BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, March 24, 2013

NASI MANDY YAMAN RESTORAN AL-EDRUS


IMEJ negara Yemen sering tercalar kerana insiden penculikan warga asing serta serangan pengganas yang melibatkan kehilangan nyawa.
Rentetan peristiwa tersebut seakan-akan menyembunyikan ciri -ciri sebenar negara benua Asia Barat itu yang sarat dengan cerita penting sebelum dan selepas kedatangan Islam.
Ironi, Yemen terkenal dengan ketamadunan Islam yang berdiri dalam kelas tersendiri.
Semua pasti mengetahui kisah tentera Abrahah pimpinan Gabenor Yemen, yang ingin menghancurkan Mekah.
Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yemen.
Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut tidak memberikan tentangan kerana sedar kekuatan pasukan musuh.
Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah dengan burung Ababil.
Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran yang terdapat dalam surah al-Fil.
Umat Islam pasti menjadikan pemuda yang merupakan golongan pertama yang masuk Islam iaitu Muadz bin Jabal sebagai idola.
Beliau bersama Rasulullah SAW menerima bai’at daripada kabilah Aus dan Khazraj dalam Perjanjian Aqabah kedua.
Muadz telah dilantik menjadi pemimpin masyarakat Yemen sewaktu umurnya belum mencecah 20 tahun.
Tidak lupa, kisah Ratu Balqis dan rakyatnya yang hidup pada era Nabi Sulaiman. Ratu Balqis ialah pemerintah kerajaan Saba’ yang terkenal di Yemen.
Ratu Balqis seorang tokoh pemerintah yang bijaksana dan pintar namun menyembah matahari.
Namun, akhirnya beliau beriman kepada Allah hasil dakwah Nabi Sulaiman.
Warisan dunia
Sebenarnya, pada tahun 1986, Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), mengisytiharkan keseluruhan ibu kota Yemen iaitu Sanaa sebagai Tapak Warisan Dunia.
NASI mandi daging kambing di Restoran El Edrus dijual pada harga RM17 sehidangan.
Ini sekali gus memastikan rumah-rumah dan pasar-pasar purba yang ada di sana terpulihara.
Tarikan tersendiri negara itu ialah nasi mandi.
Bukan sahaja enak, cara memasaknya juga berbeza iaitu menggunakan dapur bawah tanah.
Bagaimanapun, anda tidak perlu ke Yemen untuk menikmati makanan istimewa ini kerana terdapat restoran yang menyediakannya di Malaysia.
Menurut pemilik Restoran Al Edrus, Sayed Amir Muzakkir Al-Aydrus, dapur bawah tanah merupakan kemestian bagi rakyat Yemen untuk memasak nasi mandi.
Ini kerana nasi yang dimasak menggunakan dapur sebegitu bersifat kering, tidak berminyak selain cepat kenyang apabila dimakan.
“Ayam dan daging kambing lebih lembut malah daging kambing tidak berbau hanyir dan boleh diracik seperti ayam yang direbus,” cerita Sayed Amir yang keluarga mempunyai darah Yemen dan menetap di Terengganu.
Kawasan gurun
Restoran Al Edrus mempunyai beberapa cawangan termasuk di Sungai Buloh dan Taman Melawati di Selangor serta Kuantan, Pahang.
Mengikut penduduk lama Yemen, nasi mandi didakwa mendapat namanya kerana jus daging ayam dan kambing yang direbus di dalam periuk bertingkat melimpah masuk ke dalam periuk nasi yang terletak di bawahnya.
Ia menyebabkan nasi itu seakan-akan berair semasa dimasak. Namun, nasi tersebut ditoskan terlebih dulu sebelum dihidangkan.
Terang Sayed Amir, 30, dahulu rakyat Yemen memasak nasi mandi menggunakan dapur bawah tanah di kawasan gurun.
“Cuma pada zaman moden ini mereka mengorek tanah rumah atau restoran untuk dijadikan dapur tradisional,” katanya.
Dapur bawah tanah yang sekali pandang seperti sebuah telaga itu terdapat di semua Restoran Al Edrus. Menurut Sayed Amir, ada beberapa petua yang perlu dipatuhi semasa hendak membuat dapur telaga itu.
Katanya, tanah yang akan dikorek seharusnya tidak mempunyai sumber air bawah tanah.
“Tanah kasar yang dipilih perlu dikorek menggunakan cangkul sekurang-kurangnya sedalam 1.5 meter dengan diameter 1 meter.
“Lantai dan dinding lubang itu disimen. Selepas itu, lubang itu diisi dengan arang.
“Sebaik-baiknya lubang tadi jangan terlalu hampir dengan dapur dan ruang makan kerana ia mengeluarkan haba yang panas,” beritahu beliau.
Malah, sebaik sahaja selesai digunakan, lubang itu ditutup sebagai langkah keselamatan dan bagi menjamin kebersihannya.
Jelas Sayed Amir, kaedah memasak menggunakan dapur itu juga mudah. Gas memasak akan disalurkan ke bahagian bawah dapar yang menempatkan arang menggunakan saluran paip yang diubah suai.
“Gas itu dihidupkan dengan kertas sehingga semua arang bernyala. Selepas bekalan gas dihentikan, barulah makanan berkaitan dimasak menggunakan api arang sepenuhnya,” kata beliau.
DAPUR bawah tanah perlu digali sedalam 1.5 meter.


Sayed Amir berkata, nasi mandi dimasak di dalam periuk bertingkat di bahagian paling bawah.
“Bekas berisi daging ayam dan kambing terletak di bahagian atas dengan proses memasaknya mengambil masa dua jam,” katanya.
Menurut seorang pengurus restorannya, Mohammad Helmy Abdul Moik, nasi itu mampu bertahan selama lima hari sekiranya dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Kalau disimpan di luar ia boleh bertahan selama dua hari.
“Nasi mandi kini kian digemari rakyat negara ini termasuk kaum Cina dan India.
“Sebagai contoh cawangan Restoran Al Edrus di Kuantan sering dipenuhi orang Cina,” katanya.
Kru Jurnal berpeluang merasai nasi mandi restoran tersebut.
Ternyata apa yang dikatakan Sayed Amir benar. Nasi mandi yang dimasak menggunakan arang rasanya lebih enak berbanding nasi yang dimasak dengan dapur gas.
Ia tidak berminyak dan melekit. Daging kambingnya pula lembut dan tidak berbau.
Selain itu, terdapat tarikan tersendiri di restoran ini iaitu kuahnya seperti sambal belacan yang terasa kepedasannya.

No comments:

Post a Comment