BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, November 27, 2015

PULUHAN KUBUR DIKHUATIRI HILANG

Puluhan kubur dikhuatiri hilang

PONTIAN - Kubur lama di Tanah Perkuburan Kampung Rimba Terju di sini, dianggarkan berusia puluhan tahun dikhuatiri ‘hilang’ akibat kerap ditenggelami air laut setiap kali berlaku kejadian air pasang sejak 10 tahun lalu.
Difahamkan, benteng yang dibina penduduk menggunakan bahan binaan terbuang juga tidak mampu menyekat air laut masuk ke kawasan perkuburan yang mempunyai lebih 500 kubur.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rimba Terju, Abdul Kamal Suboh, 60, berkata, kejadian air pasang berlaku sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu menyebabkan kubur lama itu ditenggelami air.
"Sebenarnya, masalah hakisan ini sudah lama berlaku dan ia semakin serius sejak kebelakangan ini sehingga merosakkan kubur-kubur lama ini," katanya.
Tambah Abdul Kamal, kira-kira 30 kubur mula mendap dan bakal 'ghaib' sekali gus menyukarkan waris dan penduduk kampung untuk mengenal pasti kubur saudara mereka.
"Orang dulu-dulu guna kayu sahaja sebagai penanda, bukan batu nisan seperti sekarang. Jadi bila air dah kering, susah untuk kenal pasti kubur berkenaan milik siapa.
"Kami juga bimbang lebih banyak lagi kubur akan 'ghaib' kesan kejadian air pasang ini," katanya lagi.

Jelas beliau lagi, penduduk ada mencadangkan supaya sebuah parit dibina di kawasan tali air yang terletak di sebelah tanah perkuburan bagi mengelak air laut melimpah ke kawasan kubur.
"Oleh sebab kos gali parit agak tinggi, kita merayu agak pihak berkaitan bantu kami.
"Walaupun sudah ada benteng tetapi air laut tetap melimpah. Justeru cadangan bina parit itu dilihat dapat mengurangkan risiko air melimpah," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk, Mohd Safuan Ali, 52, pula berkata, tanah perkuburan terbabit masih lagi digunakan penduduk kampung dan taman-taman perumahan berdekatan.

"Tanah perkuburan seluas kira-kira 1.2 hektar ini adalah tanah perkuburan paling awal dibuka di sini.
"Bilangan kubur juga semakin bertambah, memandangkan banyak taman-taman perumahan baharu dibuka kerana kedudukan Kampung Rimba Terjun hampir dengan bandar Pontian," katanya.
Katanya lagi, musim tengkujuh pada akhir tahun menyebabkan kejadian air pasang berlaku lebih kerap sekali gus meningkatkan risiko terjadinya hakisan.

No comments:

Post a Comment