BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, December 12, 2012

EKPERIMENTASI RESEPI CHEF ADU


CHEF Adu menunjukkan buku resipi olahan ideanya bersama magnet hiasan peti sejuk yang dijual secara dalam talian.



PERNAH mengendalikan sebuah restoran di London iaitu Champor-Champor, Chef Adu Amran Hassan ternyata tidak pernah melupakan di mana asal-usulnya dalam bidang masakan. Masakan Melayu menjadi salah satu signatur yang sentiasa dibawa olehnya untuk diperkenalkan kepada umum terutamanya ketika dia giat menjalankan perniagaan restoran di luar negara.
Dia semakin dikenali setelah pulang ke tanah air apabila menjadi salah seorang juri tetap dalam program realiti masakan di saluran Astro iaitu, MasterChef Malaysia siri kedua dan MasterChef Selebriti.
Kini, Chef Adu Amran atau lebih dikenali sebagai Chef Adu mengorak langkah baharu dalam kerjayanya apabila berkongsi resipi ciptaannya kepada umum menerusi sebuah buku resipi yang bertajuk Nasi dan Seni: Chef Adu Amran Luahan Kreativiti, Resipi dan Tip Masakan.
“Buku ini menggunakan nasi sebagai elemen utama kerana ia merupakan makanan ruji bagi penduduk yang tinggal di rantau Asia. Menerusi buku ini juga, saya gambarkan bahawa elemen seni juga boleh diterapkan dalam penyediaan nasi,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.
Resipi tanpa bahan kimia
Buku ini menyediakan lima jenis resipi nasi iaitu nasi hitam/ungu, nasi kerabu, nasi hijau daun selasih, nasi kunyit dan nasi teh Cina bunga melur.
Setiap resipi yang disediakan merupakan resipi hasil ciptaan Chef Adu yang mempunyai bahan serta kaedah terperinci dalam penyediaannya.
Selain itu, gambar hiasan lima resipi itu juga memberi idea mengenai cara penyediaan serta panduan mengenai bagaimana warna nasi itu apabila ia siap dimasak.
Menurut Chef Adu, dia alah dengan penggunaan ramuan yang berunsurkan bahan kimia dalam masakannya terutamanya bahan pewarna.
“Kelima-lima penyediaan resipi nasi ini mempunyai warna yang berbeza. Namun, ia bebas daripada bahan kimia kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi yang biasa digunakan dalam masakan harian masyarakat Melayu.
“Cara memasak nasi adalah sama dengan cara memasak nasi biasa. Apa yang menariknya ialah warna yang nasi tersebut serta rasa yang berbeza. Ia memberikan satu eksperimentasi baharu dalam masakan,” ujarnya yang menganggap makanan merupakan salah satu cabang seni spiritual dalam setiap masakan.
Sehingga kini, buku yang hanya dicetak sebanyak 2,000 naskhah itu hanya dijual di laman Facebook Chef Adu dan telah mendapat tempahan daripada peminatnya di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Resipi yang menjadi tumpuan dalam buku itu ialah nasi kunyit kerana ia dicipta menerusi hasil campuran nasi dan juga masakan yang terkenal di Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili padi.
“Resipi ini memberi idea bahawa sekiranya lauk ataupun kuah yang tidak habis, ia boleh digunakan dalam masakan tanpa perlu membazirkan lebihan kuah itu. Ia tidak terhad kepada lauk masak lemak cili padi sahaja, untuk lauk masak merah dan sambal,” ujarnya.

Saturday, December 8, 2012

PELABURAN BARU ISKANDAR RM 28 BILLION



Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Telekom Malaysia Bhd., Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa (kanan depan) dengan Pengarah Urusan UEM Land Bhd., Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim (kiri depan) dan Presiden Iskandar Investment Bhd. Datuk Syed Mohamed Ibrahim bagi perjanjian Smart and Connected City di Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelapan di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Dis. - Iskandar Malaysia hari ini menerima pelaburan baharu dengan nilai dianggarkan sebanyak RM28 bilion menerusi enam kerjasama berasingan membabitkan beberapa syarikat.
Pertukaran dokumen tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas merasmikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini.
Turut menyaksikan pertukaran dokumen itu ialah Presiden Kesatuan Comoros, Dr. Ikililou Dhoinine dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Selain itu, Menteri Wakil Khas Presiden Pakistan, Syed Naveed Qamar; Menteri Wakil Khas Perdana Menteri Qatar, Dr. Hussain Al Abdulla;, Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al Haj Murad Ebrahim dan Presiden Bank Pembangunan Islam, Dr. Ahmad Mohamed Ali juga hadir sama.
Pertukaran enam dokumen kerjasama itu antara Kumpulan Kerajaan Industri Malaysia untuk Teknologi Tinggi (Might) dan NanoMalaysia Bhd., bagi mengenal pasti peluang industri di negara ini.
Perjanjian antara Sunway Sdn. Bhd. dan Iskandar Asset Sdn. Bhd., pula untuk membangunkan kawasan Sungai Pendas di Gelang Patah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM12 bilion.
Memorandum persefahaman (MoU) antara UEM Land Bhd. (UEM Land) dan Chinamall Holding Pt. Ltd., untuk membangunkan pusat pameran dan perdagangan dikenali sebagai China Mall di Nusajaya.
Perjanjian kerjasama antara UEM Land, Iskandar Investment Bhd. (IIB) dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) untuk meningkatkan talian komunikasi, sekali gus merealisasikan Smart and Connected Nusajaya (S+CN).
UEM Land, IIB dan TM turut menjalin kerjasama dengan Centios Co. Ltd., dan Cisco System International BV untuk membangunkan antara lain S+CN dan Pusat Inovasi Global.
Kerjasama terakhir adalah perjanjian usahasama untuk membangunkan Motorsport City di Gerbang Nusajaya antara UEM Land dan Fastrack Autosport Pt. Ltd.
Pada majlis itu, pemandu Formula Satu (F1) pasukan McLaren, Lewis Hamilton turut hadir bagi pihak UEM Land untuk menyampaikan cenderamata kepada Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara berkenaan.
Menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Iskandar Malaysia hingga kini menerima pelaburan pelbagai sektor mencecah RM99.79 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM42 bilion atau 43 peratus berjaya direalisasikan dengan 63 peratus merupakan pelaburan domestik.

Friday, December 7, 2012

KAFE TUPAI-TUPAI, TANJUNG LEMAN



MENGUTIP kulit kerang bersama anak-anak di tepi pantai Tanjung Leman, Mersing, Johor terasa amat menyeronokkan. Begitulah suasananya apabila kita sesekali bercuti bersama keluarga di tepi pantai. Pelbagai aktiviti kita boleh lakukan sambil bergurau senda selain menikmati keindahan alam.
Puas berjalan di sepanjang pantai, pasti tempat makan menjadi tumpuan kita sekeluarga. Jika berkunjung ke Tanjung Leman apa kata anda menjamu selera di Kafe Tupai-Tupai.
Pelbagai menu disediakan kepada para pengunjung sama ada secara ala carte atau bufet. Lebih istimewa, kafe ini menyediakan makanan laut yang segar dengan bekalannya diperoleh daripada nelayan tempatan.

KAFE Tupai-Tupai mendapat bekalan ikan segar dari jeti nelayan
di Tanjung Leman.


Pengurus kafe, Mohd. Saiful Samad, 26, berkata, pihaknya menyediakan bufet berharga RM6 seorang dengan menu harian termasuk makanan laut segar.
"Setiap hari, kami menyediakan lima set menu bermula dari 10.30 pagi hingga 2.30 petang. Selepas itu, kita menyediakan makanan ala carte sehingga 10 malam. Para pelanggan juga boleh menempah makanan dalam pakej-pakej tertentu yang harganya dijamin murah," katanya.
Menurut Mohd. Saiful, pihaknya amat bertuah ekoran kedudukan jeti nelayan tidak sampai lima minit perjalanan dari restoran, memudahkan bekalan ikan segar diperoleh.
"Penggunaan hasil laut yang segar membuatkan masakan menjadi lebih sedap. Dari segi harga pula, ia jauh lebih murah daripada restoran di bandar raya Johor Bahru," katanya yang telah empat tahun bekerja di kafe berkenaan.

PARA pelanggan boleh menempah pakej-pakej makanan dengan dikenakan harga yang berpatutan.


Tidak hairanlah, kafe yang dibuka pada Ogos tahun lalu itu menjadi tumpuan pelanggan tetap yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Kuala Lumpur dan Singapura. Selain itu, orang ramai juga boleh menempah perkhidmatan katering pada kadar bayaran yang berpatutan.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 012-746 8709. - NASRI JAMALUDIN

MAKAN SAYUR DI SECRET RECIPE


JAMIE (kiri) dan chef di Secret Recipe Beyond Vege menunjukkan antara hidangan terbaharu yang lazat.



