BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, January 22, 2015

KANSER PROSTAT MENGANCAM LELAKI

Penyakit ini tiada simptom awal seperti kebanyakan penyakit lain. Mungkin disebabkan faktor itu, ramai lelaki kurang memberi perhatian terhadap kanser prostat.
Prostat ialah kelenjar bersaiz 'walnut' terletak di belakang dasar zakar, di depan rektum, di bawah pundi kencing dan di sekeliling uretra.
Uretra ialah saluran tiub yang membawa air kencing dan air mani melalui zakar. Fungsi utama prostat ialah untuk menghasilkan cecair air mani.
Di Malaysia, kanser prostat adalah kanser keempat paling biasa menyerang lelaki manakala di seluruh dunia ia yang kedua paling ditakuti lelaki di seluruh dunia.
Pada 2008 saja, sebanyak 900,000 kes dilaporkan dan ia dijangka meningkat kepada 1.7 juta kes menjelang 2030. Manakala pada 2012, 1.11 juta lelaki didiagnosis kanser prostat. Angka berkenaan dijangka meningkat jika lelaki masih tiada kesedaran terhadap penyakit itu.
Perunding Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Loh Chit Sin berkata, kanser prostat ialah ketumbuhan sel tidak normal dalam kelenjar prostat, manakala prostat ialah kelenjar yang mengelilingi uretra (saluran kencing) dan terletak di bawah pundi kencing lelaki yang juga dikenali sebagai karsinoma prostatik.
"Sel kanser itu mungkin merebak daripada prostat ke bahagian lain tubuh, terutama tulang dan nodus limfa. Kanser prostat mungkin pada mulanya tidak menyebabkan sebarang gejala, namun pada peringkat lain menyebabkan kesakitan dan kesukaran membuang air kecil.
"Kanser prostat merebak melalui empat tahap. Ia dikenal pasti di segi saiz tumor, sama ada nod limfa dijangkiti atau tumor berkenaan merebak ke bahagian lain," katanya ketika ditemui pada kempen Fight For Your Man di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Tahap pertama kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada gejala apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
Pada tahap kedua, kanser masih dalam kelenjar prostat tetapi rasa bengkak boleh dirasai apabila pemeriksaan rek­tal dijalankan.
Seterusnya pada tahap ketiga, kanser pecah menembusi selaput prostat dan kemungkinan besar merebak ke pundi seminal dan pada tahap keempat, ia merebak ke pelvis (tulang pinggul), nod limfa atau bahagian lain seperti tulang, hati atau paru-paru.
Menurut Loh, sehingga kini punca sebenar kanser prostat belum diketahui, namun beberapa faktor risiko dikenal pasti seperti usia.
"Kanser prostat jarang berlaku kepada lelaki berusia bawah 50 tahun dan biasa­nya ia berlaku kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
"Selain itu, sejarah keluarga iaitu risiko adalah lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat jika mempunyai ayah atau adik beradik lelaki yang pernah mendapat kanser prostat. Seterusnya, masalah obesiti atau kegemukan juga antara faktor yang menyumbang kepada kanser ini," katanya.
Mengenai simptom awal penyakit ini, Loh menjelaskan, kanser prostat tiada simptom awal. Namun pada peringkat lain ia menyebab­kan kesakitan dan kesukaran membuang air kecil.
"Masalah lain ialah kerap buang air kecil, aliran kencing tidak lancar, darah dalam air kencing atau air mani, lemah pundi kencing dan sakit ketika ejakulasi selain cepat letih, hilang selera makan, hilang berat badan, kerap cirit-birit dan muntah," katanya.
Kanser prostat boleh dikesan melalui ultrasound serta pe­ngambilan sampel tisu prostat. Antara rawatan untuk kanser ini adalah radioterapi, terapi hormon, pembedahan, kemoterapi dan imunterapi.

No comments:

Post a Comment