Ketagihan terhadap minuman yang menjadi identiti negara kita ini membuatkan sesetengah daripada kita mesti menikmati minuman tersebut setiap hari. Bagi mereka, jika tidak dapat menghirup teh tarik setiap hari maka hari tersebut dirasakan seperti tidak bermaya. Malah, bagi yang bekerja di luar negara mahupun melancong di luar negara, kerinduan terhadap teh tarik seperti tidak dapat dibendung sehinggakan itulah minuman pertama yang dicari sebaik tiba di lapangan terbang.
Ini diakui sendiri oleh pemilik Teh Tarik Place, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Junaidah Kiting.
Menurutnya, rasa unik teh tarik membuatkan sesiapa sahaja pasti merindui minuman tersebut jika lama tidak menikmatinya. Menyedari itu, beliau berusaha menyediakan teh tarik yang akan membuatkan setiap pelanggan yang pernah merasai minuman itu di restorannya akan datang lagi, sekali gus menjadi pelanggan setia.
“Teh tarik yang kami sediakan memang lain daripada yang lain. Ini diakui sendiri oleh pelanggan yang memberitahu rasa teh yang sedap menjadi antara faktor yang menarik ramai pelanggan untuk singgah menjamu selera di restoran. Kata mereka, keunikan teh tarik ini menepati selera orang ramai,” ujarnya.
Menurutnya, boleh dikatakan setiap pelanggan akan memilih teh tarik walaupun restoran itu turut menyediakan minuman lain seperti kopi dan jus buah-buahan.
Junaidah berkata, selain teh tarik, restorannya juga menyajikan makanan seperti roti bakar, nasi lemak, aneka nasi goreng, nasi kerabu, ayam goreng berempah dan sajian seperti restoran mamak iaitu roti canai, murtabak, mi goreng dan kuetiau goreng.
Beliau berkata, antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah murtabak kambing dan kuetiau goreng yang boleh dikatakan menjadi sajian istimewa di Teh Tarik Place.
“Kami berharap para pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana santai sambil berbual sama ada dengan kawan-kawan, klien mahupun keluarga.
“Di sini, kami mengamalkan konsep layan diri dalam ruang hawa dingin yang terbuka tanpa ada gelas kaca agar pelanggan lebih selesa untuk masuk terus ke restoran kami,” ujarnya.
Waktu operasi Teh Tarik Place adalah dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi dan pesanan terakhir boleh dibuat pada pukul 12.30 malam.
Junaidah memberitahu, tidak lama lagi, pihaknya bercadang memperkenalkan set kombo dan set promosi untuk menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan pekerja sekitar Seksyen 13.
“Kami ingin pelanggan mendapat kepuasan maksimum dengan setiap pesanan. Oleh itu, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang dan merasai sendiri kelainan hidangan yang kami sediakan.
“Hidangan ini memang ada di mana-mana tempat tetapi restoran ini menjanjikan rasa yang lebih istimewa,” katanya.
Bagi penghuni bandar raya Shah Alam yang mungkin sudah jemu melepak di kedai mamak, apa kata berkunjung ke Teh Tarik Place di Seksyen 13 untuk menikmati rasa teh tarik yang unik ini.