BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, July 27, 2013

CAFE AUNTY AINI'S POPULAR KERANA GORDON


AUNTIE Aini (dua dari kiri) serta keluarganya bergambar kenangan bersama Gordon
 (tiga dari kiri) ketika cef tersohor itu berkunjung ke kafenya dua tahun lalu.


GRAF populariti wanita ini melonjak selepas kunjungan cef selebriti tersohor Britain, Gordon Ramsay ke kafe miliknya, Aunty Aini’s Garden Cafe pada Mei 2011.
Nama wanita itu yang mesra dengan panggilan Aunty Aini dicari sebanyak 60,000 kali dalam enjian carian Google selepas program jelajah masakan, Gordon Great Escape disiarkan dua tahun lalu di saluran masakan popular seperti Asia Food Channel, Channel 4 dan BBC Lifestyle.
Gordon merupakan figura ikon dunia masakan, cef selebriti dan pemilik beberapa restoran terkenal di Amerika Syarikat (AS) serta Britain.
Selain Gordon’s Great Escape, cef dari Britain itu turut terkenal dengan beberapa rancangan televisyen kendaliannya seperti Hell’s Kitchen, The F Word, Ramsay’s Best Restaurant, Ramsay’s Kitchen Nighmares dan MasterChef yang berjaya menarik jutaan penonton pada setiap siri.
“Kedatangan Gordon ke mari bukan sekadar mahu menikmati keunikan kulinari tradisional tempatan, tetapi dia mahu mempelajari teknik memasak,” ujar Aunty Aini yang memiliki nama sebenar, Norzaini Abdul Hamid, 55.
Menurutnya, dalam siri jelajah masakan tersebut, Malaysia menjadi destinasi pilihan Gordon selain Thailand, Vietnam dan India.
“Saya berpendapat ia merupakan peluang yang baik untuk saya memperkenalkan masakan tradisional Melayu ke dunia luar, apatah lagi selepas saya diberitahu program itu boleh ditonton di seluruh dunia,” ujar wanita tersebut yang memilih rendang daging sebagai masakan istimewa untuk dikongsikan bersama Gordon ketika memasak pada tahun 2011.
Jika ditonton rakaman program tersebut, pasti ramai yang kagum dengan sikap keterbukaan, keramahan, spontan dan bersahaja yang ditunjukkan Aunty Aini.
“Saya menjadi diri saya sendiri. Tidak timbul perasaan gementar ataupun gugup apabila diminta berganding dengan Gordon di dapur saya.
“Malah, saya tidak memberi pelung langsung kepada Gordon untuk membuli saya walaupun ramai yang maklum dia seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan.
“Contohnya, sebagai cef profesional, Gordon sangat mementingkan resipi yang tepat untuk setiap masakannya sedangkan saya seorang yang jenis agak-agak sahaja.
“Malah, saya katakan kepadanya, jangan ditanya resipi kepada saya, kerana saya tidak tahu apa yang nak diberitahu.
“Kalau anda hendak belajar memasak, berdiri di sebelah saya dan perhatikan apa yang saya lakukan.
“Bila dia teragak-agak untuk memasak, saya katakan kepadanya, percayalah dengan gerak hati dan yakin dengan kemampuan air tangan anda sendiri,” katanya.
Hirup kuah
Biarpun memasak dengan resipi yang hanya agak-agak, resipi rendang daging yang dikongsikan dalam Gordon’s Great Escape telah mempopularkan Aunty Aini.
Dia mengaku mula tidak menang tangan menguruskan kafe selepas rancangan tersebut disiarkan.




















AUNTY AINI mengetengahkan masakan asli Negeri Sembilan di kafenya
 di Kampung Chelet, Nilai.

“Selepas saya mengajar Gordon memasak rendang, ramai pelanggan yang datang ke sini bertanyakan rendang daging sedangkan ia tidak ada dalam menu.
“Namun, disebabkan permintaan tinggi, saya mengambil keputusan untuk meletakkan rendang daging dalam senarai menu di kafe ini,” ujarnya.
Gordon bukanlah figura popular pertama yang pernah berkunjung ke kafe yang diusahakan oleh Aunty Aini bersama suaminya, Yeop Abdul Mutalib Azizul Hasan, 60.
“Pada tahun 2005, cef popular AS, penulis dan juga personaliti televisyen, Anthony Bourdain telah berkunjung ke Aunty Aini’s Garden Cafe.
“Pada masa itu, Bourdain sedang merangka dokumentari masakan. Dia datang ke sini bersama kru Discovery Channel untuk mengenali masakan Melayu tradisional.
“Sejak tersiar beberapa kali daam Discovery Channel, ramai pelancong asing datang ke sini.
“Jika ada acara perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, memang meriahlah kafe ini.
“Apa yang mengagumkan, lidah mereka boleh menerima baik masakan Melayu, terutamanya masakan lemak cili api yang disediakan di sini.
“Jangan terkejut kalau anda melihat orang Sepanyol, Jepun, Korea, Australia dan orang asing lain boleh menghirup kuah lemak cili api yang pedas ,” kata Aunty Aini yang tidak berkompromi tentang rasa masakan yang ditawarkan di kafenya.
Dia mengekalkan tahap kepedasan sebagai cara untuk mengekalkan keaslian rasa juadah Melayu Negeri Sembilan.
“Kalau namanya masak lemak cili api, memang kena pedas. Kalau saya kurangkan cilinya, ia sudah tidak asli lagi,” katanya yang belum pernah menerima kritikan atau mendengar rungutan daripada pelanggan mengenai masakannya.
Sebagai pemilik kafe, Aunty Aini turut menjadi individu yang penting di dapur.
“Memasak merupakan jiwa saya. Di kafe ini, saya tidak menyerahkan bulat-bulat kerja memasak kepada pekerja. Selagi saya boleh buat, saya akan buat,” katanya yang memberitahu, tiada rahsia dalam penyediaan masakannya.

No comments:

Post a Comment