Namun, itulah keunikan kafe baharu dibuka di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak yang diurus bersama oleh Azizul Azman, 32, dan Faiz Izwandi Mustapha, 35.
Hobo mengikut takrifan yang diberi oleh Faiz Izwandi, membawa maksud gelandangan atau orang susah mengikut slanga Amerika, sementara Gan Lee Co pula merujuk kepada pemilik asal bangunan tersebut yang membuka kedai kasut di situ.
Maka, tidak hairanlah sekiranya banyak dekorasi yang diaplikasi di ruang kafe tersebut banyak menggunakan barangan serta perabot terpakai seperti pintu dan tingkap rumah lama, malah diubah suai secara kreatif untuk dijadikan meja.
Namun begitu, paling istimewa mengenai Hobo ialah menu kopi bru sejuk yang satu-satunya terdapat di Ipoh.
“Biasanya minuman kopi dihasilkan daripada ekstrak biji kopi menggunakan air panas, namun, kami mengekstraknya secara manual menggunakan air sejuk dalam tempoh masa minimum selama lapan jam.
“Perbezaannya dengan kopi dihasilkan menggunakan air panas ialah minuman ini mempunyai paras asid lebih rendah, namun, kandungan kafeinnya tinggi sedikit.
“Kopi Hobo bru sejuk ini boleh dinikmati begitu sahaja atau ditambah dengan vanila, susu atau soda,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Di Hobo, kata Faiz Izwandi, pelanggan dapat menikmati minuman daripada tiga jenis biji kopi berbeza iaitu Tobing Estate Single Origin yang diperoleh dari sebuah ladang di Acheh, Indonesia; House Blend (terdiri daripada biji kopi Robusta, Columbian dan Arabica) serta yang dibekalkan oleh Espresso Lab.
Menurut beliau, hidangan aneka jenis kopi itu turut dipelbagaikan dengan beberapa teknik penyediaan termasuk ‘drip coffee’ dan ‘aeropress’.
“Bagi teknik ‘aeropress’, pelanggan boleh memilih sama ada hendak merasai kopi stail Americano atau Double Espresso. Perbezaannya ialah Americano disediakan menggunakan air yang banyak berbanding dengan Double Espresso iaitu kopi semata-mata,” katanya.
Sesuai dengan kafe berkenaan yang bertemakan gelandangan, kata Faiz Izwandi, hidangan makanan yang ditawarkan pula dipilih berdasarkan menu ringan seperti waffle, french toast, pancakes dan omelette.
Kesemua menu itu dipelbagaikan persembahannya sama ada dengan tambahan ais krim vanila, strawberi, beri biru mahupun pisang karamel.
Bagi minuman pula, selain kopi, anda juga boleh memesan minuman coklat dan vanila yang dihidangkan secara panas atau sejuk serta ditambah dengan daun pudina atau susu (latte).
Selain itu, terdapat juga pilihan ‘ice-blended’ kopi, coklat, vanila dan karamel serta beberapa jenis mocktail yang dirahsiakan resepinya.
Apapun, ujar Azizul, kafe berkenaan juga berkonsepkan layan diri yang mana nama pelanggan akan dipanggil sebaik sahaja hidangan mereka siap disediakan untuk diambil di kaunter.
Biarpun begitu, sapaan mesra oleh staf Hobo bermula dari saat anda masuk sehingga meninggalkan premis tersebut, menjadikannya sebagai tempat yang ideal untuk bersantai bersama rakan-rakan.