BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 21, 2013

3 MASJID BARU DI DUN KUKUP

PONTIAN 21 Julai - Tiga buah masjid baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada tahun ini iaitu dua daripadanya di bawah pembiayaan kerajaan negeri manakala satu lagi oleh syarikat korporat terkemuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, masjid yang akan dibina di Kampung Sungai Durian dan Kampung Sungai Boh masing-masing menelan kos RM1.5 juta manakala masjid di Kampung Sungai Dinar oleh pemilik stesen janakuasa arang batu di Tanjung Bin, Malakoff Berhad pula bernilai RM2 juta.
"Pembinaan tiga buah masjid pada tahun ini, diharap dapat memenuhi permintaan penduduk sekali gus menunaikan janji pilihan raya. Kami juga berharap kerajaan negeri melihat permohonan masjid baharu bagi Kampung Tenggayun sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Saya harap dengan kemudahan yang serba indah dan lengkap akan menjadi dorongan serta galakan kepada umat Islam meningkatkan keimanan serta ketakwaan pada bulan yang mulia ini," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan kenduri sekampung di Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali, Serkat, di sini semalam.
Parlimen Tanjung Piai termasuk DUN Kukup mempunyai 37 buah masjid dan 28 buah surau.
Menyentuh mengenai program bersama rakyat dalam bulan Ramadan, Suhaimi yang merupakan wakil rakyat Kukup berkata, beliau akan mengadakan lawatan bersama Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon ke 10 buah masjid dan surau untuk berbuka puasa dan bertarawih.
Menurutnya, kawasan yang terlibat adalah di mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Serkat, Sungai Karang, Air Masin, Telok Kerang dan Rimba Terjun dalam siri lawatan untuk mengenali jentera pentadbiran di peringkat akar umbi seperti penghulu, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau serta ketua-ketua cawangan.
"Saya berharap akan mendapat gambaran sebenar mengenai keperluan serta masalah penduduk untuk dimajukan kepada pihak berkenaan. Tumpuan bukan sahaja kepada kemudahan asas tetapi beberapa perkara lain seperti pendidikan, belia, ekonomi, kesihatan penduduk, kemiskinan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment