BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 3, 2013

LAPORAN KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA DIMUKTAMAD

SINGAPURA - Malaysia telah memuktamadkan laporan penuh projek rel berkelajuan tinggi yang dicadangkan antara Kuala Lumpur-Singapura.
Televisyen tempatan Channel NewsAsia melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal sebagai berkata, pegawai Malaysia dan Singapura akan bertemu selepas perayaan Aidilfitri akhir bulan ini.
Bercakap secara eksklusif kepada Channel NewsAsia, Mohd. Nur Ismal berkata, butiran projek itu termasuk modal dan pembiayaan akan diumumkan selepas perbincangan dengan pegawai Singapura.
Dianggarkan berkos A$10 bilion (RM30 bilion), rel berkelajuan tinggi itu dijangka siap menjelang 2020.
Dijangka mengurangkan waktu perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit, projek itu telah menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol. - Bernama

Saturday, July 27, 2013

CAFE AUNTY AINI'S POPULAR KERANA GORDON


AUNTIE Aini (dua dari kiri) serta keluarganya bergambar kenangan bersama Gordon
 (tiga dari kiri) ketika cef tersohor itu berkunjung ke kafenya dua tahun lalu.


GRAF populariti wanita ini melonjak selepas kunjungan cef selebriti tersohor Britain, Gordon Ramsay ke kafe miliknya, Aunty Aini’s Garden Cafe pada Mei 2011.
Nama wanita itu yang mesra dengan panggilan Aunty Aini dicari sebanyak 60,000 kali dalam enjian carian Google selepas program jelajah masakan, Gordon Great Escape disiarkan dua tahun lalu di saluran masakan popular seperti Asia Food Channel, Channel 4 dan BBC Lifestyle.
Gordon merupakan figura ikon dunia masakan, cef selebriti dan pemilik beberapa restoran terkenal di Amerika Syarikat (AS) serta Britain.
Selain Gordon’s Great Escape, cef dari Britain itu turut terkenal dengan beberapa rancangan televisyen kendaliannya seperti Hell’s Kitchen, The F Word, Ramsay’s Best Restaurant, Ramsay’s Kitchen Nighmares dan MasterChef yang berjaya menarik jutaan penonton pada setiap siri.
“Kedatangan Gordon ke mari bukan sekadar mahu menikmati keunikan kulinari tradisional tempatan, tetapi dia mahu mempelajari teknik memasak,” ujar Aunty Aini yang memiliki nama sebenar, Norzaini Abdul Hamid, 55.
Menurutnya, dalam siri jelajah masakan tersebut, Malaysia menjadi destinasi pilihan Gordon selain Thailand, Vietnam dan India.
“Saya berpendapat ia merupakan peluang yang baik untuk saya memperkenalkan masakan tradisional Melayu ke dunia luar, apatah lagi selepas saya diberitahu program itu boleh ditonton di seluruh dunia,” ujar wanita tersebut yang memilih rendang daging sebagai masakan istimewa untuk dikongsikan bersama Gordon ketika memasak pada tahun 2011.
Jika ditonton rakaman program tersebut, pasti ramai yang kagum dengan sikap keterbukaan, keramahan, spontan dan bersahaja yang ditunjukkan Aunty Aini.
“Saya menjadi diri saya sendiri. Tidak timbul perasaan gementar ataupun gugup apabila diminta berganding dengan Gordon di dapur saya.
“Malah, saya tidak memberi pelung langsung kepada Gordon untuk membuli saya walaupun ramai yang maklum dia seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan.
“Contohnya, sebagai cef profesional, Gordon sangat mementingkan resipi yang tepat untuk setiap masakannya sedangkan saya seorang yang jenis agak-agak sahaja.
“Malah, saya katakan kepadanya, jangan ditanya resipi kepada saya, kerana saya tidak tahu apa yang nak diberitahu.
“Kalau anda hendak belajar memasak, berdiri di sebelah saya dan perhatikan apa yang saya lakukan.
“Bila dia teragak-agak untuk memasak, saya katakan kepadanya, percayalah dengan gerak hati dan yakin dengan kemampuan air tangan anda sendiri,” katanya.
Hirup kuah
Biarpun memasak dengan resipi yang hanya agak-agak, resipi rendang daging yang dikongsikan dalam Gordon’s Great Escape telah mempopularkan Aunty Aini.
Dia mengaku mula tidak menang tangan menguruskan kafe selepas rancangan tersebut disiarkan.




















AUNTY AINI mengetengahkan masakan asli Negeri Sembilan di kafenya
 di Kampung Chelet, Nilai.

“Selepas saya mengajar Gordon memasak rendang, ramai pelanggan yang datang ke sini bertanyakan rendang daging sedangkan ia tidak ada dalam menu.
“Namun, disebabkan permintaan tinggi, saya mengambil keputusan untuk meletakkan rendang daging dalam senarai menu di kafe ini,” ujarnya.
Gordon bukanlah figura popular pertama yang pernah berkunjung ke kafe yang diusahakan oleh Aunty Aini bersama suaminya, Yeop Abdul Mutalib Azizul Hasan, 60.
“Pada tahun 2005, cef popular AS, penulis dan juga personaliti televisyen, Anthony Bourdain telah berkunjung ke Aunty Aini’s Garden Cafe.
“Pada masa itu, Bourdain sedang merangka dokumentari masakan. Dia datang ke sini bersama kru Discovery Channel untuk mengenali masakan Melayu tradisional.
“Sejak tersiar beberapa kali daam Discovery Channel, ramai pelancong asing datang ke sini.
“Jika ada acara perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, memang meriahlah kafe ini.
“Apa yang mengagumkan, lidah mereka boleh menerima baik masakan Melayu, terutamanya masakan lemak cili api yang disediakan di sini.
“Jangan terkejut kalau anda melihat orang Sepanyol, Jepun, Korea, Australia dan orang asing lain boleh menghirup kuah lemak cili api yang pedas ,” kata Aunty Aini yang tidak berkompromi tentang rasa masakan yang ditawarkan di kafenya.
Dia mengekalkan tahap kepedasan sebagai cara untuk mengekalkan keaslian rasa juadah Melayu Negeri Sembilan.
“Kalau namanya masak lemak cili api, memang kena pedas. Kalau saya kurangkan cilinya, ia sudah tidak asli lagi,” katanya yang belum pernah menerima kritikan atau mendengar rungutan daripada pelanggan mengenai masakannya.
Sebagai pemilik kafe, Aunty Aini turut menjadi individu yang penting di dapur.
“Memasak merupakan jiwa saya. Di kafe ini, saya tidak menyerahkan bulat-bulat kerja memasak kepada pekerja. Selagi saya boleh buat, saya akan buat,” katanya yang memberitahu, tiada rahsia dalam penyediaan masakannya.

THE ASTAKA @1 BKT SENYUM MERCU TANDA BARU JOHOR

JOHOR BAHRU - Johor bakal memiliki satu lagi mercu tanda baharu yang akan menjadi salah satu ikon ternama di negeri ini apabila projek dinamakan The Astaka@1 Bukit Senyum bakal dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2017.
Projek binaan tersebut merupakan kerjasama diantara Syarikat Astaka Padu Sendirian Sdn. Bhd. dan Penta Ocean Construction yang berpangkalan di Jepun.
Pengarah Urusan Astaka Padu, Datuk Zamani Kassim berkata, bangunan yang dinamakan The Astaka @ 1 Bukit Senyum itu akan dibina di bekas tapak Stadium Hoki dan Stadium Tertutup Johor Bahru di sini.
"Bangunan tersebut setinggi 70 tingkat atau 1003 kaki dari paras laut dan akan dibina di tapak seluas 8.654 ekar (3.502 hektar)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Pembinaan The Astaka di Persada Johor Convention Centre di sini malam tadi.
Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Monday, July 22, 2013

MENU JOHOR-JAWA SAJIAN DAPUR JENDELA - JB





















MENU kerang sos tiram yang harus dicuba pelanggan Dapur Jendela.
BUAT pertama kalinya, mengambil berkat Ramadan al-Mubarak, Restoran Dapur Jendela yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, Johor menawarkan hidangan bufet untuk khalayak yang mahu berbuka puasa.
Berbuka dalam suasana seperti di rumah sendiri, Dapur Jendela menyediakan pelbagai masakan kampung dengan identiti kulinari Johor-Jawa untuk memikat selera pengunjung. Hidangan yang berciri tradisional itu sememangnya menjadi pilihan popular setiap kali sesi berbuka puasa.
Ayam masak hijau, sotong masak hitam, kerang sos tiram, kari nangka, ikan bakar dan lemak labu serta ulam-ulaman adalah antara menu utama yang dihidangkan restoran tersebut. Tidak ketinggalan aneka manisan dan kuih-muih tradisional.
Namun, tarikan utama Dapur Jendela adalah hidangan ala carte mereka yang menjadi tanda aras restoran tersebut sejak ia dibuka lebih tujuh bulan lalu.
Lempeng dengan sambal tumis bilis, ubi rebus, roti jala, soto dan nasi lemak kukus ayam berempah merupakan hidangan wajib rasa yang menjadi keunikan dan membuatkan Dapur Jendela terkenal dalam kalangan pengunjung mereka.
Menurut pemilik Dapur Jendela, Nurshila Surip, 23, hidangan yang disediakan untuk menu berbuka puasa di restoran itu pasti mengingatkan pengunjung kepada masakan air tangan ibu di rumah.
“Bagi mereka yang mencari kelazatan masakan mengikut selera masyarakat Johor dan Jawa, Dapur Jendela adalah tempatnya,” ujar Nurshila.
Menariknya, Dapur Jendela bukan sahaja menyediakan hidangan untuk berbuka puasa, bahkan hidangan untuk bersahur.

KWSP ADAKAN KEMPEN PENGELUARAN FLEKSIBEL 55 TAHUN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan kempen pengiklanan untuk menggalakkan pencarum memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun bagi membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, menerusi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun itu, ahli boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sebahagian, bulanan atau kombinasi kedua-duanya sekali.
Menurutnya, kempen pengiklanan bertemakan 'Melanjutkan Tempoh Simpanan Persaraan Anda' yang disiarkan di radio, akhbar dan Facebook KWSP mulai hari ini sehingga 2 Ogos 2013 itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk meningkatkan kesedaran ahli mengenai perancangan semasa persaraan.
"Memandangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat kepada 75 tahun, KWSP menyeru ahli menguruskan simpanan mereka menggunakan pilihan fleksibel ini. Pengeluaran ini membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.
"Tambahan pula simpanan di KWSP akan terus menerima dividen, sekali gus meningkatkan simpanan persaraan ahli. Pelanjutan tempoh simpanan ini akan menguntungkan lagi ahli," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Affendi turut menasihatkan ahli supaya memulakan lebih awal perancangan kewangan untuk persaraan dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap simpanan KWSP yang mungkin tidak mencukupi.
Katanya, ahli perlu merancang menyimpan melalui saluran-saluran pelaburan lain yang terdapat di pasaran sebagai sebahagian daripada perancangan persaraan

Sunday, July 21, 2013

3 PERKARA UTAMA MAJUKAN PONTIAN

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam Majlis Ramah 
Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, kelmarin. 

PONTIAN 20 Julai - Tiga perkara utama akan diberikan tumpuan bagi membolehkan Pontian terus menikmati pembangunan seimbang.
Perkara tersebut ialah penempatan penduduk di beberapa kawasan rizab kerajaan termasuk rizab sungai, pelebaran jalan raya Pontian-Johor Bahru dan memasukkan seluruh daerah itu ke dalam Iskandar Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan penempatan yang baharu untuk mereka yang mendiami rizab kerajaan dan rizab sungai memandangkan golongan tersebut berdepan dengan risiko banjir, air pasang besar dan pelbagai perkara berkaitan.
"Perkara ini telah dibangkitkan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon semasa taklimat pembangunan dan jelas ia merupakan keutamaan kepada penduduk yang terlibat dan menjadi harapan pentadbiran daerah untuk melihat tiada lagi penempatan sedemikian pada masa depan sejajar dengan kepesatan pembangunan.
"Kertas kerja mengenai penempatan semula sedang diperincikan oleh Pejabat Daerah Pontian dan diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun ini," katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, di sini semalam.
Dalam majlis itu turut disampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 100 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim, saudara baharu, pelajar institusi pengajian tinggi, hafiz al-Quran, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.
Mohamed Khaled berkata, pelebaran jalan Pontian-Johor Bahru melalui bandar Pekan Nanas juga penting bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada waktu puncak yang menjadi keluhan penduduk daerah ini yang berkerja di Johor Bahru, Nusa Jaya, Gelang Patah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

3 MASJID BARU DI DUN KUKUP

PONTIAN 21 Julai - Tiga buah masjid baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada tahun ini iaitu dua daripadanya di bawah pembiayaan kerajaan negeri manakala satu lagi oleh syarikat korporat terkemuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, masjid yang akan dibina di Kampung Sungai Durian dan Kampung Sungai Boh masing-masing menelan kos RM1.5 juta manakala masjid di Kampung Sungai Dinar oleh pemilik stesen janakuasa arang batu di Tanjung Bin, Malakoff Berhad pula bernilai RM2 juta.
"Pembinaan tiga buah masjid pada tahun ini, diharap dapat memenuhi permintaan penduduk sekali gus menunaikan janji pilihan raya. Kami juga berharap kerajaan negeri melihat permohonan masjid baharu bagi Kampung Tenggayun sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Saya harap dengan kemudahan yang serba indah dan lengkap akan menjadi dorongan serta galakan kepada umat Islam meningkatkan keimanan serta ketakwaan pada bulan yang mulia ini," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan kenduri sekampung di Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali, Serkat, di sini semalam.
Parlimen Tanjung Piai termasuk DUN Kukup mempunyai 37 buah masjid dan 28 buah surau.
Menyentuh mengenai program bersama rakyat dalam bulan Ramadan, Suhaimi yang merupakan wakil rakyat Kukup berkata, beliau akan mengadakan lawatan bersama Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon ke 10 buah masjid dan surau untuk berbuka puasa dan bertarawih.
Menurutnya, kawasan yang terlibat adalah di mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Serkat, Sungai Karang, Air Masin, Telok Kerang dan Rimba Terjun dalam siri lawatan untuk mengenali jentera pentadbiran di peringkat akar umbi seperti penghulu, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau serta ketua-ketua cawangan.
"Saya berharap akan mendapat gambaran sebenar mengenai keperluan serta masalah penduduk untuk dimajukan kepada pihak berkenaan. Tumpuan bukan sahaja kepada kemudahan asas tetapi beberapa perkara lain seperti pendidikan, belia, ekonomi, kesihatan penduduk, kemiskinan," katanya lagi.