreng seperti daging, ayam dan sotong. Daging dan ayam biasanya dicencang halus jika digoreng bersama daun ruku-ruku.
Sotong pula dipotong menurut cita rasa atau keperluan hidangan.
Ada yang dipotong lebar kemudian dikelar-kelar. Ada juga yang dipotong melintang. Pla muek phat krapau iaitu sotong goreng bercili bersama ruku-ruku menawarkan rasa lazat yang cukup hebat kepada mereka yang menggemari makanan eksotik.

Perbezaan

Bagaimana membezakan antara selasih Thai dan ruku-ruku? Daun selasih Thai bersifat licin manakala daun ruku-ruku kasar dan berbulu. Daun selasih Thai memiliki sisi lurus manakala daun ruku-ruku berkeluk-keluk. Tangkai daun selasih Thai biasanya berwarna ungu tua. Bunganya juga berwarna ungu.
Ruku-ruku yang biasa terdapat di Malaysia ialah yang berdaun hijau muda. Di Thailand pula terdapat sejenis ruku-ruku dengan tangkai daun dan bunga berwarna ungu tua. Ruku-ruku ini dikenali sebagai ruku-ruku hitam.
Aroma selasih Thai wangi manakala aroma ruku-ruku agak berbau rempah. Ruku-ruku hitam memiliki bau seakan-akan bunga cengkih mungkin kerana kandungan eugenol yang tinggi berbanding rukurruku berdaun hijau.
Di Barat, terdapat beberapa jenis selasih seperti selasih manis (sweet basil), Selasih taman dan selasih Perancis. Namun selasih manis, Ocimum basilicum lebih banyak digunakan dalam masakan terutama masakan Itali. Walau pun nama Latin sama dengan yang selasih Thai namun bentuk daunnya agak berbeza, daun selasih manis ini biasanya lebih lebar.
Seperti dinyatakan di atas, selasih Thai ialah varieti Thysoflorum sedang selasih manis tidak terdapat sebarang varieti ditambah di belakang nama Latin. Warna hijau daunnya lebih muda berbanding selasih Thai.
Dari segi aroma selasih Barat lebih wangi dan mungkin juga lebih menarik bagi kebanyakan orang. Daun selasih ini sama ada dalam bentuk segar atau kering biasa digunakan dalam menyediakan pelbagai jenis masakan.
Daun selasih manis, selasih Thai dan ruku-ruku memiliki sifat terapeutik yang bermanfaat untuk manusia.

Daun selasih manis biasa digunakan untuk ketidakseimbangan yang berlaku pada sistem penghadaman dan sistem saraf. Untuk masalah penghadaman selasih manis biasa digunakan untuk meredakan sakit perut, perut berangin (sering kentut) dan ketidakhadaman. Ia juga digunakan untuk meredakan loya dan muntah.
Dari segi sistem saraf ia biasa digunakan untuk meredakan stres emosi. Ia boleh digunakan untuk meredakan mood turun naik, kemurungan dan keresahan. Ia juga digunakan untuk merawat insomnia, migrain, batuk dan sawan babi. Ia digunakan untuk meredakan flu, demam selesema dan infeksi paru-paru serta meredakan demam panas.

Secara luaran daun selasih manis digunakan untuk menghindar gigitan nyamuk dan beberapa jenis masalah kulit.

Minyak aromaterapi pula digunakan untuk meredakan tekanan mental, antiseptik (antibakteria) dan masalah penghadaman. Minyak aromaterapi selasih manis digunakan oleh sebahagian pengamal perubatan tradisional yang mahir dalam membantu meredakan flu, infeksi paru-paru, demam panas dan demam selesema.
Pengambilan secara dalaman hanya boleh diamalkan atas nasihat pakar herba atau pakar aromaterapi yang terlatih/mahir dengan pengambilan minyak aromaterapi secara dalaman sahaja.

Daun selasih Thai boleh digunakan secara tradisional untuk merawat atau meredakan beberapa masalah kesihatan seperti disebutkan di atas. Setakat ini, saya tidak pernah dengar selasih Thai di ekstrak untuk menghasilkan minyak aromaterapi. Namun begitu, pembaca boleh mendapatkan minyak aromaterapi selasih manis yang dari beberapa pembekal.


Kehebatan ruku-ruku

Apakah kegunaan ruku-ruku dalam perubatan tradisional? Sebahagian sifat terapeutiknya bertindan dengan selasih manis seperti digunakan untuk infeksi sistem pernafasan seperti, sakit tekak, batuk dan bronkitis.
Ia juga digunakan untuk meredakan flu, demam selesema dan asma serta demam panas.
Sakit gusi, ulser mulut, gastrik dan ulser perut/usus juga boleh dirawat dengan mengambil jus ruku-ruku. Masalah kesihatan yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti demam selesema, demam panas, diarea, muntah boleh dirawat secara berkesan dengan mengambil jus daun ruku-ruku.
Ia boleh digunakan untuk meredakan gigitan serangga dilakukan dengan kedua-dua cara iaitu secara luaran dan jusnya diminum. Pes daun ruku-ruku digunakan untuk meredakan migrain atau sakit kepala.
Jusnya diminum untuk tujuan yang sama. Pengambilan secara dalaman dan penggunaan luaran dikatakan membantu merawat beberapa masalah kulit seperti vitiligo, psoriasis dan ekzema. Jus ruku-ruku dititiskan pada mata berupaya meredakan mata yang merengsa dan rabun ayam.
Pengambilan jus atau teh daun ruku-ruku dikatakan membantu mencegah penyakit jantung. Ia juga membantu meredakan keletihan yang berpunca dari masalah jantung. Antara sifat terapeutik ruku-ruku yang paling saya tertarik hati ialah sifat adaptogen yang dimilikinya.

Adaptogen bermaksud agen yang membantu tubuh menghadapi stres (sama ada fizikal atau emosi) dan mengembalikan keseimbangan fungsi organ sistem.
Untuk pengetahuan pembaca, ruku-ruku yang telah dikapsulkan dijual di kedai-kedai farmasi terkemuka di Malaysia dengan nama tulasi keluaran sebuah syarikat dari India yang terkemuka. Tulasi merujuk kepada ruku-ruku India.   
Jus ruku-ruku disediakan dengan melumatkan 10 helai daun segar dan ditambah sesudu besar air panas. Perahan airnya diminum. Teh ruku-ruku disediakan dengan merendam 10 helai daun dengan secawan air panas dan ditutup selama 10 hingga 15 minit.