Namun, hujung minggu anda pasti menenangkan jika berkunjung dan menjamu selera di sebuah restoran yang terletak di pinggir Gombak.
Bukan sahaja menawarkan pemandangan mendamaikan malah sajian yang disediakan juga pasti mengubat kerinduan masakan emak di kampung terutama bagi mereka yang gemarkan makanan pedas.
Menu gulai lemak cili udang galah, ikan bakar sambal petai, sotong bakar sambal, gulai lemak ikan keli salai, sotong mentega goreng telur masin, lala kam heong, ketam masak cili, sambal terung ikan masin dan sayur bakar sambal (bendi, kacang botol dan petai) antara sajian yang dihidangkan di Restoran Golek-Golek.
Pemilihan sajian ala kampung oleh pemilik restoran, amat bertepatan apabila lokasinya yang sedikit di dalam hutan serta terlindung daripada kebisingan enjin kenderaan dan hiruk-pikuk bandar, menjadikan suasana di restoran amat mendamaikan.
Walaupun perlu mendaki bukit tinggi dengan kecuraman 40 darjah, hati jadi lega setibanya di pintu masuk restoran yang dibina di atas tanah seluas 0.6 hektar.
Pandangan serta merta terpaku dengan suasana di restoran yang seolah berada di laman-laman rumah di kampung.
Itu baharu sahaja gambaran di luarnya, jika menjengah masuk ke dalam kawasan restoran sesiapa sahaja pasti berasa seperti di kampung halaman sendiri dengan sebuah rumah tradisional Melaka tersergam indah dibina di tengah-tengah kawasan restoran tersebut.
Persekitarannya yang dikelilingi pohon-pohon rendang, struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu serta batu-bata, selain bahan-bahan pakai dan terbuang yang memberi satu kelainan.
Menurut pemiliknya, Norhayati Mohd. Fauzi, 36, dia mengusahakan restoran itu bersama suami dan beberapa ahli keluarganya yang lain sejak lebih tiga tahun lalu.
Bermula dengan hanya mengajak teman-teman rapat menjamu selera pada hujung minggu, Norhayati tidak menyangka restoran yang diusahakan itu mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun dibuka sekadar suka-suka.
Pada awalnya, tidak banyak pilihan menu dihidangkan kepada pelanggan kerana hanya menyediakan menu yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, seperti ikan bakar tiga sambal dan gulai lemak udang galah, malah hanya dibuka pada tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang hingga 12 malam.
“Saya tidak menghebohkan tentang restoran ini kerana bimbang ramai orang akan datang sedangkan waktu itu hanya saya yang memasak dan adik-adik membantu.
“Menu juga hanya ada beberapa jenis sahaja, iaitu apa yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan operasi kami bermula pada bulan puasa ketika itu,” katanya.
Bermula dengan hanya ruang makan yang terhad, kini restoran itu mampu memuatkan kira-kira 300 pelanggan pada satu-satu masa dengan terdapat beberapa pilihan ruang makan yang disediakan, antaranya di pondok, anjung, grand ballroom lobi, calet, rumah pokok, kawasan terbuka dan dewan.
Menurut Norhayati, paling mendapat perhatian ialah menjamu selera di rumah tradisional Melaka yang berusia ratusan tahun, menyediakan ruang makan klasik dengan berlatarbelakangkan seperti di rumah kampung.
Mata pasti akan terarah pada hiasan lama seperti tempayan, congkak, replika kapal serta bingkai-bingkai gambar lama, malah jeriji besi bercorak bunga sangat membangkitkan suasana rumah lama itu.
Menurut Norhayati rumah itu dibeli oleh suaminya yang merupakan novelis terkenal, Ahadiat Akashah, dari Melaka dan dibawa ke situ yang kemudian dipasang semula oleh lebih 20 orang.
“Suami saya sangat gemarkan barang-barang antik dan ketika memasang rumah ini yang menggunakan pasak bukan mudah.
“Namun, selepas siap dipasang hasilnya sangat memuaskan hati, malah tangga rumah tradisional ini sering menjadi tumpuan pengunjung untuk mengabdikan kenangan,” katanya.
Menurut Norhayati, lebih 25 jenis sajian disediakan di restoran berkenaan yang mana kesemuanya disediakan sendiri, malah resipinya juga diolah istimewa.
Tidak mengambil mudah serta mahu pelanggan menikmati hidangan yang enak dan segar, dia memberitahu akan menyediakan semua bahan-bahan masakan sendiri setiap hari dengan bekalan ikan dan makanan laut segar diambil khas daripada pembekal.
“Di sini kita hanya menggunakan tiga jenis ikan bakar iaitu siakap, sebelah nabi dan pari manakala untuk makanan laut kita sediakan sotong, udang, lala, ketam dan kerang.
“Kita membakar guna arang dan tiga jenis sambal akan diletakkan di atas setiap sajian yang mana resipi khas saya cipta sendiri. Sajian ini yang paling digemari pelanggan kerana rasanya yang unik dan paling penting menepati lidah penggemar makanan pedas,” akuinya.
Selain itu hidangan paling istimewa pula ialah masak lemak cili api keli salai yang mana Norhayati memaklumkan ikan keli itu disalai sendiri oleh suaminya yang mengambil masa tiga hingga empat jam sehari dan bukannya dibeli siap daripada mana-mana kedai.
“Suami saya amat cerewet daripada segi rasa sebab itu dia menyalai ikan itu sendiri walaupun terpaksa meluangkan banyak masa di dapur untuk membuat kerja-kerja salai itu sendirian, namun rasanya amat sedap.
“Dari segi harga pula, makanan bermula serendah RM6 sehingga RM38 sepinggan mengikut sajian satu pinggan termasuk makanan laut dan ikan,” katanya.
Pun begitu, bagi memberi pilihan kepada pengunjung, tidak hanya menyediakan hidangan ala kampung, Restoran Golek-Golek turut menghidangkan variasi makanan barat seperti beef steek, lamb chop, burger dan fish n chip bagi mereka yang mahukan pilihan berbeza.
Bagi pilihan minuman pula, air jus kedondong antara minuman istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan yang disediakan di dalam gelas besar atau jag.
Selain ruang makan yang selesa terdapat kemudahan lain disediakan seperti surau dan tandas, selain ruang santai.
Pada waktu malam pula, kawasan tersebut dikelilingi cahaya lampu kuning sangat indah, sesuai untuk diadakan lokasi bagi majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, perjumpaan dan acara-acara istimewa bersama rakan-rakan atau insan tersayang.
Bagi mereka yang ingin menempah atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Norhayati di talian 017-407 007) atau layari di Facebook Restoran Golek-Golek Suasana Kampung serta boleh terus berkunjung terus di Lot 2074, Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Kilometer 10, Kampung Gombak Tambahan, Gombak.