BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, October 19, 2013

WADIHANA ISLAMIC STEAKHOUSE- SETAPAK KL

Samsudin Mariatin (kiri) dan Chef Nik Razin Nik Mad menunjukkan antara sajian pilihan
 di Wadihana Islamic Steakhouse.

UMAT Islam kini tidak perlu lagi berasa ragu-ragu mengenai status halal sesebuah restoran makanan Barat kerana mereka kini mempunyai pilihan untuk menikmati menu kegemaran anda di Wadihana Islamic Steakhouse.
Seindah namanya, berkonsepkan Islamik dan steakhouse, restoran ini menjanjikan pilihan menu menarik yang pastinya menepati cita rasa penggemar masakan barat terutamanya stik.
Difahamkan, nama Wadihana itu adalah hasil cetusan idea daripada pengasasnya, Hamid Hamat dari Johor.
Terletak di PV128, Jalan Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur, restoran ini menawarkan lebih daripada 70 pilihan hidangan Barat yang mendapat sentuhan air tangan pasukan chef berpengalaman diketuai oleh Chef Nik Razin Nik Mad.
Antara hidangan stik yang paling menjadi tumpuan para pelanggan yang datang ke restoran itu adalah Braised BBQ Beef Ribs Steak, Braised Lamb Shank, Whole Lobster dan Turkey Ham Sandwich with Omelette.
Menurut Chef Nik Razin yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan makanan Barat, kesemua menu yang ditawarkan di restoran tersebut sememangnya halal kerana disediakan sendiri oleh beliau dan pembantunya.
"Di Wadihana Steakhouse ini kita menggunakan bahan-bahan yang segar, berkualiti dan paling penting menepati standard halal yang amat dituntut dalam Islam.
"Kita juga menyediakan hidangan mengikut gaya tersendiri dengan penambahan dan ubahsuai yang tertentu supaya setiap hidangan di sini berbeza dan tidak sama seperti di tempat lain," katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Beliau berkata, Braised BBQ Beef Ribs adalah menu yang paling mendapat tempat di hati pelanggan setiap kali bertandang ke restoran itu.
Keunikan hidangan tersebut ialah kerana dagingnya direbus selama tiga jam sehingga empuk bagi memastikan tekstur daging menjadi lembut dan enak dimakan.
Katanya lagi, sos untuk Braised BBQ Beef Ribs juga sangat istimewa kerana dicipta sendiri oleh beliau.
"Saya melakukan sedikit penambahan rasa pada sos dengan menggunakan halia sebagai bahan sampingan bagi menggabungkan rasa masakan Melayu dan Barat dalam sos tersebut.
"Saya juga menggunakan air rebusan tulang untuk menghasilkan sos yang betul-betul asli dan berbeza daripada sos stik di restoran lain," ujarnya.
Selain itu, sesiapa yang memesan Whole Lobster (udang kara) di Wadihana Islamic Steakhouse juga pasti terpikat dengan keenakan rasa sos Thermidornya.
Ini kerana, gabungan sos Thermidor, krim, cendawan dan keju yang ditabur di atas udang kara tersebut sangat menyelerakan.
Bagi mereka yang membawa keluarga pula, anda dicadangkan untuk mencuba Turkey Ham Sandwich with Omelette yang disediakan dalam saiz yang agak besar.
Menu tersebut dilengkapkan dengan kepingan ayam Turki, omelette, dan salad di dalam roti Ciabata.
Dalam pada itu, Pengurus Cawangan Wadihana Islamic Steakhouse, Samsudin Mariatin berkata, pengunjung tidak perlu risau untuk menikmati hidangan di restoran itu kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan.
"Kadar harga yang ditetapkan bagi setiap hidangan di sini sangat berpatutan iaitu 30 peratus lebih rendah berbanding di restoran stik yang lain.
"Kita juga menyediakan hidangan minum petang setiap hari bermula pukul 3 hingga 7 petang setiap hari pada harga RM10.90 ke atas.
"Kita juga ada pilihan beberapa menu sesuai untuk makan tengahari seperti Fish and Chip, BBQ Chicken Sandwich, Lamb Shoulder, Grilled Fsih Fillet, Arrabiata dan Grilled Chicken pada harga RM16.90 ke atas, dengan pilihan sup, salad caesar dan teh o ais limau," jelasnya.
Untuk keterangan lanjut hubungi, Syed Azmi Syed Yaakob di talian 012-6249709

D'KAYANGAN STIMBOT SS13 SHAH ALAM

Chef Shanizam menyediakan stimbot secara sizlling grill terdiri daripada makanan laut dan
 daging yang diperap perasa Barat, Cina dan Melayu.

STIMBOT merupakan sajian sihat yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan dan mendapat permintaan tinggi daripada peminat-peminat makanan laut.
Stimbot biasanya dihidang menerusi cara rebusan, begitupun dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang dilihat sentiasa inginkan pembaharuan, kini banyak restoran stimbot turut menawarkan hidangan tersebut secara barbeku.
Makanan laut, ayam, dan daging lazimnya akan dimasak secara barbeku di atas periuk yang sama untuk stimbot.
Menerusi cara ini, para pelanggan boleh menentukan sendiri cara masakan yang dikehendaki sama ada masak sepenuhnya atau sebaliknya.
D'Kayangan BBQ Steamboat antara restoran stimbot di ibu kota yang menawarkan menu stimbot sama ada secara rebusan ataupun barbeku.
Mula beroperasi sekitar tahun 2010, pada awalnya restoran ini hanya menawarkan stimbot secara rebusan manakala untuk barbeku pihaknya sendiri yang membakar segala makanan laut, ayam, ataupun daging.
Tetapi bermula 15 Ogos lalu, D'Kayangan BBQ Steamboat telah melakukan perubahan dengan menawarkan masakan secara barbeku di meja pelanggan masing-masing.
Ini kerana menurut Chef utama restoran tersebut, Shanizam Shahiram, pihaknya berbuat demikian kerana ingin memenuhi permintaan pelanggan yang mengkehendaki cara masakan seperti itu.
Dalam erti kata lain, Chef Shanizam menjelaskan, para pelanggan ingin memasak sendiri mengikut cita rasa masing-masing.
"Di D'Kayangan BBQ Steamboat, menawarkan menu stimbot jenis rebusan yang menyediakan dua jenis sup iaitu tomyam dan juga sup ayam.
"Kini kami turut menyediakan stimbot secara sizlling grill yang merupakan antara permintaan para pelanggan tetap kami.
"Oleh yang demikian, kami cuba memenuhi permintaan pelanggan dan nampaknya sejak diperkenalkan para pelanggan kami gembira," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaan tersebut yang terletak di MR1-01-04, Seri Acapella Service Apartment, No. 1, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Menawarkan pelbagai jenis makanan laut seperti udang, sotong, pepahat, ketam, ayam, daging, serta bebola ikan, kesemua bahan-bahan mentah ini terutamanya makanan laut, ayam, dan juga daging akan diperap dengan bahan perapan sebelum dimasak.
Ini bertujuan untuk memberi perasa kepada bahan-bahan ini dalam usaha menaikkan lagi selera para pengunjung.
Pada masa yang sama, apa yang istimewanya sizlling grill di D'Kayangan BBQ Steamboat ini, turut menyediakan perapan dalam tiga bentuk perasa iaitu Barat, Cina, dan Melayu.
Ketiga-tiga perapan ini memberi rasa yang berbeza dan sudah pasti suatu yang baharu dalam sizlling grill stimbot.
"Jika di restoran-restoran lain, mereka hanya menggunakan satu bahan sahaja untuk perapan bagi yang ingin memanggang makanan laut ini.
"Tetapi di sini selain satu perapan biasa kami turut memberi pilihan kepada pelanggan untuk merasa perapan yang berasaskan Barat, Cina, dan juga Melayu.
"Dengan ini dapat membezakan barbeku stimbot kami dengan restoran-restoran lain," kata Shanizam.
Yang pasti, selain sizlling grill, para pelanggan boleh menikmati lebih daripada 150 jenis pilihan makanan sama ada dalam rebusan sup ayam mahupun tomyam di samping kambing panggang sebagai makanan sampingan.
Dengan hanya RM33 (dewasa), para pelanggan boleh menikmati pelbagai hidangan untuk bufet (stimbot rebusan dan juga sizlling grill) manakala untuk kanak-kanak pula hanya RM17.
Namun ulas Chef Shanizam, pada masa sama pihaknya menggalakkan pelanggan menghabiskan makanan yang diambil.
Jika berlebihan akan berlaku pembaziran dan untuk itu pelanggan akan dicaj RM10 bagi setiap gram yang berbaki.
Boleh memuatkan sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa, D'Kayangan BBQ Steamboat dibuka setiap hari bermula 5 petang hingga 12 tengah malam.
Kesemua bahan mentah di restoran ini didapati daripada pembekal tempatan, bagi memastikan hanya yang segar dan terbaik pilihan kepada pelanggan.

Tuesday, October 15, 2013

SALAM AIDILADHA 1434H



HARI ini kita berada pada 10 Zulhijjah. Selain Hari Raya Aidiladha, hari ini juga merupakan hari pertama bagi kaum muslimin melakukan ibadah korban dan akan berakhir pada hari tasyrik yang terakhir iaitu pada 13 Zulhijjah.
Selama tiga hari ini kita disunatkan untuk menyembelih haiwan ternak sebagai korban. Sama ada kambing, lembu ataupun unta. Dagingnya lalu dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin yang memerlukan.
Sebahagiannya boleh dijadikan hadiah kepada rakan handai dan boleh juga dimakan untuk santapan keluarga.
Penyembelihan haiwan korban ini sebenarnya simbolik bagi kepatuhan seorang mukmin kepada tuhannya. Allah tidak menilai kesempurnaan ibadah ini dengan daging dan darah haiwan tersebut, akan tetapi memandang kepada kualiti takwa yang terdapat di dalam hati pelaku ibadah ini.
Allah berfirman: Daging dan darah haiwan itu tidak akan mencapai Allah, akan tetapi ketakwaan yang berasal daripadamu. (al-Haj: 37)
Ibadah korban mengingatkan kita kepada kepatuhan Nabi Ibrahim yang bersedia menyembelih Ismail anak kandungnya sendiri kerana memenuhi perintah Allah SWT.
Kesediaan ini menunjukkan tingkat kehambaan baginda yang menempatkan Allah SWT di tingkatan tertinggi di dalam lubuk hatinya.
Sebagai seorang bapa, Ibrahim tentu sahaja sangat mencintai anaknya. Beliau bersedia berpenat lelah untuk memenuhi keperluannya, bahkan bersedia mengorbankan nyawa jika diperlukan untuk melindunginya.
Bagi seorang ayah, perintah menyembelih anak lebih berat daripada perintah untuk mati demi anak. Sangat berat bagi seorang ayah melihat anaknya mati, lebih-lebih lagi jika mesti menerusi tangannya sendiri.
Namun Ibrahim berjaya lulus dalam ujian ini. Beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa tuntutan Allah lebih ia turuti dan mengenepikan perasaan, ego dan emosinya sendiri. Justeru Allah lalu memberinya gelaran Khalilullah (kekasih Allah).
Pengajaran ini hendaklah hadir dalam hati apabila kita melaksanakan ibadah korban. Sewaktu menyembelih haiwan korban, sebenarnya kita tengah menyembelih nafsu dan ego yang selama ini memperhambakan kita.
Kita ingin membebaskan diri daripada kedua-duanya agar benar-benar menjadi hamba Allah SWT tanpa berbelah bahagi.
Kita juga mesti ingat bahawa pengorbanan sejati belum dapat diraih selagi mana kita belum mempersembahkan sesuatu yang paling kita cintai untuk Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud: Kamu tidak akan mencapai darjat berbakti sehinggalah kamu memberikan daripada apa-apa yang kamu cintai. (Ali Imran: 92)
Kata kuncinya ialah meninggalkan nafsu kerana Allah SWT. Kita mesti selalu merujuk kepada hukum Allah SWT dalam setiap tindakan yang hendak kita lakukan dan ucapan yang hendak kita sampaikan. Mana yang melanggar syariat mesti dibuang dan mana yang selari dengan syariat boleh diteruskan.
Perkara ini memang berat di permulaan. Kita berpuasa apabila semua orang makan, bangun tahajud apabila semua orang tidur dan menjaga lisan apabila semua orang sangat ringan membicarakan aib orang lain. Namun jika diteruskan, sedikit demi sedikit kemanisan iman akan terbit di hati.
Ibrahim Al-Khawas berkata: "Barang siapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan kemanisan di dalam hati, itu pertanda ia tidak ikhlas apabila meninggalkannya."
Balasan lain yang telah disiapkan bagi orang yang meninggalkan nafsunya kerana Allah SWT ialah ia akan mendapat ganti yang lebih baik daripada perkara yang ia tinggalkan itu.
Berkata Ubay bin Kaab: "Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT, melainkan Allah SWT akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada sumber yang tidak disangka-sangka."
Perkara ini hanya terbukti bagi orang yang pernah melakukannya.

Saturday, October 12, 2013

REMY'S KITCHEN-SERI KEMBANGAN

GERAI Remy's Kitchen di Bazar Larut Malam, Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor menyediakan 
pelbagai makanan barat pada harga berpatutan.

WALAUPUN hanya beroperasi di sebuah gerai terbuka, itu bukan halangan buat Remy's Kitchen menyediakan masakan barat seperti mana restoran makanan barat terkenal lain.
Malah, bagi penggemar makanan barat yang mahukan kelainan, Remy's Kitchen yang beroperasi di Bazar Larut Malam, Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor adalah pilihan paling tepat.
Gerai yang santai dan selesa itu menawarkan pelbagai menu menarik yang berbeza dengan hidangan barat yang biasa disajikan restoran ternama lain.
Yang paling istimewa, pemilik gerai ini juga menggunakan pisang goreng bagi menggantikan kentang goreng pada setiap hidangannya.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh memilih untuk memesan pisang goreng dengan sambal kicap pada harga yang murah.
Menurut pemilik gerai, Noor Azman Abd. Rahim, 28, bermula dengan minat memasak, dia dan dua rakan kongsinya membuat keputusan untuk membuka sebuah gerai ala barat yang unik.
"Kami memang gemar pisang goreng, disebabkan itu kebanyakan menu ada pisang goreng.
"Menu-menu yang terdapat di gerai ini juga adalah hasil daripada 'try and error' kami bertiga dalam menghasilkan makanan yang menepati cita rasa orang ramai," katanya.
Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula RM2.50 sehingga RM28.
Terdapat 16 menu disediakan dan antara menu menarik yang terdapat di gerai berkenaan termasuklah Sloppy Joe iaitu burger daging cincang yang disediakan bersama kentang lenyek dan pisang goreng.
Selain itu, roti bakar Tommie juga antara menu menarik. Ini kerana ia menggunakan ramuan sendiri, selain pencuci mulut Johnny Tsunami yang menggabungkan pisang goreng dan ais krim. Kesemua menu itu pastinya mengujakan sesiapa sahaja yang mencubanya untuk kali pertama.
Sementara itu, rakan kongsinya, Muhammad Ikhwan Daniel Idrus, 28, pula berkata, bahan perapan yang digunakan adalah ramuan mereka sendiri.
"Kami banyak menggunakan resipi sendiri selain ubah suai resipi yang biasa terdapat di restoran," katanya.
Tambahnya, gerainya juga mengadakan promosi kepada pengunjung yang singgah ke Remy's Kitchen.
"Contohnya pada Hari Merdeka, sesiapa yang pakai jersi Malaysia akan dapat potongan harga," ujarnya.
Gerai yang terletak di Jalan Prima Tropika Barat 1, Taman Prima Tropika, Seri Kembangan itu dibuka setiap hari bermula pukul 8 malam sehingga 2 pagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai gerai tersebut boleh hubungi Muhammad Ikhwan di talian 012-4426866 atau layari laman Facebook Remy's Kitchen.

Thursday, October 10, 2013

4 PREMIS DIARAH TUTUP

  • Empat premis diarah tutupBrohan menunjukkan notis penutupan premis yang dikeluarkan, kelmarin.
 1 / 1 
PONTIAN - Keadaan lantai yang  kotor menyebabkan empat kedai makan di bandar ini diarahkan menghentikan operasi perniagaan selama dua minggu oleh Jabatan Kesihatan Daerah Pontian.

Dalam operasi petang kel- marin, sebanyak 15 kedai makanan diperiksa secara mengejut bagi memastikan peniaga menjaga kebersihan di premis masing-masing.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Daerah Pontian, Brohan Aziz berkata, penutupan  empat kedai makanan berkenaan dilakukan kerana pemilik restoran  gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

“Keadaan dapur tidak terurus dengan kerja membasuh pinggan  mangkuk dilakukan di atas lantai hanya menggunakan air di dalam besen.

“Air bilasan pinggan mangkuk kemudian dibuang atas lantai menyebabkan ia menjadi licin. Air pula bertakung di kawasan lantai yang berlubang,” katanya.

Brohan berkata, sepatutnya, peniaga perlu membasuh pinggan di dalam singki yang membolehkan air mengalir keluar sekaligus tidak terkena pada permukaan lantai seperti yang terkandung di dalam Akta Makanan 1983.

Menurutnya, peniaga memberi alasan kaedah membasuh pinggan di lantai adalah cara tradisi yang sudah biasa mereka amalkan.

“Kaedah itu tidak boleh lagi digunakan kerana dibimbangi  pinggan yang dibasuh akan terkena lantai menyebabkan jangkitan  kuman,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan bagi mengesan peniaga yang gagal mematuhi arahan kebersihatan yang ditetapkan.

Tegasnya, pihak Jabatan Kesihatan meminta peniaga yang diberikan  notis segera melakukan kerja  pembersihan kedai.

“Pegawai kesihatan akan memantau kedai yang diberikan notis penutupan ini sebelum peniaga  dibenarkan memulakan operasi  perniagaan setelah notis penutupan berakhir,” katanya.

10% PENDUDUK MALAYSIA SAKIT MENTAL MENJELANG 2020

KOTA BHARU - Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini diramal akan mengalami penyakit mental menjelang tahun 2020.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, pertambahan populasi penduduk berusia 50-an dan ke atas menjelang 2020 akan memberi implikasi terhadap sistem penjagaan dan pemberian perkhidmatan kesihatan seperti kesihatan mental dan fizikal.
"Golongan usia 50-an dan ke atas akan menghadapi kemerosotan tahap kesihatan akibat penyakit kronik, rasa sunyi akibat terpinggir daripada keluarga dan masyarakat, hilang minat akibat hilang pekerjaan serta masalah kewangan akibat kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Psikologi Pekhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan kali ke-19 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, hari ini.
Lokman Hakim berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kemurungan merupakan satu daripada penyakit mental yang menduduki tempat kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia menjelang 2020.
Beliau berkata kerajaan, keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan untuk memastikan kesihatan mental warga 50-an dan ke atas terjamin dengan memberi sokongan yang positif untuk persiapan seseorang ke arah usia emas.

Sunday, October 6, 2013

STEAK DAGING SEGAR DAN HALAL DI AYERS ROCK


SEBAIK melangkah ke restoran Ayers Rock Butcher & Grill (Ayers Rock) yang terletak di Wangsa Maju Kuala Lumpur, mata penulis terus melirik ke arah peti sejuk dingin (display chiller).
Terletak berhampiran dapur, peti sejuk beku tersebut dipenuhi ketulan daging lembu dan kambing segar diimport dari Australia, Norway dan New Zealand.
Lebih menarik, Ayers Rock bukan hanya menyediakan sajian stik, malah menjual daging mentah kepada orang ramai.
Pelanggan boleh memesan sama ada daging lembu grass fed, grain fed, black angus atau wagyu king mengikut berat yang dikehendaki iaitu 200 gram, 280 gram dan 350 gram.
Menurut Pemilik Bersama Ayers Rock Wangsa Maju, Mohd. Azren Datuk Osman, restoran ini menyediakan daging halal yang berkualiti tinggi buat pelanggan.
“Ayers Rock sebenarnya diasaskan oleh Ahmad Zakir Shafie yang merupakan seorang usahawan berpengalaman lebih 13 tahun dalam industri ternakan dan daging. Menurut Ahmad Zakir, nama Ayers Rock merupakan gambaran bukit batu terkenal di utara Australia," katanya,
Tambah Mohd. Azren, Ayers Rock tidak hanya menyediakan sajian stik, malah menjual daging kepada orang ramai seperti grass fed, grain fed, black angus dan wagyu king.
Jelasnya, daging lembu yang diimport ini mempunyai banyak perbezaaan dari segi kualiti dengan daging tempatan.
peti sejuk dingin yang menjual daging import halal di Ayers Rock Wangsa Maju, Kuala lumpur.

Daging lembu ini mempunyai rasa, tekstur, lemak dan ‘kemanisan’ berlainan, bergantung kepada pemakanan haiwan itu sama ada hanya makan rumput, bijirin dan wagyu. Bagaimanapun, Ayers Rock menggunakan wagyu daripada Australia yang tidak diberi minuman berasas arak.
“Kami menyediakan pelbagai stik termasuk daging kambing daripada New Zealand yang dipelihara dalam persekitaran halal sepenuhnya.
“Antara stik popular di kalangan pelanggan ialah T-bone premium beef, short ribs, tenderloin, wagyu ribeye, lamb cutlet, dan burger stik.
“Dalam pada itu, pelanggan yang tidak mahu makan daging, boleh mencuba stik salmon, cod atau udang galah," katanya.
Menariknya, salmon tersebut diimport dari Norway dan pati burger keluarannya pula mengandungi isi daging 85 peratus lebih banyak berbanding burger di pasaran.
Tidak ketinggalan, sos yang digunakan dalam setiap hidangan berbeza dengan restoran lain kerana dihasilkan sendiri oleh Ayers Rock.
Tambah Mohd. Azren, Ayers Rock mengenakan bayaran berbaloi kerana hidangan boleh dinikmati dengan kos semurah RM10 hingga RM200 di restoran yang dibuka tujuh hari seminggu bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.
“Ayers Rock di Wangsa Maju turut menyediakan tempat meletak kereta khas untuk pelanggan. Orang ramai yang berminat untuk mengadakan majlis seperti hari jadi, perkahwinan dan sebagainya juga boleh menghubungi kami.
“Kami juga mempunyai pentas live band dan sistem bunyi sesuai untuk pelbagai majlis," katanya.