Jika anda penggemar burger tetapi tidak dapat bertoleransi dengan rasa bawang yang sinonim diletakkan bersama burger, ataupun mempunyai imaginasi yang tinggi dan pelik seperti burger yang dimakan bersama gabungan sos aprikot, hirisan avokado dan kranberi kering, kini tidak lagi perlu risau, buat saja burger idaman anda di restoran The Counter.
Di The Counter, andalah "ketua chef". Pilih sahaja bahan-bahan yang disenaraikan dan tanpa perlu berpeluh di dapur, hidangan gourmet burger akan terus tersedia di depan mata.
Baru beroperasi di tingkat tujuh, Pavilion, Kuala Lumpur bulan lalu, hanya lima langkah yang perlu dilakukan bagi mendapatkan burger idaman anda.
Pilih daging lembu, ayam belanda, ikan tuna, ayam mahupun burger vegan yang masing-masing bersaiz 150 gram, 225 gram atau 450 gram dan kemudian pilih keju yang anda digemari daripada 14 jenis yang disediakan, 23 jenis sos yang dibuat sendiri dari dapur The Counter, 44 jenis topping dan akhir sekali lengkapkan dengan enam pilihan roti burger, maka siaplah burger yang menepati selera anda!
Menurut Pemilik francais The Counter Malaysia, Muhammad Fadhil Choong Abdullah, francais yang berasal dari Los Angeles dan cukup terkenal di Amerika Syarikat (AS) itu memberi peluang kepada pelanggan untuk melahirkan idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan burger mereka.
“Di The Counter, daging yang disediakan mempunyai sijil halal dan diimport dari Australia dan tidak menggunakan suntikan hormon atau antibiotik dan hanya dimasak apabila dipesan bagi memastikan kualitinya terpelihara. Begitu juga ayam, ayam belanda dan tuna yang melalui proses semula jadi.
“Malah, tiada campuran tepung mahupun pengawet digunakan dalam penghasilan burger, 100 peratus daging, sekadar dicampurkan dengan sedikit garam dan serbuk lada. Rahsianya dari peratusan campuran bahagian daging membuatkan ia padat dan berjus.
“Sebanyak 300,000 jenis kombinasi burger yang berbeza dapat dihasilkan oleh pelanggan di Counter. Setiap pelanggan mempunyai selera masing-masing. Saya pernah melihat pelanggan yang dapat menghabiskan burger 450 gram secara berseorangan walaupun saiz tersebut sering dikongsi dua orang atau lebih pelanggan,” kongsinya yang turut dalam usaha membuka sebuah restoran burger berkonsepkan "bawa pulang" bertempat di Built di Nu Sentral Mall, bulan depan.
Bagi mereka yang menggemari menu vegeterian atau mementingkan kesihatan, jangan risau, anda dapat menikmati burger seperti kami.
Sejumlah 12 jenis bahan seperti zukini, jagung, lobak, cendawan, krenberi kering, bayam dan pelbagai bahan lain dimasak sekali, dibiarkan sejuk sehingga kering lalu dibentukkan seperti daging burger, satu proses yang memakan masa sehingga enam jam.
Jika mahu yang lebih menyihatkan, pesan sahaja dengan burger anda, ala salad iaitu daging burger dihidangkan di dalam mangkuk khas bersama pelbagai jenis salad. Hidangan ini pastinya digemari wanita yang pentingkan diet yang sihat. Di The Counter, bukan sahaja burger yang anda boleh cipta, malah sanwich keju panggang, air kocak menggunakan ais krim vanila premium dan pilhan bahan untuk digabungkan selain smoothie yang boleh dipilih sendiri.
“Bagi mereka yang tidak dapat membuat keputusan membuat burger sendiri, serahkan kepada yang pakar kerana kami turut menyediakan pelbagai pilihan menu burger yang istimewa dan digelar Expert Builds,” tambahnya yang turut dalam proses mendapatkan sijil halal untuk restorannya.
Lengkapkan hidangan anda dengan manisan klasik AS seperti Apple Crumble dan Key Lime Pie yang pastinya tidak akan mengecewakan anda.
Rekaan hiasan dalaman restoran yang retro dengan sentuhan moden ini sungguh menenangkan, memberikan markah tambahan kepada restoran yang menyediakan burger premium tersebut, apatah lagi pemandangan luar menghadap Menara Kembar Petronas (KLCC).