JIKA dipandang dari atas, sajian yang dihidangkan dilihat seakan-akan donat namun, taburan di atas sajian itu bukan gula tetapi bijan berwarna hitam dan putih.
Hidangan unik itu adalah roti bagel lembut yang menjadi pelengkap sajian burger Captain di Restoran Roydeena.
Pemilik restoran, Rohaya Mior memberitahu, restoran yang mula beroperasi pada awal bulan Mei itu menawarkan sajian signatur burger Captain dengan seratus peratus sajian dibuat dari dapur kedai berkenaan.
“Bermula daripada roti sehinggalah daging, kesemua bahan utama dibuat di restoran ini.
“Untuk roti bagel, kami mempunyai cef pastri yang berpengalaman membuat roti di pasar raya terkenal dalam negara. Disebabkan itu, roti yang dihidangkan sangat lembut. Namun, roti bagel ini dibuat menggunakan tepung tinggi protein bagi menjadikannya lebih istimewa.
“Dalam pada itu, daging burger yang digunakan semuanya dicincang oleh pekerja kami menggunakan mesin. Boleh dikatakan hampir 90 peratus sajian yang dihidangkan kepada pelanggan adalah produk restoran kecuali sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang dibeli di pasar,” katanya ketika ditemui di Restoran Roydeena di Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, restoran milik bumiputera sepenuhnya ini menawarkan tiga signatur burger iaitu Captain Crispy, Captain Bombay dan Captain Sailor.
Captain Crispy menampilkan sajian rasa seakan-akan burger Zinger namun, mempunyai suntikan rempah-ratus dalam setiap gigitan. Kepingan daging ayam juga digoreng rangup dan dimasak sempurna.
Sementara itu, sajian Captain Bombay adalah sajian burger inspirasi martabak.
Selain menikmati keenakan rasa daging lembu dan ayam sebenar, penggemar sajian makanan laut boleh membuat pesanan Captain Sailor yang menawarkan kelembutan filet ikan dory dalam sajian burger.
Sajian-sajian signatur kombo akan didatangkan dengan hidangan sampingan kentang goreng dan jagung manis.
Menurut cef Mohamad Suhaimi Ab. Rahman, 30, hidangan tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri menerusi daging burger yang disediakan menggunakan campuran rempah dan sayuran seperti lobak merah.
“Kami mengadunkan kira-kira lima jenis rempah dan bahan-bahan campuran lain seperti bawang serta sayur-sayuran untuk menepati cita rasa rakyat Malaysia.
“Daging lembu dan ayam kisar ini kemudian diperap semalaman supaya rasa rempah-ratus dapat diserap secara harmoni,” jelasnya yang pernah menjadi cef di sebuah resort terkemuka di Kuantan, Pahang.
Pengunjung juga boleh menikmati sajian seperti lamb chop, chicken chop, chicken wings with honey, hotdog, garden fruit salad dan aneka kek.
Dalam pada itu, sebagai pelengkap makan tengah hari atau malam, pelanggan boleh memesan minuman signatur iaitu coral blue hasil inspirasi daripada kesegaran pemandangan pantai.
Minuman istimewa itu dihidangkan dengan taburan coklat cip dan biskut yang memberikan pengalaman menyeronokkan buat si penggemar coklat.
Selain menjadi tempat kunjungan pilihan untuk menikmati sajian Barat, restoran ini juga sesuai dijadikan tempat pertemuan untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan atau keluarga dalam suasana santai.
Harga hidangan tersebut bermula daripada RM6.50 hingga RM20.50
Restoran ini menggunakan dekorasi elemen muzik menerusi gantungan poster artis-artis kegemaran ramai dan suasana santapan yang harmoni bersama neon, sekali gus mencipta suasana harmoni.
18, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa
Melawati, 53300 Kuala Lumpur
E-mel: roydeenacafe@gmail.com
Instagram: ROYDEENA_CAPTAINBURGER
Facebook: www.facebook.com/roydeena.captainburger
No comments:
Post a Comment