BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, June 17, 2014

PISANG GORENG KEJU-GUNUNG KERIANG

PISANG goreng keju dijual pada harga RM3 satu set.
PISANG goreng merupakan antara makanan yang digemari dalam dalam kalangan rakyat Malaysia.
Makanan yang sering disaji pada waktu petang ini telah ditransformasikan mengikut cita rasa golongan muda melalui penghasilan pisang goreng keju.
Mungkin nama itu agak pelik bagi sesetengah orang, namun di negeri Jelapang Padi pisang goreng keju yang dijual di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar menjadi satu fenomena luar biasa sejak awal bulan ini.
Lebih menarik, ada dalam kalangan pelanggan yang sanggup menunggu lebih dua jam untuk menikmati pisang goreng keju malah terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan menerusi Facebook empat hari lebih awal.
Pengusahanya, Izham Ahmad, 36, berkata, dia turut terkejut dengan sambutan pelanggan sehingga ada dalam kalangan mereka yang membuat tempahan menerusi panggilan telefon kira-kira lima jam sebelum pihaknya memulakan operasi.
Perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu pada mulanya hanya menjual pisang goreng sama seperti peniaga lain.

GABUNGAN keju dan taburan gula perang menambahkan keenakan rasa pisang goreng keju.


“Masa berniaga pisang goreng dahulu banyak persaingan di kawasan ini. Ia menyebabkan saya berfikir jalan untuk memberi suatu kelainan kepada pelanggan.
“Dari situ, kami mula mencipta pisang goreng coklat, pisang goreng sarung dan pisang goreng rangup, namun pisang goreng keju lebih mendapat sambutan.
“Atas sebab itulah, kami fokuskan kepada satu jenis pisang goreng sahaja,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau hanya menggunakan pisang awak, pisang abu atau pisang raja bergantung kepada bekalan daripada pembekal.
Sebagai seorang chef yang berpengalaman di beberapa buah hotel di negara ini, Izham memberitahu, walaupun terdapat pisang goreng keju di negeri lain seperti Sabah, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor tetapi apa yang membezakan goreng pisang kejunya ialah tepung yang digunakan.
Menurut Izham, tepung segera yang diolah daripada resipi keluarga mertuanya itu merupakan bahan asas utama yang merangupkan pisang goreng beliau.
Selain itu, kombinasi gula perang di atas parutan keju memberi rasa yang berbeza berbanding pisang goreng keju yang lain.
“Taburan gula perang di atas parutan keju menambah keenakan pisang goreng keju kerana rasa gula itu yang kurang manis,” ujarnya.
Izham memberitahu, dalam sehari dia mampu menjual sebanyak 200 set pisang goreng keju dengan memperuntukkan kira-kira 50 hingga 60 sikat pisang awak dan abu.
Katanya, dia amat menghargai pelanggannya yang sanggup menunggu lama untuk membeli pisang goreng keju yang dihasilkan.
“Kami juga berharap agar pelanggan menghubungi kami terlebih dahulu di antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk membuat pesanan dan mengambil nombor giliran,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Langgar, belakang bangunan Universiti Antarabangsa Unitar, Alor Setar, Kedah.

No comments:

Post a Comment