BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, February 9, 2015

JB-WOODLAND HANYA 5 MINIT

  • JB - Woodlands hanya lima minit
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Singapura menyatakan persetujuan secara dasarnya mengenai cadangan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor menambah perkhidmatan keretapi dari Johor Bahru (JB) ke Woodlands.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, perkara itu disambut baik kerajaan negeri kerana ia sedikit sebanyak bakal mengatasi masalah kesesakan Tambak Johor.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan agar cadangan berkenaan diperhalusi dan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan sudah mendapat persetujuan kedua-dua negara.

“Ini satu berita baik kepada kita kerana ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan kesesakan dan bebanan kepada mereka yang berulang-alik bekerja dari JB ke Singapura.

“Pengguna tambak Johor boleh menjimatkan masa dengan kadar bayaran rendah dan masanya hanya lima minit dari Woodlands ke JB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pembangunan Pakej Riadah Warisan Nusantara, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Hishamuddin Mustafa dan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Edzuar Zar Ayob Azari.

Siew Kiong berkata, penambahan perkhidmatan keretapi dari JB ke Woodlands itu akan dilaksanakan secara berfasa sehingga 13 trip perjalanan pergi dan balik.

Menurutnya, manfaat itu perlu direbut oleh agensi pelancongan dalam menambah pakej bukan hanya melalui bas sahaja, sebaliknya merasai suasana baharu melalui keretapi dengan hanya lima minit perjalanan.

“Sebelum itu perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) JB ke Woodlands hanya mengadakan lima ‘check point’ sahaja pergi dan balik, kemudian ditambah kepada enam kali pergi dan enam kali balik.

“Kita akan mulakan tujuh kali pergi dan tujuh kali balik secara berfasa sehingga 13 kali pergi dan 13 kali balik dengan kapasiti penumpang seramai 320 orang untuk sekali perjalanan.

“Kita mengharapkan  agensi pelancongan dapat menambahkan pakej menggunakan keretapi untuk memberi pengalaman baharu kepada pelancong,” katanya.

Sunday, February 8, 2015

NY STEAK SHACK-MIDVALLEY MEGAMALL KL

DAPAT menikmati sekeping daging lembu yang dimasak sama ada separa masak atau masak sepenuhnya pasti memberi kepuasan kepada mereka yang meminati sajian Barat.
Ditambah pula dengan sos barbeku, yang begitu sinonim dengan sajian stik, manakala daging yang dimasak pilihan daripada daging segar.
Hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat tempatan gemar untuk menikmati sajian Barat tetapi sukar membuat pilihan kerana tidak mengetahui restoran mana yang menyajikan hidangan yang sedap dengan harga berpatutan.
Untuk itu apa kata kunjungi NY Steak Shack dan pilih apa juga hidangan Barat yang menjadi kesukaan anda.
Menurut Pengurus Besarnya, Rayyan Irwan, restoran tersebut yang mula beroperasi Julai tahun lalu menawarkan pelbagai hidangan enak yang boleh dinikmati seisi keluarga.
Tambahnya lagi, dalam usaha menjadikan restoran tersebut sebuah restoran keluarga, pihaknya telah menampilkan pelbagai jenis menu dengan pelbagai jenis masakan termasuklah pencuci mulut.
“Restoran ini sememangnya dibuka sebagai sebuah restoran keluarga dan semua peringkat umur boleh menikmati pelbagai hidangan yang disediakan seperti stik, burger, dan juga pasta.
“Kelebihan yang ditampilkan ialah kepelbagaian cara masakan yang pasti memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.
“Selain itu, kami turut mengolah kembali resipi-resipi sedia ada untuk disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia,” ujarnya ketika ditemui di NY Steak Shack Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai restoran tersebut, kata Rayyan, pihaknya kini sedang menunggu sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menawarkan 12 pilihan masakan yang berbeza,, harga yang ditawarkan adalah serendah RM12.90 hingga RM35.90.
Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, NY Steak Shack, Midvalley Megamall boleh memuatkan seramai 110 pelanggan pada satu-satu masa.
Memberitahu bahan-bahan mentah ada yang diimport dan juga tempatan, Rayyan menjelaskan kesemua hidangan dimasak oleh chef yang cukup berpengalaman dalam masakan Barat.
Selain menyediakan hidangan daging segar, restorannya turut mengamalkan penelitian kualiti masakan di peringkat maksimum supaya pelanggan dapat menikmati kelazatan sebenar hidangan.
“Kesemua bahan mentah daging kami diimport dari Australia, ayam pula diperoleh daripada pengedar tempatan manakala ikan pula dari Vietnam.
“Yang pasti kesemua bahan-bahan ini terutama sekali yang diimport adalah halal dan sudah pasti kami amat menitikberatkan soal tersebut,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, baik kepada mereka yang meminati daging lembu atau pun daging ayam, di sinilah tempatnya untuk anda mencuba sesuatu yang baharu.
Pastinya tidak mengecewakan, NY Steak Shack menyajikan sajian yang terbaik buat para pelanggannya dengan pelbagai jenis hidangan.

KEDAI MAKAN RM 2 DI SINTOK DAPAT SAMBUTAN

KEDAI makan RM2 milik Rohaya Md. Desa dikunjungi orang ramai di

Cuma pada harga RM2, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan termasuk nasi berlauk dan semangkuk mi di sebuah kedai makan Kampung Changhai, Jalan Sintok Lama, dekat sini.

Di kedai yang dinamakan Kedai Makan RM2 itu juga, minuman hanya dijual pada harga 50 sen sehingga RM1 segelas sekali gus menjadikan kedai tersebut tumpuan pelbagai lapisan masyarakat sejak dibuka pada Disember tahun lepas.

Pemilik kedai, Rohaya Md. Desa, 44, berkata, dia menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi ayam, nasi goreng, pulut ayam, bihun sup, laksa, mi goreng, mi rebus dan kuetiau goreng dengan harga RM2 setiap pinggan.

“Minuman pula dijual pada harga RM1 manakala kopi O dan teh O panas boleh didapati pada harga 50 sen,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.

Menurut Rohaya, pada mulanya dia agak bimbang akan mengalami kerugian kerana menjual pada harga murah apatah lagi dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu sebelum ini.

“Saya lebih suka dikenali sebagai kedai makan yang menawarkan harga murah kerana niat saya berniaga adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan.

“Saya berpuas hati dengan apa yang diusahakan berhasil dan menganggap ini sebagai permulaan baik apabila kedai dikunjungi ramai pelanggan.

“Sebelum ini saya pernah membuka pelbagai jenis perniagaan, terutamanya kedai pakaian yang saya usahakan 13 tahun lalu kerana pada masa itu negara ditimpa kegawatan ekonomi pada 1998,” katanya.

Friday, February 6, 2015

BATU TERAPUNG TARIKAN MUZIUM BUGIS

  • Batu terapung tarikan Muzium Bugis
 1 / 2 
PONTIAN - Sukar dipercayai batu seberat hampir dua kilogram (kg) terapung dalam air.

Namun, itulah yang berlaku pada sebiji batu yang diletakkan dalam akuarium di Muzium Bugis.

Pemilik barang pameran di Muzium Bugis, Abdullah Ahmad berkata, batu tersebut menjadi tarikan utama pelawat ke muzium yang mempunyai kira-kira 2,000 barang pameran berkaitan kebudayaan masyarakat Bugis.

Menceritakan asal usul batu tersebut, jelasnya ia ditemui rakannya ketika sedang 'melanggai' udang di sekitar Sungai Rambah, kira-kira lima tahun lalu.

“Pada awalnya, saya juga tidak percaya dengan cerita rakan yang mendakwa batu tersebut boleh terapung dalam air.

“Akhirnya rakan saya membuktikan batu tersebut sememangnya terapung apabila direndam dalam air,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, walaupun banyak persoalan daripada pengunjung mengenai batu yang disifatkan aneh itu, namun rata-rata mereka mengagumi kejadian tersebut yang disifatkan sebagai kebesaran Ilahi.

Abdullah mengakui jarang sekali dapat melihat batu terapung di dalam air, ditambah batu aneh ini agak berat namun ia tidak tenggelam.

