Namun, sejak kebelakangan ini, pembuatan roti sama ada daripada jenis biasa seperti roti inti kelapa, kaya atau kacang hitam sehinggalah roti artisan, membabitkan ramai usahawan Melayu.
Antara yang terawal memulakan perniagaan pembuatan roti artisan ialah Bread Ties yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.
Telah bertapak sejak empat tahun lalu, Bread Ties merupakan satu-satunya kedai roti artisan yang terawal diusahakan orang Melayu di kawasan berkenaan bagi memberi pilihan pelbagai jenis roti kepada pelanggan.
Menurut Pengurus Pemasaran Bread Ties, Amira Amir Zamrey, 21, pemilik kedai roti berkenaan pada asalnya mendapat idea membuka kedai roti bagi membantu kejiranan kawasan itu mendapatkan roti segar dan enak.
Jelasnya, sebelum pembukaan Bread Ties amat sukar untuk masyarakat di kawasan itu mendapatkan roti-roti artisan seperti baguette dan croissant, jadi dengan pembukaan kedai roti berkenaan membolehkan pelanggan mencuba pelbagai jenis roti terutama daripada Eropah.
“Idea asal kedai merangkap kafe ini tercetus apabila melihat banyak kafe di luar negara yang menggunakan konsep sebegini, iaitu kedai roti yang menyediakan ruang menjamu selera dengan menampilkan pelbagai jenis roti yang bukan sahaja sangat cantik tetapi boleh dimakan.
“Selepas kami memperkenalkan konsep ini, ramai pelanggan yang menggemari konsep kedai roti seperti ini dan daripada situ kami mula memperkenalkan pelbagai hidangan sampingan menggunakan roti,” jelasnya.
Istimewanya, roti yang terdapat di Bread Ties dibuat setiap hari bagi memastikan produk yang dihasilkan enak dan segar apabila sampai kepada pelanggan, selain tidak mempunyai bahan pengawet, bahan perasa tambahan dan serbuk penaik.
Jelas Amira, roti buku merupakan antara jenis yang digemari pelanggan kerana rasanya yang lebih sedap, tahan lama serta lebih berkhasiat.
Akuinya, roti buku yang dihasilkan dikawal kualitinya, selain kesegarannya turut dipelihara agar pelanggan berpuas hati, serta dapat menikmati roti berkenaan pada tahap terbaik dan pada masa sama lebih berkhasiat berbanding roti di pasaran.
“Setiap hari kita tidak menghasilkan banyak roti kerana mahu setiap roti yang dibuat habis dijual dan keesokan harinya kita akan buat yang baharu.
“Dari itu, kita dapat memberikan pelanggan roti yang segar daripada pembakar dan roti berkenaan lebih tahan lama tarikh luputnya serta masih enak walaupun telah disimpan dalam peti ais.
“Roti ini juga tidak muak dimakan kerana tidak guna serbuk penaik, jadi boleh makan banyak pada satu-satu masa, malah bagi mereka yang berdiet, kita juga menyediakan roti yang mengandungi pelbagai serat, ujarnya.
Antara roti yang mendapat permintaan pelanggan ialah chacoal loaf, ciabatta, panini, poppy seed, rye onion, country bread, roti serat, dan baguette serta croissant.
Terdapat juga roti-roti biasa seperti roti inti tuna, roti blueberry, roti sosej, roti piza, almond danish, mufin dan roti kaya.
Selain menawarkan variasi jenis roti, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai menu lain, antaranya spageti aglio olio, carbonara, bolognese, lasagna, piri-piri chicken, chicken chop, caesar salad dan sup cendawan yang dihidangkan dalam roti artisan.
Bagi yang menggemari pemanis mulut, mereka boleh menikmati creme brulee, scone, eclairs, cream puff, macaroon, kek keju, tiramisu, red velvets, pavlova serta biskut coklat.
Bukan itu sahaja, jika anda bernasib baik, setiap bulan kafe itu menawarkan pelbagai jenis promosi kepada pelanggan bagi menghargai kunjungan mereka.
Menurut Amira, ketika ini, Bread Ties turut membekalkan roti kepada beberapa buah kafe di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan kapasiti kira-kira 3,000 biji sehari.
Jelasnya, kafe tersebut juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir, kenduri kahwin, akikah dan perjumpaan semula (reunion).
“Kita beroperasi setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 7.30 malam dan harga yang ditawarkan untuk roti buku putih serendah RM2.50 sahaja,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk Instagram Bread Ties.