PENGAMBILAN sayur-sayuran sememangnya digalakkan dalam kehidupan seharian memandangkan terdapat pelbagai manfaat selain membantu mencegah penyakit berbahaya.
Berdasarkan beberapa kajian diet dan nutrisi, pengambilan lebih daripada lima hidangan sayur-sayuran sehari dikaitkan dengan pengurangan 17 peratus penyakit jantung koronari.
Menyedari kepelbagaian khasiat sayur-sayuran, Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn. Bhd. (Secret Recipe) mengambil inisiatif membuka kafe terbaharu, Beyond Vege yang menawarkan 30 sajian sayur-sayuran kepada para pelanggan.
Kafe yang terletak di Tropicana City Mall, Petaling Jaya itu nyata memberi kepuasan kepada pelanggan terutama penggemar sayur-sayuran.
Apatah lagi, makanan tersebut disediakan dengan menggunakan sayur-sayuran segar selain bahan-bahan masakan yang asli.
Lebih menarik, kesemua sajian yang dihidangkan di kafe itu tidak menggunakan monosodium glutamat (MSG).
Mengulas lanjut mengenai konsep terbaharu kafe itu, Pengurus Penjenamaan Kanan Secret Recipe, Jamie Fong berkata, menu yang ditawarkan di kafe tersebut berasaskan bahan organik, sayur-sayuran dan tofu.


BRUSCHETTA cendawan sempurna sebagai pembuka selera.



Antara hidangannya ialah bruschetta cendawan, pai tee (kelongsong rangup berinti sengkuang, epal hijau dan tomato), Napoli Bianco Pizza dan asam pedas yang dimasak menggunakan nanas, terung, kacang panjang serta cendawan goreng.
Turut ditawarkan nasi goreng, sup halia, spageti, kek dan banyak lagi.
Menyentuh mengenai harga, menu item bermula dari RM9.90 sehingga RM10.90, ala carte dari RM13.90 sehingga RM15.90 dan masakan kampung (RM12.90 sehingga RM25.90).
Sementara itu, jangan melepaskan peluang menikmati kek-kek di Beyond Veggie kerana ia diperbuat tanpa menggunakan telur.

MOHON SIJIL HALAL SEBELUM 31 DISEMBER


PONTIAN 5 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa pengusaha serta pengeluar produk makanan membuat permohonan segera bagi mendapatkan sijil perakuan halal sebelum 31 Disember ini.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, mulai tahun depan pihaknya akan menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011 dan hanya produk yang mempamerkan logo halal diperakui Jakim boleh memasuki pasar raya atau pasaran yang lebih besar termasuk untuk tujuan eksport.
Beliau berkata, sesetengah pengusaha tidak berminat memohon perakuan sijil halal dengan alasan hanya melakukan perniagaan secara kecil-kecilan dan menganggap pengusaha Islam tidak perlu berbuat demikian.
"Walaupun sebagai pengusaha Islam, mereka perlu memohon perakuan tersebut dan tidak menyifatkan urusan mendapatkannya sebagai susah serta membebankan.
"Dengan pengunaan teknologi maklumat, mereka boleh memohon secara dalam talian dengan kelulusan diperoleh dalam tempoh 30 hari sahaja," katanya berucap pada Seminar Kesedaran dan Kepentingan Halal peringkat daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Hal Ehwal Wanita Daerah Pontian (Helwa), Sabariah Selamat dan Pengawai Tadbir Agama Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.
Kira-kira 200 orang menghadiri seminar tersebut yang terdiri daripada kakitangan awam, penghulu mukim, ketua kampung, ibu tunggal, pengusaha dan pengeluar produk makanan halal dan pemilik premis makanan.
Mohd. Amri berkata, keengganan pengusaha memohon mendapatkan sijil perakuan dan logo halal, sebenarnya akan merugikan perniagaan mereka terutamanya untuk menembusi pasaran lebih besar.
Beliau berharap, penerangan seperti itu dapat memberikan kefahaman lebih jelas bukan sahaja kepada pengusaha tetapi orang ramai bagi mengetahui hak mereka sebagai pengguna.
Menurutnya, bukan sahaja produk berasaskan makanan, malah peralatan lain seperti alat solek dan barangan kegunaan harian juga perlu dipastikan kesucian bagi mengelakkan umat Islam menggunakan produk tidak halal.

