D’Sudu Garfu Cafe merupakan cetusan nama pemiliknya, Mohamad Nayan Alias, 57 dan keluarga.
Menurut Mohamad Nayan, pihaknya tidak menggunakan khidmat perunding rekaan dalaman profesional sebaliknya konsep dekorasi dan hiasan kafe adalah cetusan idea daripada anak-anaknya.
“Kafe ini merupakan perniagaan keluarga dan pemilihan nama sudu dan garfu itu timbul apabila melihat pelayan menyusun sudu dan garfu di setiap meja makan di sebuah restoran.
“Daripada situ, kami mula menyedari betapa pentingnya penggunaan kedua-dua peralatan tersebut ketika menjamu selera, malah nama itu juga mudah diingati,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.
Tambahnya, pemilihan konsep santai dirasakan sangat bertepatan bagi membolehkan pelanggan berasa seperti menjamu selera di rumah.
Kafe tersebut turut dijadikan sebagai lokasi pilihan bagi pelanggan yang mahukan rasa tenang dan selesa ketika menjamu selera selain bersantai bersama rakan serta keluarga.
Menariknya, kafe ini menampilkan elemen vintaj, retro dan Inggeris sebagai dekorasi utama.
D’Sudu Garfu Cafe juga dilihat banyak bermain dengan bahan dekorasi yang bervariasi seperti lampu pelbagai bentuk, pasu bunga mini serta jam dinding bermotifkan sudu dan garfu.
“Kebanyakan perabot dan bahan dekorasi di kafe ini merupakan barangan tempatan yang kemudiannya disuai padan mengikut kesesuaian ruang.
“Gaya retro misalnya tertumpu pada titik tarikan sebuah Vespa 150 Super Sprint berwarna hijau yang diletakkan di satu sudut kafe ini,” ujarnya.
Selain dekorasi, kafe ini menyediakan menu yang menggunakan tagline ‘Dari Dapur Mama’.
Kebanyakan menu merupakan cetusan idea isteri Mohamad Nayan, Mariam Ahmad, 57. Kafe ini menawarkan kira-kira 65 jenis makanan dan minuman yang bercirikan makanan tempatan, masakan Thai dan Barat.
“Kebanyakan sajian di sini dimasak sendiri oleh saya supaya pelanggan terasa seperti menikmati masakan di rumah,” jelas Mariam.
Dalam mencipta kelainan, kafe yang turut menyediakan ruang santapan di bahagian luar itu menggunakan koleksi cawan dan gelas comel beraneka bentuk untuk menghidangkan minuman panas serta sejuk kepada pelanggan.
D’Sudu Garfu Cafe
Konsep hiasan: Santai
Keluasan: 143 meter persegi
Menu: Makanan tempatan, masakan Thai dan Barat
Instagram: sudugarfucafe
Telefon: 012-590 6983/ 012-520 3065
Alamat: No.56, Laluan Tawas Damai, Anjung Tawas Impiana, Ipoh, Perak
Waktu operasi: Isnin hingga Ahad
(3 petang hingga 12 malam)