BANNER KEMANGI
FACILITIES
Tuesday, February 19, 2013
WALIMATULURUS: IKUT SYARIAT ATAU IKUT HATI ?
MENGADAKAN kenduri kahwin atau dikenali sebagai walimatulurus amat digalakkan di sisi agama Islam. Bahkan terdapat hujah dalam kalangan para ulama yang mengatakan hukum menghadiri majlis sebegini adalah wajib, malah mereka turut mengharuskan berbuka puasa bagi jemputan yang sedang berpuasa sunat.
Penganjuran majlis kenduri kahwin sebenarnya dilihat bertujuan meraikan kehadiran pasangan suami isteri ke alam rumah tangga, selain dilihat menghebahkan kedua-dua mempelai yang telah mengikat talian perkahwinan kepada masyarakat umum.
Bukan sekadar itu juga, majlis kenduri mempunyai objektif mendalam iaitu ia bertujuan mengeratkan talian silaturahim antara sesama sanak-saudara dan sahabat-handai seandainya mereka tinggal berjauhan lalu bertemu kembali pada majlis raja sehari tersebut.
Sebenarnya ia merupakan satu ibadat, bahkan ia bertepatan dengan satu hadis diriwayatkan oleh Anas yang bermaksud: "Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Muhammad menjadi seorang pengantin dengan Zainab al-Jahsy, baginda telah mengundang masyarakat lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai."
Sebaliknya pada hari ini, adakah tujuan asal majlis perkahwinan seperti dianjurkan oleh agama Islam masih terjadi lagi? Adakah budaya yang seolah-olah berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk itu digalakkan dalam agama Islam?
Hal ini kerana pada masa kini, trend majlis perkahwinan dilihat melepasi batas tujuan asal. Ini dibimbangi berlakunya unsur pembaziran serta bersaing secara tidak sihat di antara satu sama lain.
Bukan hanya pembaziran dari segi persiapan tetapi juga cenderamata yang dikhaskan untuk para tetamu yang malah harganya. Pun begitu, ada segelintir suara-suara yang mengatakan apa salahnya, asalkan berkemampuan. Adakah konsep majlis perkahwinan sebegini dibolehkan agama dengan alasan berkemampuan?
Daripada pandangan Islam, segala perkara yang mempunyai unsur pembaziran dan menunjuk-nunjuk adalah dilarang. Jelas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sekiranya walimatulurus mempunyai unsur itu maka matlamat asal ia diadakan telah bertentangan dengan ajaran Islam.
Ujar beliau, tujuan asal walimatulurus adalah untuk memperkenalkan pengantin kepada saudara mara dan jiran tetangga. Jadi jika berlaku pembaziran sehingga terpaksa berhutang, ini adalah suatu tindakan yang sangat dilarang.
Sehubungan itu, Islam tidak menggalakkan segala perkara yang berlebihan sehingga mendatangkan kemudaratan kerana kesederhanaan dititikberatkan oleh ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
"Tidak kira, sama ada kaya atau miskin, jika mereka melakukan sesuatu perkara berlawanan dengan hukum syarak termasuk menganjurkan pembaziran, ia adalah ditegah dan dikhuatiri mengurangkan keberkatan pada majlis perkahwinan berkenaan.
"Oleh itu suka saya menyarankan kepada bakal pengantin di luar sana untuk memikirkan sehabis-habisnya tentang soal majlis perkahwinan. Seharusnya mereka mengadakan majlis perkahwinan dengan mengikut kemampuan mereka. Memadai ia diadakan dengan sederhana tetapi memenuhi matlamat asal perkahwinan diadakan," ujar Harussani yang antara sempat mengingatkan jangan disebabkan berbelanja mewah pengantin terpaksa menanggung bebanan hutang sehingga ke anak cucu.
Berbalik berhubung persoalan menunjuk-nunjuk, menurut Harussani lagi, perbuatan riak merupakan salah satu sikap mazmumah (buruk). Perkara berkenaan hendak dijauhi ketika majlis perkahwinan berlangsung.
Belanja ikut kemampuan
Tidak salah berbelanja berlebihan untuk hari bersejarah tersebut jika pengantin atau keluarganya berkemampuan berbuat demikian. Selain itu, ia adalah tanggungjawab terakhir kepada ibu bapa terhadap anak mereka dan merupakan amanah pertama kepada pengantin baru untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka secara sendiri.
Demikian pula ulasan yang diberikan oleh tokoh agama, Datuk Mohd. Daud Che Ngah ketika dihubungi baru-baru ini dengan memberikan alasan bahawa tidak salahnya memberikan makanan kepada para tetamu yang hadir kerana ia dilihat menghargai dan memuliakan serta mengeratkan hubungan silaturahim, termasuk dalam perbuatan melakukan amalan sedekah.
Mohd. Daud menambah, majlis perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup maka jika pihak yang terlibat berbelanja lebih tidak salah asalkan mengikut kemampuan.
Tokoh agama itu mengambil contoh dalam soal hidangan makanan, ia merupakan satu sedekah dan penghargaan kepada tetamu yang hadir walaupun mereka terdiri daripada golongan berada. Para tetamu terdiri daripada sanak-saudara dan rakan-taulan, seharusnya mereka dihidangkan dengan juadah makanan kerana bertujuan untuk memuliakan mereka kerana sudi hadir ke hari penuh bersejarah itu.
"Saya berpendapat, tidak salah jika berbelanja untuk perkara baik contohnya dalam soal hidangan makanan kepada tetamu yang hadir. Yang salahnya apabila membelanjakan untuk perkara melalaikan contohnya mengadakan hiburan sehingga membelanjakan beribu-ribu walaupun mereka berkemampuan.
"Sebenarnya di negara-negara Arab termasuk di Kota Mekah, mereka akan turut mengeluarkan belanja untuk majlis perkahwinan sehingga RM300,000 kerana majlis itu adalah suatu yang penting menurut adat mereka. Asalnya perjalanan majlis mengikut hukum syarak," jelas beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
Kata Mohd. Daud lagi, selain mengeratkan talian silaturahim, majlis perkahwinan atau walimatulurus adalah sesuatu yang penting kerana sekiranya suami atau isteri ingin bercerai dalam tempoh singkat, mereka akan beringat kerana demi perkahwinan itu mereka terpaksa berkorban wang dan tenaga.
"Mereka akan malu dengan para tetamu kerana masyarakat telah mengetahui bahawa pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga. Penceraian dalam tempoh singkat akan menjadi buah mulut orang yang akhirnya memalukan dua mempelai," ujar beliau.
Sehubungan itu, Mohd. Daud berkata yang menjadi kesalahan jika berlebih-berlebihan sehingga melampaui batas kemampuan mereka lalu terpaksa memohon pinjaman kewangan, bergolok-bergadai atau berhutang keliling pinggan.
Tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai suami isteri adalah penting daripada memikirkan majlis perkahwinan. Dalam tempoh lima tahun awal perkahwinan, pasangan suami isteri bakal dilanda pelbagai dugaan termasuk berhadapan masalah kewangan.
Berbelanja berlebihan dan pasangan terpaksa menanggung hutang, seterusnya mendatangkan masalah kewangan sehingga membawa kepada masalah perceraian adalah suatu perkara yang merugikan.
Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, bakal pengantin perlu memahami akan konsep perkahwinan itu sendiri dengan mengetahui bahawa nikah dan mahar sudah memadai berbanding mengeluarkan belanja mewah untuk majlis yang berlangsung selama sehari.
Sehubungan itu, Noor Aziah menggesa pasangan di luar sana untuk memikirkan masa panjang berbanding terpaksa memohon pinjaman kewangan yang mempunyai riba, akhirnya menyusahkan perkahwinan mereka sendiri.
"Perkahwinan sebenarnya ikut syariat, bukannya mengikut hati. Kalau hendak memuas hati sendiri dan orang ramai, sampai bila tidak dapat. Oleh demikian, ikut syariat adalah jalan terbaik.
"Bahkan peratusan kadar penceraian hari ini adalah disebabkan faktor kewangan. Bebanan tersebut menyebabkan masing-masing tidak memenuhi keperluan asas sebuah keluarga lalu berpisah dianggap adalah cara terbaik untuk meleraikan masalah tersebut," kata beliau.
Dalam pada itu, Noor Aziah berkata terikut-ikut dengan rancangan program televisyen perkahwinan dan majalah sangat tidak digalakkan kerana daripada sudut itu akan dilihat menarik bakal pengantin untuk meniru contoh dipaparkan yang akhirnya menjerat diri masing-masing.
"Jika dahulu, orang kampung akan membawa beras, gula dan masing-masing menyalurkan sedekah untuk menumbang seekor lembu, maka pengantin tidak akan mengeluarkan pembelanjaan satu sen pun. Selain ia dilihat menjimatkan kos, tetapi ia dilihat mengeratkan silaturahim menerusi amalan bergotong-royong.
"Tetapi situasi seperti itu telah ditelan zaman, amalan gotong-royong sudah jarang dijumpai, terutamanya dalam kalangan masyarakat moden hari ini," kata Noor Aziah.
Beliau mencadangkan agar majlis perkahwinan antara kedua-dua pihak disatukan dan diadakan di surau atau masjid, sekali gus sebagai tanda perpaduan dan hubungan erat sesama keluarga.
"Jadikanlah walimatulurus sebagai penanda aras untuk suami bertanggungjawab mengeluarkan mahar untuk isteri dan dari sudut lain, ia mendidik dan menerapkan amanah kepada pasangan suami isteri berkenaan," kata beliau.
Labels:
MINDAGAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment