Baharu sahaja bertapak di Malaysia dengan pembukaan dua cawangannya di sekitar Lembah Klang awal tahun ini, restoran Marugame Udon, Udon & Tempura menawarkan cita rasa makanan tradisi Jepun yang semakin digemari di negara ini.
Bagi masyarakat Melayu, Udon ini bolehlah dikatakan hampir sama dengan laksa. Namun, cara pembuatan dan kuah sup membuatkan rasa Udon begitu menepati selera masyarakat Malaysia.
Bagi penggemar makanan Jepun, lokasi restoran ini sudah pasti tidak akan menjadi masalah kerana dua cawangannya terletak di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur dan Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam mudah dilawati.
Terdapat lapan menu utama yang menghidangkan Udon iaitu Niku Udon (dihidangkan bersama daging dan sup yang direneh bersama stok ikan dan rumpai laut); Mentai Kamatama Udon (dimakan bersama telur ikan dan telur separuh masak); Zaru Udon (Udon sejuk bersama sos soya Jepun); Kake Udon (Udon bersama sup stok ikan dan rumpai laut); Tori Baitang Udon (Udon bersama kuah sup ayam); Kamaage Udon (Udon rebus dihidang secara panas dengan sos soya) dan Ontama Udon (dihidang bersama telur separuh masak dan sos soya).
Sementara menu nasi pula mempunyai empat pilihan iaitu Sukiyaki Beef Bowl, Tendon Chicken Rice, Beef Curry Bowl dan Tendon Seafood Rice.
Bagi menu tempura, terdapat lapan pilihan iaitu udang, ikan, ayam, kroket daging, cili merah dan pes ikan, sayur campur, ubi keledek, nasi dan terung bersama ayam.
Rangkaian restoran Marugame Udon, Udon & Tempura sebenarnya telah lama bertapak di Jepun dengan hampir 800 cawangan. Ia juga mempunyai banyak cawangan di Indonesia, Australia, Vietnam, Rusia, Korea, China, Hawaii, Thailand, Taiwan dan Hong Kong.
Pengurus restoran itu, Fazruly Amiruddin berkata, Udon yang dihidangkan itu dihasilkan sendiri di restoran berkonsepkan dapur terbuka. Justeru, pelanggan dapat melihat sendiri proses penyediaan dan memasak hidangan Udon serta menu lain ketika dipesan.
Katanya, walaupun menggunakan mesin, Udon yang dihasilkan masih mengekalkan rasa tradisional makanan Jepun yang asli. Kekenyalan mi Udon yang dihidangkan pasti membuatkan pelanggan menikmati makanan tradisi Jepun itu dengan penuh selera.
Menyentuh mengenai harga, beliau berkata, harga setiap menu berbaloi dengan hidangan yang menyelerakan iaitu bermula dari RM9.80 sehingga RM14.80 bagi semangkuk Udon atau tempura serta tiada caj perkhidmatan memandangkan ia adalah restoran layan diri yang selesa.
“Setiap hidangan dibuat terus di dalam dapur sebaik sahaja ia dipesan oleh pelanggan. Jadi, kita dapat memastikan Udon yang dihidangkan benar-benar segar dan berkualiti,” katanya.