“Saya hanya menggunakan air tawar biasa dan tidak mencampurkan sebarang bahan kimia yang boleh menyebabkan batu tersebut terapung,” katanya.

Abdullah  berkata, dia berniat untuk menyimpan batu tersebut walaupun ada antara pengunjung yang mahu membeli dengan menawarkan harga yang tinggi.

Menurutnya, dia tidak berniat menjualnya kerana baginya ia pasti ada maksud tersendiri.

“Ini batu terapung yang pertama ditemui sepanjang saya mengumpul barang artifak sejak sejak 1978,” katanya
.

Thursday, February 5, 2015

PEMAKANAN UNTUK PESAKIT GOUT

GOUT sejenis penyakit yang ditakrifkan sebagai penghasilan asid urik secara berlebihan di dalam badan dan ini berlaku dalam keadaan di mana pengeluarannya bertambah dengan pengambilan secara berlebihan makanan purin (zat semula jadi) berprotein tinggi.
Apabila ini terjadi, pesakit gout akan mengalami bengkak pada bahagian kaki, panas, dan amat sakit hingga ada sesetengahnya tidak boleh berjalan.
Sekiranya pesakit tersebut menghidap gout yang kronik, kehidupan harian yang normal akan terganggu dan perkara yang paling ditakuti ialah berlakunya kecacatan pada sendi dan otot, sama ada ringan atau berat.
Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nurul Ain Baharudin, penyakit yang banyak menyerang golongan lelaki ini berpunca daripada pengambilan makanan yang tinggi purin seperti hidupan laut, kekacang, dan daging merah.
Katanya, purin ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.
Tambahnya, kekurangan air dalam badan juga boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah, sekali gus menyebabkan keadaan pesakit gout lebih buruk.
“Tidak dinafikan, penyakit ini jika sekali terkena sukar untuk sembuh, tetapi kita boleh mencegah serangannya dengan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.
“Untuk itu, pesakit perlulah mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang, dan ketam kerana kandungan purinnya tinggi, serta tidak ketinggalan makanan berasaskan kacang, dan daging merah, seperti daging lembu.
“Selain itu, organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu, serta daging kambing juga perlu dielak kerana kesemua makanan ini mengandungi purin yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Disebabkan itu juga, setiap pesakit gout disarankan agar sentiasa mengamalkan diet mengikut panduan piramid makanan.
Katanya, minuman keras juga patut dielakkan kerana minuman tersebut boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.
Oleh kerana pengambilan makanan yang tinggi purin penyebab utama gout, Nurul Ain menasihatkan pesakit mendisiplinkan diri dengan memilih makanan yang mengandungi kandungan purin yang sederhana dan seelok-eloknya mengambil makanan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran atau karbohidrat.
Ulasnya, selain mengawal pemakanan dengan tidak mengambil makanan berprotein tinggi secara berlebihan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang dapat membantu mengurangkan asid urik dalam badan.
Pesakit juga dinasihatkan minum air yang banyak setiap hari bagi membantu perkumuhan asid urik daripada badan dan mengurangkan risiko mendapat batu karang.
Ringkasnya, pemakanan yang harus dikurangkan atau dielakkan adalah protein yang menghasilkan kandungan purin yang banyak kerana zat tersebut penyumbang terbesar kepada pembentukan asid urik.
Begitu pun, Nurul Ain memberitahu, tidak semua makanan yang berprotein ada risiko gout, seperti ikan dan telur ayam, tetapi harus diingatkan bahawa penyakit tersebut menyerang seseorang yang mengambil protein secara berlebihan.
Yang pasti, hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa, serta jantina dan ada kes remaja berusia 18 tahun dikesan menghidap penyakit ini.
Pesakit-pesakit gout turut disarankan agar berjumpa dengan pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya.

Wednesday, February 4, 2015

TEH TARIK PLACE-SEKSYEN 13 SHAH ALAM

SEBUT sahaja teh tarik, sudah pasti kita terbayangkan kelazatan air yang dicampur dengan serbuk teh dan susu pekat manis yang ‘ditarik’ beberapa kali menggunakan gelas sehingga berbuih sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
Ketagihan terhadap minuman yang menjadi identiti negara kita ini membuatkan sesetengah daripada kita mesti menikmati minuman tersebut setiap hari. Bagi mereka, jika tidak dapat menghirup teh tarik setiap hari maka hari tersebut dirasakan seperti tidak bermaya. Malah, bagi yang bekerja di luar negara mahupun melancong di luar negara, kerinduan terhadap teh tarik seperti tidak dapat dibendung sehinggakan itulah minuman pertama yang dicari sebaik tiba di lapangan terbang.
Ini diakui sendiri oleh pemilik Teh Tarik Place, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Junaidah Kiting.
Menurutnya, rasa unik teh tarik membuatkan sesiapa sahaja pasti merindui minuman tersebut jika lama tidak menikmatinya. Menyedari itu, beliau berusaha menyediakan teh tarik yang akan membuatkan setiap pelanggan yang pernah merasai minuman itu di restorannya akan datang lagi, sekali gus menjadi pelanggan setia.
“Teh tarik yang kami sediakan memang lain daripada yang lain. Ini diakui sendiri oleh pelanggan yang memberitahu rasa teh yang sedap menjadi antara faktor yang menarik ramai pelanggan untuk singgah menjamu selera di restoran. Kata mereka, keunikan teh tarik ini menepati selera orang ramai,” ujarnya.
Menurutnya, boleh dikatakan setiap pelanggan akan memilih teh tarik walaupun restoran itu turut menyediakan minuman lain seperti kopi dan jus buah-buahan.
Junaidah berkata, selain teh tarik, restorannya juga menyajikan makanan seperti roti bakar, nasi lemak, aneka nasi goreng, nasi kerabu, ayam goreng berempah dan sajian seperti restoran mamak iaitu roti canai, murtabak, mi goreng dan kuetiau goreng.
Beliau berkata, antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah murtabak kambing dan kuetiau goreng yang boleh dikatakan menjadi sajian istimewa di Teh Tarik Place.
“Kami berharap para pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana santai sambil berbual sama ada dengan kawan-kawan, klien mahupun keluarga.
“Di sini, kami mengamalkan konsep layan diri dalam ruang hawa dingin yang terbuka tanpa ada gelas kaca agar pelanggan lebih selesa untuk masuk terus ke restoran kami,” ujarnya.
Waktu operasi Teh Tarik Place adalah dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi dan pesanan terakhir boleh dibuat pada pukul 12.30 malam.
Junaidah memberitahu, tidak lama lagi, pihaknya bercadang memperkenalkan set kombo dan set promosi untuk menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan pekerja sekitar Seksyen 13.
“Kami ingin pelanggan mendapat kepuasan maksimum dengan setiap pesanan. Oleh itu, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang dan merasai sendiri kelainan hidangan yang kami sediakan.
“Hidangan ini memang ada di mana-mana tempat tetapi restoran ini menjanjikan rasa yang lebih istimewa,” katanya.
Bagi penghuni bandar raya Shah Alam yang mungkin sudah jemu melepak di kedai mamak, apa kata berkunjung ke Teh Tarik Place di Seksyen 13 untuk menikmati rasa teh tarik yang unik ini.

Tuesday, February 3, 2015

FRUKTOSA PUNCA GOUT

Gout berlaku akibat tubuh gagal memproses protein. Makanan berprotin tinggi seperti ikan, udang, daging, telur, kacang dan lain-lain tidak boleh dimakan oleh pengidap gout. Protin dalam makanan seperti ini akan diproses menjadi asid urik dan seterusnya dipecahkan menjadi air dan urea. Asid urik adalah berbentuk separa pejal. Kegagalan tubuh memecahkan asid urik kepada urea membuatkan asid separa pejal berkumpul pada celahan tulang dan akhirnya membentuk ketulan kristal batu gout. Kristal batu gout ini boleh juga terbentuk pada celahan buah pinggang dan pundi kencing membentuk batu karang .
Gout lazimnya menyerang
 ibu jari kaki.
Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit apabila gout menyerang.
Serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba, kerap kali semalaman. Sendi yang diserang menjadi bisa sehinggakan geseran dengan selimut pun begitu menyeksakan.
Sakit mungkin berlarutan berhari-hari, atau sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu untuk reda jika tidak dirawat.
Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan. Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.
Fruktosa dan gout
Bukan faktor pemakanan protin sahaja menjadi punca kepada masalah gout. Ini kerana ramai antara pengidap gout meskipun berpantang makan tetap juga mendapat serangan.
Selain protin, pengambilan minuman beralkohol, minuman bergula tinggi dan makanan proses yang menggunakan pemanis sirap jagung berfruktosa tinggi (HFCS), adalah antara penyebab utama gout.
Pada tahun 1960-an sirap jagung mula diekstrak di Amerika. Ia di promosi sebagai gula yang lebih sihat dan lebih manis berbanding gula biasa. Tetapi saintis berjaya membuktikan bahawa sirap jagung adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit.
Terdapat peningkatan ketara insiden penyakit gout ini sejak beberapa dekad lalu terutama di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sejak peningkatan penggunaan minuman berkarbonat, minuman jus dan minuman bergula terutamanya sirap jagung berfruktosa tinggi.
Fruktosa berlebihan juga menyebabkan peningkatan paras asid urik yang menjadi punca kepada masalah sakit sendi gout. Fruktosa akan mengganggu enzim xanthine oxidase dalam hati yang menyebabkan berlaku peningkatan paras asid urik dalam darah yang akan menyebabkan masalah sakit sendi gout.
Fruktosa juga tidak dapat dipecahkan kepada tenaga dan diproses sebagai urik asid. Selain itu ia juga mengganggu hormon dopamine dalam otak hingga menimbulkan rasa ketagihan kepada fruktosa berlaku. Fruktosa juga menyebabkan masalah rintangan insulin dan meningkatkan paras insulin dalam darah dan ini punca terjadinya sindrom metabolik dan menyumbang kepada kencing manis.
Nasihat perubatan yang konvensional untuk penyakit gout biasanya memfokuskan kepada ‘pantang’ makanan berprotin seperti daging, udang, sotong, kekacang dan sebagainya tanpa nasihat supaya mengawal minuman bergula, buah-buahan manis serta jus yang mempunyai kandungan fruktosa tinggi. Fruktosa ialah satu-satunya jenis karbohidrat yang boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah.

Pencegahan
Ubat-ubatan anti radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi. Walaupun ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit perut. Jika digunakan dalam jangka masa yang singkat, kesan sampingan jarang berlaku.
Ubatan lain seperti colchicine juga boleh diambil. Walaupun amat berkesan, ia boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit (Peringatan: Colchicine hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor) selain steroid (Peringatan: Steroid hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor)
Lazimnya cecair steroid disuntik terus ke sendi yang radang. Pil steroid boleh diambil dalam jangka masa yang pendek jika penghidap tidak boleh mengambil ubat-ubatan yang lain. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh diambil berpanjangan.
Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.
Menjaga berat badan - adalah penting kerana kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.
Elakkan mengambil minuman keras serta elakkan pengambilan makanan yang mengandungi purin yang tinggi.
Sesetengah daging binatang, makanan laut dan kekacang mengandungi purin iaitu sejenis protein yang tinggi.
Ubah cara hidup anda untuk memastikan paras asid urik normal, iaitu dengan amalan bersenam dan banyak minum air.
Amalkan cara hidup sihat untuk mengelak dari menghidap penyakit-penyakit yang berhubungkait dengan gout.
Hentikan pengambilan makanan dan minuman mengandungi fruktosa atau pemanis sirap jagung kerana ia adalah antara agen perosak hormon yang merbahaya. Oleh kerana kewujudan pemanis ini adalah secara tersorok dalam makanan pastikan anda membaca label terlebih dahulu sebelum membeli.
Kesan kerosakan hormon pada tubuh manusia hanya boleh di kesan setelah munculnya penyakit berkenaan. Penyakit yang berlaku mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk muncul namun kesan penyakit sangat merbahaya dan mungkin mengancam nyawa.