Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.
"Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan berterusan dan berulang kali.
"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia