BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, September 10, 2014

KEPUTUSAN KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA JANUARI 2015

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Keputusan kajian boleh laksana projek rel berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dan Singapura dijangka diketahui Januari tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia sudah menyelesaikan kajian itu manakala Singapura masih dalam peringkat kajian.
Jelasnya, kerajaan Singapura akan mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan kajian boleh laksana projek itu dan menyerahkannya kepada dua jawatankuasa yang dibentuk di negara itu iaitu jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kementerian.
"Setakat ini, proses kajian itu berlangsung dengan lancar dan baik. Prosesnya mengikut pelan seperti yang ditetapkan dan kerajaan Singapura hampir menyiapkan kajian tersebut.
"Saya berharap keputusan kajian ini dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini dan diketahui pada awal tahun depan," katanya selepas me­rasmikan pameran Rail Business Asia 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kabinet United Kingdom, Grant Shapps; Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed.
Hasrat pembinaan rel kereta api berkelajuan tinggi diumumkan oleh kedua-dua buah negara pada awal tahun lalu dengan perkhidmatan pengangkutan kereta api yang disediakan di antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya memakan masa selama 90 minit.
Projek ini telah menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol untuk merebut pelbagai tender yang dianggarkan bernilai sekitar RM30 bilion dan dijangka siap pada 2020.
Laporan media antarabangsa sebelum ini turut mendedahkan bahawa rel Malaysia-Singapura itu merupakan sebahagian daripada pembinaan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan antara Singapura dan Kunming, China dengan melintasi beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia.

No comments:

Post a Comment