Masyarakat Sunda pula terkenal dengan kepelbagaian sajian dengan rasa yang pedas dan enak bukan sahaja menjadi kegemaran masyarakat di negara itu malah penggemar makanan pedas di negara ini.
Namun kini, tidak perlu terbang jauh ke Cibiuk semata-mata untuk menjamah sajian masyarakat tersebut kerana jika anda menyusuri lot rumah kedai di Taman Putra Kajang, Selangor, pastinya keinginan anda menikmati makanan Sunda dapat dipenuhi di Rumah Makan Cibiuk.
Melangkah masuk ke restoran itu anda akan disambut dengan sapaan wilujeng sumping daripada pelayan restoran berkenaan yang membawa maksud selamat datang.
Gemersik alunan muzik ketukan gamelan mendendangkan lagu asli Sunda pasti membuai perasaan pelanggan ditambah pula hiasan dinding berlatarbelakangkan anyaman rotan serta cahaya lampu kuning malap yang membuatkan anda dibuai perasaan seolah-olah berada di dalam sebuah rumah di perkampungan itu.
Susun atur perabot, hiasan dinding serta alunan lembut muzik gamelan berkenaan merupakan idea pemiliknya, Jamaluddin Omar, 37, yang memberitahu semuanya sama seperti 43 buah restoran Cibiuk yang terdapat di Indonesia.
Memberi kelainan, Jamaluddin mengabadikan tandatangan beberapa figura ternama dari negara tersebut yang pernah singgah menjamu selera di restoran itu termasuk chef popular, Farah Quinn di dinding kaunter pembayaran.
Menurut Jamaluddin, Rumah Makan Cibiuk di Malaysia itu telah beroperasi sejak dua tahun lalu menawarkan lebih 50 sajian asli masyarakat Sunda dengan resipi yang didatangkan khas dari daerah Cibiuk.
Makanan Sunda amat terkenal dengan kepedasannya, maka tidak hairanlah, restoran ini menyediakan 12 pilihan sambal masyarakat itu yang mempunyai tahap kepedasan berbeza.
Antaranya ialah sambal tomato, sambal terasi, sambal laksana, sambal kicap, sambal beratayuda, sambal mangga dan sambal tempe yang disediakan percuma kepada pelanggan lengkap bersama ulam-ulaman.
Selain itu, lima jenis sambal lain ialah sambal ciriuk (paling pedas), sambal guang, sambal Cibiuk merah, sambal Cibiuk hijau dan sambal pecok kacang panjang yang perlu ditempah khas oleh pelanggan jika ingin menikmatinya.
“Kita menggunakan resipi asal dari Sunda dengan menggunakan tiga jenis lada yang mempunyai tahap kepedasan berbeza.
“Lazimnya makanan Sunda tidak berkuah dan dinikmati bersama ikan dan ayam goreng atau bakar kemudiannya dicicah dengan sambal-sambal tersebut,” katanya.
Ditanya tentang sajian popular di restoran itu, Jamaluddin memberitahu, ikan tilapia goreng serta ayam bakar sering mendapat permintaan ramai.
Ujarnya, menu ikan tilapia goreng kipas, tilapia goreng cobek serta ayam bakar yang dihidangkan bersama nasi liwet dan nasi bakar merupakan hidangan terlaris.
“Kita menyediakan hidangan nasi istimewa yang dicampur resipi khas serta dibakar seperti lemang.
“Di sini, kita juga menghidangkan menu pinggan lengkap dengan nasi, lauk, ulam, sambal, tauhu, sup dan tempe melalui pakej nasi timbel komplit ayam goreng, nasi paket ayam bakar cobek dan nasi bakar pulen komplit yang disediakan bagi mereka yang ingin kelainan.
Menurut pemiliknya, bermula Mac ini, satu menu baharu Sunda iaitu sapi samur akan diperkenalkan bagi peminat daging, Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari https://www.facebook.com/RumahMakanCibiukMalaysia atau terus berkunjung ke Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor.