BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 23, 2014

BABY EATS BY JUSTLIXA

Makanan bayi perlu mengandungi segala khasiat yang diperlukan selain bebas daripada bahan kimia.

KETIKA anak keduanya memasuki usia enam bulan, Nor Haliza Ghazali, 33, mula mencari-cari menu yang sesuai untuk dijadikan makanan pejal pertama bagi si anak.
Puas melayari internet, ibu ini akhirnya menemukan bermacam-macam jenis resipi yang bukan sahaja berkhasiat untuk bayi malah juga sedap.
Menariknya resipi masakan tersebut tidaklah disimpan untuk dirinya sahaja, sebaliknya Nor Haliza atau lebih selesa dengan panggilan Liza memuat naik resipi dan gambar ke dalam akaun facebooknya untuk dikongsi bersama rakan-rakan.
Dari sehari ke sehari, Liza bukan sahaja mendapat maklum balas yang baik daripada sahabat-sahabat di facebook, malah ada yang turut mahu menempah makanan bayi padanya.
“Ramai yang menghantar pesanan menerusi kotak mesej, tidak mahu menghampakan mereka maka saya ambil tempahan dan jual.
"Saya sedar, ibu-ibu zaman sekarang ramai yang bekerja dan sukar memperuntukkan masa untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak.
"Setelah mendapatkan ilmu dan bereksperimen saya menghasilkan makanan bayi mengikut usia bayi dengan pelbagai perisa," katanya yang ditemui di kediamannya yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Ibu kepada dua anak ini menghasilkan makanan daripada puri mentega kacang, kentang manis ayam, pasta dan macam-macam lagi.
Melihat potensi mengembangkan perniagaan, Liza telah melabel bekas makanan bayi dengan nama Baby Eats by Justlixa.
“Kami bermula pada April tahun lalu dan kini lebih setahun perniagaan ini berlangsung. Makanan bayi yang kami hasilkan terbahagi kepada beberapa kategori seperti 6 hingga 10 bulan dan satu tahun ke atas.
“Istimewanya Baby Eats by Justlixa ini tidak mengandungi garam dan gula. Bahan-bahan yang menjadi penyedap kepada makanan ini adalah pilihan berkualiti. Kami guna stok ayam daripada ayam organik kerana kami tidak mahu sebarang bahan kimia masuk ke dalam tubuh bayi menerusi pemakanan," ujarnya.

Nor Haliza Ghazali dan suaminya, Mohd. Nizam Zainudin mula mengusahakan makanan 
untuk bayi selepas mencari-cari menu sesuai untuk bayi mereka.

Menurut Liza lagi, makanan bayi sejuk beku ini boleh bertahan selama dua bulan dan selepas dicairkan ia mesti dimakan dalam tempoh 24 jam.
“Tiap kali menjual saya turut menyalurkan satu panduan pemakanan untuk diikuti ibu bapa. Ini penting kerana perut bayi memang sensitif, jadi dengan mengikut panduan pemakanan boleh mengelakkan bayi dari sakit perut dan tidak selesa.
“Antara maklum balas ibu bapa yang saya terima ialah, anak mereka yang dulunya cerewet makan suka dengan Baby Eats ini. Adakalanya ibu bapa turut tumpang makan sekali kerana rasanya yang sedap," tambah Liza lagi.
Sebagai penjual, Liza memang mengambil berat akan pelanggannya.
Dia akan mengambil rekod bayi, bertanya ibu bapa akan sejarah alahan anak kerana pengabaian terhadap makanan yang menyebabkan alahan memang mendedahkan bahaya kepada kesihatan bayi.
“Ramai pelanggan yang anak mereka alah terhadap lobak, jadi bila ada alahan lobak bahan tersebut tidak dimasukkan dalam masakan," katanya sambil memberitahu suaminya, Mohd. nizam Zainudin, 30, adalah tukang masak yang bertanggungjawab menyediakan makanan bayi tersebut.
Bagi ibu bapa yang berminat menempah Baby Eats by Justlixa boleh melakukan pra tempahan. Ini penting bagi memastikan kesegaran produk.
“Setakat ini kami berjaya mendapat tempahan di seluruh Malaysia. Kami merancang untuk memperluaskan pasaran kami di taman asuhan kanak-kanak (taska) dan kedai yang menjual barangan bayi.
"Insya-Allah, sebenarnya kami juga merancang untuk mewujudkan sebuah restoran yang mengutamakan makanan berkhasiat bagi bayi.
"Jika restoran lain fokus utama adalah makanan orang dewasa dan menu sampingan untuk kanak-kanak, kami akan melakukan sebaliknya di mana menu kanak-kanak fokus utama dan menu ibu bapa adalah sampingan. Kedai makan mesra bayi ini juga termasuk dalam perancangan kami tahun hadapan," jelasnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut boleh layari laman sesawang justlixa.wix.com/babyeats atau talian 019-2699838.

MATA & DIABETES

pemeriksaan mata berkala penting bagi pesakit diabetes.

Kini penyakit diabetes menjadi ancaman utama kesihatan yang semakin pantas menyerang akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Ini dapat dilihat daripada segi bilangan pesakit.
Bilangan pesakit yang didiagnosis semakin bertambah tiap tahun tetapi masih ramai yang tidak mengetahui mereka menghidapnya sehingga keadaan bertambah teruk.
Kebanyakan pesakit bukan sahaja gagal didiagnosis dengan diabetes malah mereka tidak menjaga kesihatan, pemakanan dan gaya hidup sama ada kerana jahil, tidak mahu menerima hakikat atau rasa puas hati dengan keadaan kesihatan semasa.

Diagnosis, pemantauan dan kawalan

Pakar Perunding Kanan Oftamologi, Klinik Pakar Dr. Normalina, Dr. Normalina Mansor berkata, dalam kebanyakan kes diabetes, pengambilan kalori sering kali gagal dikawal dengan baik. Ketidakseimbangan ini menyebabkan kandungan gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa seterusnya akan merosakkan dinding saluran darah pesakit jika tidak dikawal.
Kerosakan yang berlaku kepada salur darah mungkin membawa kepada kebocoran salur darah atau berkemungkinan menyebabkan salur darah tersumbat.
Memandangkan salur darah terdapat di seluruh bahagian badan, semua organ dan struktur badan mungkin menerima kesannya.
“Antara organ yang paling mudah rosak akibat kerosakan salur darah ialah mata, yang akan mengancam penglihatan pesakit di samping buah pinggang, yang boleh membawa kepada pergantungan kepada mesin dialisis seumur hidup," katanya di premisnya di Cheras, Kuala Lumpur.
Diagnosis untuk diabetes hanya memerlukan ujian darah ringkas dan tidak menyakitkan dan boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan atau klinik.
“Diagnosis awal membolehkan pesakit menerima rawatan segera yang selalunya lebih ringkas dan penting dalam mengelak atau memulihkan komplikasi yang timbul akibat diabetes," tambahnya.
Pemantauan penyakit diabetes hanya memerlukan alat mengukur gula darah (glukometer) yang murah dan mudah digunakan oleh pesakit di rumah.
Jika usaha mengawal penyakit lambat dijalankan, terutamanya jika gejala tertentu mula timbul, komplikasi yang berlaku ketika ini mungkin tidak dapat dipulihkan dan sering kali hanya boleh dikawal supaya tidak menjadi semakin teruk.

Mata dan diabetes

Dr. normalina berkata, salur darah di dalam mata amat halus dan menjadi antara yang pertama rosak di peringkat awal penyakit diabetes.
“Perubahan pada mata akibat diabetes mungkin berlaku sebelum pesakit didiagnosis menghidap diabetes dan perubahan ini amat mudah dikesan kini dengan peralatan moden," katanya.
Jadi pemeriksaan mata secara berkala dapat membantu dalam mendiagnosis diabetes dan juga memantau perkembangan penyakit berkenaan.
Mata pesakit diabetes yang semakin teruk selalunya menunjukkan pengawalan gula yang kurang berkesan, sejajar dengan kerosakan organ lain seperti buah pinggang.
Perubahan pada mata di peringkat awal diabetes akan menyebabkan kebocoran kecil cecair atau darah daripada lubang-lubang kecil pada salur darah.
Bagi kes diabetes yang lebih teruk, salur-salur darah ini bukan sahaja akan bocor dengan lebih teruk malahan lambat-laun mungkin akan tersumbat.
Apabila semakin banyak salur darah tersumbat, aliran darah mungkin menjadi tidak normal sehingga berlakunya pendarahan dengan banyak.
Tambahan lagi, pendarahan ini mungkin diikuti dengan kesan parut yang akan menyebabkan kemusnahan kawasan dalam mata yang sensitif cahaya (retina) dan akhirnya membawa kepada pesakit menjadi buta selamanya.
Menurut Dr. Normalina, bermula dengan kelopak mata yang membengkak disebabkan keradangan sehingga kepada retina dan saraf optik boleh mengalami kerosakan sehingga menjadi buta kekal.
“Kelopak mata mudah mendapat jangkitan yang akan menyebabkan keradangan dan bengkak pada kelopak mata. Biasanya pesakit akan diberikan antibiotik," katanya.
Mata pesakit diabetes juga tidak selesa kerana masalah kornea yang mudah terhakis secara berulang (micro recurrent erosion) yang menyebabkan mata tidak selesa dan kering. Ini dapat diatasi dengan ubat titis (artificial eye drop) bagi melembapkan kornea.
Dr. Normalina menambah, pesakit juga menghadapi masalah di bahagian kamar hadapan mata (interior chamber) dengan keradangan dan pendarahan yang boleh menyebabkan mata kabur serta mempercepatkan glukoma.

“Mata hitam atau iris pula akan menyebabkan komplikasi di mana salur darah normal yang halus akan tumbuh pada anak mata menyebabkan pendarahan serta parut, di mana parut akan menutup pengaliran bendalir dalam mata dan boleh menyebabkan glukoma.
“Pesakit boleh dirawat dengan laser bagi 'membunuh' salur darah baru yang tumbuh dan mengurangkan komplikasi. Bagaimanapun rawatan laser tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang dan hanya melambatkan komplikasi," katanya.
Pesakit diabetes juga jelas Dr. Normalina biasanya mengalami masalah berkaitan dengan kanta seperti perubahan refluksi mata sekejap kabur sekejap terang. Ini berlaku apabila gula dalam darah meningkat menyebabkan kanta mata cembung dan mengurangkan cahaya masuk ke dalam mata dan bila gula normal, kanta menjadi normal dan penglihatan terang semula. Pesakit disaran mengawal paras gula.
Pesakit juga mudah mendapat katarak (pemutihan kanta) dan rawatan pembedahan bagi menukar kanta baru.
Dr. Normalina berkata, selain kamar hadapan mata, kamar belakang juga mengalami masalah keradangan dan pendarahan. Kesan dan rawatan sama seperti kamar hadapan.
“Masalah retina juga mendatangkan masalah seperti saraf dan salur darah yang akan menyebabkan salur darah tidak normal dan tersumbat dan menyebabkan kekurangan oksigen ke retina.

“Dinding salur darah menjadi nipis dan bocor serta mengeluarkan bendalir menyebabkan retiopati diabetes dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan kekangan pada retina. Tanda-tanda seperti pendarahan dalam mata dan retina yang berparut boleh menyebabkan retina menjadi lekang.
“Ini boleh dirawat dengan laser bagi menghalang pertumbuhan salur darah baru tetapi tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang," katanya.
Dr. Normalina menambah, saraf optik juga berpotensi rosak kerana bekalan darah yang berkurangan boleh menyebabkan buta. Ini boleh diatasi dengan pembedahan.
Motor akula (occular motor) juga mungkin boleh menjadi bengkak dan menyebabkan pesakit menghadapi masalah penglihatan tengah (central vision) dan pesakit menghadapi masalah untuk membaca tetapi masih boleh melihat.

SEDAPNYA STEAK TONY ROMA'S-MUTIARA DAMANSARA

Filet Medallions dengan sos cendawan.

APAKAH ciri-ciri yang anda cari untuk menikmati hidangan stik? Sudah pasti anda mahukan tekstur yang lembut dan mudah dipotong. Cara memasak daging sama ada masak sepenuhnya atau yang separa masak dengan jusnya yang segar tentu membuatkan ramai ingin menikmatinya selalu.
Bagi penggemar stik sejati kepuasan menikmati stik bukan sekadar tekstur daging yang lembut, sebaliknya rasa rempah yang sebati dengan daging menjadi perkara yang turut diberi tumpuan.
Perkara inilah yang menjadi resepi utama restoran Tony Roma's yang terkenal dengan hidangan stik rusuk yang segar lagi menyelerakan.
Baru-baru ini bertempat di E Curve, Mutiara Damansara, tatkala berpeluang menikmati menu baru di Tony Roma's , rambang mata untuk memilihnya memandangkan semuanya tampak menyelerakan.
Kebanyakan tetamu yang hadir mengambil masa dan relaks. Kemudian, dengan tenang nikmati hidangan Tony Roma's yang sangat terkenal dengan keenakan rusuknya.
Syarat menimati stik ini sangat mudah, tidak perlu terburu-buru sebaliknya makan satu persatu.
Hampir semua hidangan hadir dalam saiz yang besar.
Pun begitu, terdapat juga hidangan dalam saiz kecil,
Sempena Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung, Tony Roma's menghidangkan empat menu utama, The Raising Steaks iaitu Filet Medallions dengan sos cendawan, Ribeye Steak dengan sos bawang panggang, New York Strip yang dihidangkan bersama asparagus dan lada daging bacon dan New York Strip dengan sos lada merah panggang.
Kelazatan rusuk Tony Roma's bukan sahaja terletak pada sos yang digunakan, malah tekstur daging yang lembut memainkan peranan.
Begitu juga hidangan sampingan yang tidak kurang menyelerakan yang didatangkan bersama kentang bakar dan coleslaw istimewa.
Restoran ini juga menyediakan pembuka selera, hidangan utama, desert dan minuman.
Minuman menarik yang dihidangkan menggabungkan buah-buahan yang diberi nama Virgin Romaritas.
Selain itu, terdapat pembuka selera seperti boneless buffalo bites (isi ayam), potato skin dan half onion loaf (jejari bawang).

Sunday, June 22, 2014

MAKANAN HALAL UNTUK UMAT ISLAM

  • Gambar sekadar hiasan. Sumber: Internet.Gambar sekadar hiasan. Sumber: Internet.
 1 / 1 
UMAT Islam bukan sahaja perlu mencari rezeki daripada sumber dan pekerjaan yang dibenarkan dalam Islam, malah kita juga perlu memastikan setiap makanan dan minuman yang diambil itu tidak ‘jatuh’ dalam hukum haram. ALLAH SWT menghalalkan sesuatu itu kerana ia baik untuk manusia. Sekiranya diharamkan sesuatu itu kerana ia memudaratkan manusia.

Baru-baru ini apabila media menyiarkan berita mengenai dua produk coklat yang dikatakan mengandungi DNA babi, masyarakat Islam di negara ini gempar dan terkejut. Reaksi ini boleh kita faham kerana apa sahaja produk makanan yang mengandungi daging babi atau bahan yang ada kaitan dengan babi bukan sahaja tidak halal, bahkan najis. Isu ini sebenarnya amat sensitif kepada umat Islam kerana berkait dengan hukum ALLAH SWT yang melibatkan makanan halal dan haram.

Berhubung dengan prinsip makanan halal ini, ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud: "Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama ALLAH dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa.’’ (Surah al-Maidah, ayat tiga).

Dari segi hukum menurut perspektif Islam, semua jenis makanan di muka bumi ini adalah halal dimakan kecuali beberapa jenis yang terang-terang diharamkan oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Bagaimanapun, oleh kerana industri makanan dikuasai orang bukan Islam, akan terjadi pengeluaran dan pengedaran makanan tidak halal itu melimpah di pasaran dan menenggelamkan makanan halal. Kemajuan pesat teknologi dalam pemprosesan dan pengeluaran makanan menyebabkan makanan halal sentiasa terdedah kepada pencemaran najis secara tidak disedari.

Terdapat berbagai bentuk pencemaran makanan halal di pasaran, terutama dari sudut kaedah penyediaan makanan halal yang meliputi kaedah penyembelihan, sumber bahan mentah, sumber ramuan, pemprosesan, pembungkusan, persekitaran dan sebagainya. Isu pencemaran makanan halal dengan najis memberi kesan yang mendalam kepada pengguna Islam kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.

Mengikut hukum syarak, cara pemprosesan atau membuatnya juga hendaklah dipastikan ia dikendalikan dengan cara bersih, suci dan halal. Jika tidak, makanan berkenaan yang pada mulanya bersumberkan bahan mentah halal akhirnya boleh ‘jatuh’ ke dalam kategori makanan haram.

Bagi menjamin kualiti makanan halal ini, pihak industri perlu mendapatkan pengesahan halal yang dikeluarkan kerajaan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan sebarang logo halal. Sebenarnya, umat Islam di negara ini amat beruntung kerana pihak kerajaan terbabit secara langsung dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengawalan pencemaran makanan halal.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengamalkan prosedur pemeriksaan halal yang ketat bagi menentukan pengeluaran makanan halal yang dikeluarkan di negara ini. Jakim, Jain, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Kesihatan sebagai jentera pengawalan pencemaran makanan halal sememangnya telah memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara meluas serta berterusan bagi menentukan syarikat industri bersama pengusaha makanan halal mematuhi piawaian halal yang telah ditetapkan.

Keperluan produk halal juga boleh membawa kepada kesan kesedaran kepada pengeluaran produk halal yang lebih meluas dan intensif.  Maka umat Islam seharusnya menyedari dan mengambil peluang ini, untuk berusaha mengeluar dan membekalkan keperluan makanan halal sendiri. Syarikat-syarikat Bumiputera, badan-badan koperasi dan badan-badan bukan kerajaan Islam dan lain-lain, perlu melihat aspek makanan halal ini sebagai ‘keperluan ummah’ dan terlibat secara langsung sebagai pengeluar dan pengedar produk makanan halal. Apabila hal ini menjadi kenyataan, umat Islam tidak perlu lagi menjadi pengguna makanan halal yang diusahakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

ISU HALAL BUKAN SEKADAR PADA MAKANAN

  • wacana29
 1 / 1 
PENGGUNA terutama golongan beragama Islam begitu sensitif berhubung isu halal kerana mereka tidak mahu ditipu dengan setiap makanan yang berada di pasaran.

Baru-baru ini, pendedahan di media berhubung isu halal, menarik perhatian ramai pengguna Islam bermula dari coklat Cadbury yang mengandungi DNA babi, menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Rentetan daripada peristiwa itu, Sinar Harian menganjurkan Wacana “Isu Halal: Apa Hak Pengguna” yang dikendalikan moderator, Amin Idris.

Panelnya terdiri daripada bekas Mufti Perlis, Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Ketua Laboratori Sains Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof Dr Jamilah Bakar dan Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Muhamad Naim Mohd Aziz.

Ikuti transkrip yang disediakan wartawan SITI ZUBAIDAH MAT ISA dan MOHD HAFIZ ISMAIL.

MODERATOR: Saya sempat meneliti kenyataan PPIM sebelum ini mendesak rakyat Malaysia boikot syarikat Cadbury. Setakat ini apa pendirian PPIM mengenai isu halal?

NADZIM: Isu ini DNA babi ini timbul selepas mula tersebar secara meluas di media sosial sehingga menimbulkan kegelisahan dan tanda tanya rakyat mengenai halal produk berkenaan. Namun mengapa  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil masa selama tiga bulan untuk bertindak. Kami di PPIM dihujani panggilan yang cukup banyak mengenai perkara ini. Disebabkan desakan daripada rakyat kami bersama persatuan pemborong dan peruncit Islam  Malaysia mengambil tindakan memboikot semua produk keluaran Cadbury.

Disebabkan itu, kami telah membuat laporan polis untuk membuat siasatan secara terperinci sekiranya wujud unsur-unsur sabotaj atau makmal yang membuat pengesahan berkenaan DNA babi ini tidak mempunyai SOP. Dalam hal ini juga, PPIM meminta supaya KKM dan Jakim membuat keputusan bersama agar jelas kepada semua rakyat.

MODERATOR: Kita memerlukan satu penerangan yang tuntas dari Jakim berkenaan isu halal dan haram ini.  Jadi, sejauh mana Jakim beri sijil halal kepada pihak yang memohon?

NAIM: Sebagai badan berwibawa,  pensijilan halal hanya akan dilakukan oleh Jakim dan jabatan agama Islam negeri. Tidak ada badan-badan lain yang dilantik untuk meluluskan pensijilan halal di Malaysia. Kami di Jakim juga merupakan pengguna. Adakah kami rela dan reda sekiranya berlaku kecurangan dalam industri? Pastinya tidak. Disebabkan itu apabila kami menerima permohonan, kami akan meneliti sehingga ke akar umbi setiap rantaian. Sebagai contoh dari mana sumber produk diambil, bahan ramuan dan bahan masak. Saya ambil contoh yang mudah untuk menghalalkan  mi goreng mamak,  ada tiga komponen untuk menghasilkan mi goreng berkenaan dan iaitu komponen mi goreng, ramuan, dan ramuan cucur udang yang dimasak bersama. Apa yang kami tekankan di sini adalah penjelasan terperinci terhadap semua ramuan  terdapat dalam sesuatu produk yang memohon sijil halal.

Saya ingin berkongsi kisah sewaktu saya mengaudit sebuah kilang yang memohon pensijilan halal, di mana dari segi ramuan semua bersusun rapi sehingga kepada rantaian yang asas. Dari segi etika pemakaian dan pekerjaan Islam, semua pekerja mematuhi peraturan ditetapkan dan saya cukup berpuas hati. Namun kami menggagalkan permohonan berkenaan kerana telah menggunakan sumber air haram iaitu sumber air curi. Jika kami meluluskan kilang itu, satu dunia akan makan produk tidak halal.

Kami berkhidmat bukan hanya untuk umat Islam tetapi kami juga berkhidmat untuk semua pengguna. Hari ini bukan orang Islam sahaja mencari makanan halal, tetapi orang bukan Islam turut mencarinya kerana mereka tahu yang halal pasti terbaik dan berkualiti. Kita perlu berbangga kerana halal Malaysia dikenali di seluruh dunia. Ini merupakan kebanggaan kita yang mana kita membawa imej yang sebenar. Kita telah membawa halal ke dalam industri dan boleh bercakap dengan orang bukan Islam tentang keindahan Islam yang menginginkan kualiti, kebersihan bersama sistem terbaik.

MODERATOR: Ada dakwaan DNA babi ini boleh menyerap dalam makanan sama ada secara sengaja atau tidak. Boleh terangkan bagaimana perkara ini berlaku?

JAMILAH: DNA babi adalah satu komponen yang kecil yang jelas. Sebagai contoh DNA manusia berbeza dengan DNA babi kerana DNA ini berbeza-beza dan mempunyai keunikan tersendiri. Dalam konteks DNA manusia, DNA boleh dipindahkan daripada satu unit ke satu unit dengan cara bersentuhan. DNA tidak boleh berpindah sekiranya tidak berlaku sentuhan.

MODERATOR: Dalam konteks Cadbury yang dibincangkan, pada pandangan Prof, kebarangkalian untuk terkena DNA adakah secara sengaja?

JAMILAH: Sebelum membuat sebarang keputusan, saya perlu meneliti secara terperinci, bagaimana proses penghasilan coklat itu dijalankan. Perkara ini termasuklah bahan-bahan yang digunakan untuk membuat coklat, di mana coklat berkenaan diedarkan, siapa yang mengendalikan mesin dan bagaimana ia dimakan.

Dalam teknologi pembuatan ini kita boleh bahagikan kepada dua kaedah pembuatan iaitu diusahakan oleh industri besar dan juga secara kecilan. Sekiranya ia diusahakan secara kecilan, pasti proses pembuatan ini banyak menggunakan anggota tangan bermula proses pembuatan ramuan sehinggalah kepada produk dibungkus. Besar kemungkinan pencemaran produk ini boleh berlaku. Manakala dalam industri besar, pastinya proses penghasilan produk akan menggunakan mesin sepenuhnya. Kebarangkalian untuk berlaku pencemaran ini sangat rendah.

Pencemaran boleh berlaku dengan penelitian secara terperinci di mana bahan bukti bahan tercemar itu perlu melalui analisis saintifik. Ada kaedah yang sensitif dan ada kaedah memerlukan ujian dilakukan berulang kali bagi menentukan kesahihan kandungan tercemar tersebut. Daripada ujian yang dilakukan kita akan mengetahui punca sebenar pencemaran tersebut.

MODERATOR :  Masyarakat kita begitu sensitif dalam soal babi. Sehingga menyebut babi itu satu kesalahan besar dan perlu ditukar sebutannya kepada khinzir.

MOHD ASRI :  Tajuk hari ini adalah berkaitan isu halal, merujuk kepada isu makanan. Perkataan lawan bagi halal adalah haram. Tetapi bila sebut sahaja soal haram orang akan ingat babi. Namun kita lupa bahawa konsep halal itu luas, begitu juga konsep haram. Tetapi bila timbulnya isu termakan babi, ibarat runtuhnya dunia ini. Berbalik kepada konsep halal dalam agama, ia begitu luas. Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berbeza dengan agama-agama sebelumnya. ALLAH ciptakan semua yang di atas bumi ini untuk kamu. Kerana itu dalam Islam, asal dalam setiap perkara itu harus. Bukan haram, bermaksud jika kita tidak dapat membuktikan ianya haram, ia adalah halal, bukan sebaliknya. Jadi jika kita ada makanan, orang yang mengatakannya halal tidak perlu buktikan, tetapi siapa mengatakannya haram, perlu dibuktikan. Itu kaedah agama. Sebab itu apa sahaja haiwan yang ada adalah halal melainkan setelah ia dibuktikan haram. Khinzir dibuktikan dengan nasnya haram dan ada juga yang khilaf seperti dipersetujui para ulama dan Mazhab Malik yang mengatakan anjing sebagai khilaf. Ini menunjukkan konsep halal itu luas. Contoh, sekiranya seekor binatang tidak dapat ditentukan sifatnya sama ada hukumnya halal atau haram, maka hukumnya adalah halal. Begitu juga apabila kita menjamu daging di rumah seorang Muslim, tidak perlulah kita minta penjelasan bagaimana lembu itu disembelih. Berbalik kepada konsep umum. Kerana itu apa yang dicop halal oleh Jakim sebagai halal, adalah halal. Tetapi tidak semestinya apa yang tidak dicop Jakim sebagai halal, belum tentu haram.
Kerana itu jangan ada salah faham dalam agama. Andai kata kita termakan sesuatu yang haram, tuhan tidak akan terus menghukum atas kesilapan itu kerana Nabi Muhammad SAW menyebut dalam hadisnya yang bermaksud, ‘Allah mengampunkan salah dan silap’. Bukan apabila kita makan sesuatu yang haram kita harus bersihkan diri dengan cara menukar darah dan sebagainya. Ini adalah tanggapan yang salah mengenai halal dan haram. Sebelum ini saya pernah mencadangkan, bahawa dalam sebuah negara Islam, kita tidak perlukan cop halal, sebaliknya cop haram, kerana di dalam negara Islam sepatutnya barangan halal lebih banyak dijual berbanding yang haram. Jadi kalau hendak cop, cop yang sedikit dan tindakan perlu diambil ke atas mereka yang gagal mempamerkan cop haram pada produk yang haram.

Wednesday, June 18, 2014

COKLAT WHITTAKER'S UTAMAKAN KUALITI

  • Matt Whittaker (dua, kiri) menunjukkan produk coklat Whittaker's semasa Majlis Perasmian Coklat Whittaker’s, semalam.Matt Whittaker (dua, kiri) menunjukkan produk coklat Whittaker's semasa Majlis Perasmian Coklat Whittaker’s, semalam.
 1 / 1 
PENGELUAR coklat jenama Whittaker’s mementingkan kualiti dan memandang serius status halal dalam pengeluaran produknya.

Ketua Pasaran Antarabangsa Whittaker’s, Matt Whittaker berkata, semua rangkaian coklat keluaran syarikat itu disahkan halal oleh Federation of Islamic Associations of New Zealand (FIANZ), salah sebuah badan persijilan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini termasuk coklat perisa yang belum pernah dijual secara meluas di Malaysia sebelum ini seperti coklat mentega kacang, kacang macadamia dan coklat gelap berisi fondan pudina.

“Bagi menjamin kualiti dan status halal produk, kami mengawal keseluruhan proses pembuatan coklat daripada bahan asasnya iaitu biji koko sehinggalah ia menjadi coklat bar,” katanya ketika
Majlis Perasmian Coklat Whittaker’s yang memasuki pasaran Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, David Pine dan rakan kongsi pengurusan Whittaker’s, Aida Rizvo.

Sementara itu, Aida berkata, syarikat itu optimis untuk mencapai sasaran 15 peruncit bagi memasarkan coklat Whittaker’s menjelang hujung tahun ini.

“Untuk permulaan, coklat Whittaker’s boleh didapati di gedung-gedung utama termasuk Aeon Big, Tesco dan Kumpulan Dairy Farm. Pasarannya akan diperluaskan pada masa akan datang,” katanya.

Semua coklat keluaran New Zealand itu dihasilkan di kilangnya di Wellington dan jenama Whittaker’s popular di kedai bebas cukai di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Sebanyak 27 jenis coklat Whittaker’s termasuk coklat keping, bar, blok dan campuran dengan pelbagai pilihan perisa antaranya macadamia serta mentega kacang ditawarkan.

Tuesday, June 17, 2014

PISANG GORENG KEJU-GUNUNG KERIANG

PISANG goreng keju dijual pada harga RM3 satu set.
PISANG goreng merupakan antara makanan yang digemari dalam dalam kalangan rakyat Malaysia.
Makanan yang sering disaji pada waktu petang ini telah ditransformasikan mengikut cita rasa golongan muda melalui penghasilan pisang goreng keju.
Mungkin nama itu agak pelik bagi sesetengah orang, namun di negeri Jelapang Padi pisang goreng keju yang dijual di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar menjadi satu fenomena luar biasa sejak awal bulan ini.
Lebih menarik, ada dalam kalangan pelanggan yang sanggup menunggu lebih dua jam untuk menikmati pisang goreng keju malah terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan menerusi Facebook empat hari lebih awal.
Pengusahanya, Izham Ahmad, 36, berkata, dia turut terkejut dengan sambutan pelanggan sehingga ada dalam kalangan mereka yang membuat tempahan menerusi panggilan telefon kira-kira lima jam sebelum pihaknya memulakan operasi.
Perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu pada mulanya hanya menjual pisang goreng sama seperti peniaga lain.

GABUNGAN keju dan taburan gula perang menambahkan keenakan rasa pisang goreng keju.


“Masa berniaga pisang goreng dahulu banyak persaingan di kawasan ini. Ia menyebabkan saya berfikir jalan untuk memberi suatu kelainan kepada pelanggan.
“Dari situ, kami mula mencipta pisang goreng coklat, pisang goreng sarung dan pisang goreng rangup, namun pisang goreng keju lebih mendapat sambutan.
“Atas sebab itulah, kami fokuskan kepada satu jenis pisang goreng sahaja,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau hanya menggunakan pisang awak, pisang abu atau pisang raja bergantung kepada bekalan daripada pembekal.
Sebagai seorang chef yang berpengalaman di beberapa buah hotel di negara ini, Izham memberitahu, walaupun terdapat pisang goreng keju di negeri lain seperti Sabah, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor tetapi apa yang membezakan goreng pisang kejunya ialah tepung yang digunakan.
Menurut Izham, tepung segera yang diolah daripada resipi keluarga mertuanya itu merupakan bahan asas utama yang merangupkan pisang goreng beliau.
Selain itu, kombinasi gula perang di atas parutan keju memberi rasa yang berbeza berbanding pisang goreng keju yang lain.
“Taburan gula perang di atas parutan keju menambah keenakan pisang goreng keju kerana rasa gula itu yang kurang manis,” ujarnya.
Izham memberitahu, dalam sehari dia mampu menjual sebanyak 200 set pisang goreng keju dengan memperuntukkan kira-kira 50 hingga 60 sikat pisang awak dan abu.
Katanya, dia amat menghargai pelanggannya yang sanggup menunggu lama untuk membeli pisang goreng keju yang dihasilkan.
“Kami juga berharap agar pelanggan menghubungi kami terlebih dahulu di antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk membuat pesanan dan mengambil nombor giliran,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Langgar, belakang bangunan Universiti Antarabangsa Unitar, Alor Setar, Kedah.