Tuesday, December 4, 2012

EKSPO ASPIRASI SIHAT TAWAR PELBAGAI HADIAH


PONTIAN  - Peserta acara berjalan 10,000 langkah sempena Ekspo Aspirasi Sihat 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas pada 8 dan 9 Disember ini berpeluang memenangi sebuah tablet i-Pad.
Program anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Tanjung Piai, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Pekan Nanas dan DUN Kukup itu turut menawarkan sebuah televisyen LCD 32 inci kepada pengunjung bertuah yang menghadiri forum Kesihatan dalam ekspo tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, program melibatkan jarak empat kilometer yang bermula pada pukul 8 pagi itu adalah kali pertama diadakan di daerah ini bertujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang amalan gaya hidup sihat dan kepentingan masa kini.
"Kira-kira 5,000 dijangka mengunjungi ekspo yang turut menyelitkan acara hiburan dan sukan termasuk penampilan bintang Upin & Ipin. Turut diadakan ialah promosi kesihatan dan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Pontian dengan demonstrasi makanan sihat.
"Tanjung Piai bertuah kerana dipilih menjadi lokasi penganjuran program tersebut selain Kluang di Johor dan empat lagi tempat di seluruh negara pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pekan Nanas, Tang Nai Soon dan Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan.
Sementara itu, Norashikin berkata, selain acara berjalan 10,000 langkah, turut diadakan ialah program berbasikal sejauh 18 kilometer dari Pekan Nanas ke Pontian selain 16 gerai pameran dalam ekspo yang menampilkan promosi makanan dan gaya hidup sihat berkenaan.
"Untuk memudahkan pengunjung, perkhidmatan bas juga disediakan di beberapa lokasi seperti Serkat, Rimba Terjun, Sungai Karang, Seri Bunian, Melayu Raya dan Parit Selangor di kedua-dua hari tersebut.
"Kami berharap akan menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat bagi menyedarkan masyarakat orang ramai pentingnya menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat sepanjang masa," katanya.

ISKANDAR MALAYSIA SEDIA JADI RANTAU RANCAK


JOHOR BAHARU 4 Dis. - Pertumbuhan Iskandar Malaysia sejak pengenalannya enam tahun lepas telah melepasi jangkaan dan koridor raya itu telah bersedia untuk menjadi rantau yang paling rancak dan menarik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Bercakap kepada media di luar acara Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang kelapan di sini, beliau berkata para tetamu yang menghadiri forum itu amat kagum dengan pembangunan rancak Malaysia.
"Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat di Iskandar Malaysia. Kita telah membawa mereka melawat dengan menggunakan helikopter dan mereka berkata Iskandar Malaysia telah melepasi jangkaan.
Dengan tarikan seperti Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Johor Premium Outlet dan Legoland Malaysia, Iskandar Malaysia telah bersedia untuk mencapai matlamatnya," kata Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Perdana Menteri berkata terdapat beberapa perkembangan menarik di Iskandar Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Contohnya, lebih ramai rakyat Singapura kini memilih untuk tinggal di Johor dan berulang setiap hari dari sini ke republik itu.
"Pelajar juga berulang alik setiap hari dari republik itu untuk menghadiri sekolah di Marlborough College di Nusajaya.
"Secara amnya, seiring dengan pembangunan antara kedua-dua negara, kita lihat Singapura terus menjadi hab untuk pembangunan komersil dan kewangan, dan kawasan-kawasan Iskandar Malaysia, akan menjadi kawasan kehidupan berkualiti tinggi untuk mereka (rakyat Singapura).
"Ini adalah situasi menang-menang (manfaat bersama), Johor akan mendapat manfaat daripada kebanjiran orang, bakat serta aliran masuk modal. Ia baik untuk masa hadapan Johor," kata beliau.
Ditanya sekiranya pertukaran dokumen hari ini untuk enam kerjasama di Iskandar Malaysia dengan jumlah nilai anggaran RM28 bilion bermakna jumlah pelaburan di koridor ekonomi itu telah melebihi RM100 bilion.
Najib berkata satu majlis khas akan diadakan pada 11 Dis untuk beliau mengumumkan angka terbaru untuk jumlah pelaburan kumulatif Iskandar Malaysia.
"Angka-angka itu nampak amat menggalakkan tetapi saya simpan dulu pengumuman saya itu. Satu majlis khas akan diadakan pada 11 Disember, eksklusif mengenai Iskandar Malaysia," kata beliau.
Antara perjanjian yang dimeterai hari ini ialah antara Sunway City Sdn Bhd dan Iskandar Asset Sdn Bhd untuk memajukan Sungai Pendas, berdekatan Medini, dengan nilai pembangunan kasar RM12 bilion.
Lain-lain memorandum persefahaman ialah antara UEM Land Bhd dan Chinamall Holdings Private Ltd untuk memajukan China Mall, sebuah pusat perdagangan dan pameran di Nusajaya.
UEM Land, Iskandar Investment Bhd dan Telekom Malaysia Bhd turut memeterai perjanjian untuk menyediakan infrastruktur komunikasi dan ICT bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya yang Pintar dan Terhubung.
UEM Land, pemaju induk Nusajaya, turut memeterai perjanjian usaha sama dengan Fastrack Autosport Pte Ltd, yang dikuasai oleh bilionair Singapura, Peter Lim, untuk memajukan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya.