BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 5, 2015

PEMAKANAN UNTUK PESAKIT GOUT

GOUT sejenis penyakit yang ditakrifkan sebagai penghasilan asid urik secara berlebihan di dalam badan dan ini berlaku dalam keadaan di mana pengeluarannya bertambah dengan pengambilan secara berlebihan makanan purin (zat semula jadi) berprotein tinggi.
Apabila ini terjadi, pesakit gout akan mengalami bengkak pada bahagian kaki, panas, dan amat sakit hingga ada sesetengahnya tidak boleh berjalan.
Sekiranya pesakit tersebut menghidap gout yang kronik, kehidupan harian yang normal akan terganggu dan perkara yang paling ditakuti ialah berlakunya kecacatan pada sendi dan otot, sama ada ringan atau berat.
Menurut Pegawai Pemakanan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Nurul Ain Baharudin, penyakit yang banyak menyerang golongan lelaki ini berpunca daripada pengambilan makanan yang tinggi purin seperti hidupan laut, kekacang, dan daging merah.
Katanya, purin ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.
Tambahnya, kekurangan air dalam badan juga boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah, sekali gus menyebabkan keadaan pesakit gout lebih buruk.
“Tidak dinafikan, penyakit ini jika sekali terkena sukar untuk sembuh, tetapi kita boleh mencegah serangannya dengan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.
“Untuk itu, pesakit perlulah mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang, dan ketam kerana kandungan purinnya tinggi, serta tidak ketinggalan makanan berasaskan kacang, dan daging merah, seperti daging lembu.
“Selain itu, organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu, serta daging kambing juga perlu dielak kerana kesemua makanan ini mengandungi purin yang tinggi,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Disebabkan itu juga, setiap pesakit gout disarankan agar sentiasa mengamalkan diet mengikut panduan piramid makanan.
Katanya, minuman keras juga patut dielakkan kerana minuman tersebut boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.
Oleh kerana pengambilan makanan yang tinggi purin penyebab utama gout, Nurul Ain menasihatkan pesakit mendisiplinkan diri dengan memilih makanan yang mengandungi kandungan purin yang sederhana dan seelok-eloknya mengambil makanan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran atau karbohidrat.
Ulasnya, selain mengawal pemakanan dengan tidak mengambil makanan berprotein tinggi secara berlebihan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang dapat membantu mengurangkan asid urik dalam badan.
Pesakit juga dinasihatkan minum air yang banyak setiap hari bagi membantu perkumuhan asid urik daripada badan dan mengurangkan risiko mendapat batu karang.
Ringkasnya, pemakanan yang harus dikurangkan atau dielakkan adalah protein yang menghasilkan kandungan purin yang banyak kerana zat tersebut penyumbang terbesar kepada pembentukan asid urik.
Begitu pun, Nurul Ain memberitahu, tidak semua makanan yang berprotein ada risiko gout, seperti ikan dan telur ayam, tetapi harus diingatkan bahawa penyakit tersebut menyerang seseorang yang mengambil protein secara berlebihan.
Yang pasti, hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa, serta jantina dan ada kes remaja berusia 18 tahun dikesan menghidap penyakit ini.
Pesakit-pesakit gout turut disarankan agar berjumpa dengan pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya.

Wednesday, February 4, 2015

TEH TARIK PLACE-SEKSYEN 13 SHAH ALAM

SEBUT sahaja teh tarik, sudah pasti kita terbayangkan kelazatan air yang dicampur dengan serbuk teh dan susu pekat manis yang ‘ditarik’ beberapa kali menggunakan gelas sehingga berbuih sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
Ketagihan terhadap minuman yang menjadi identiti negara kita ini membuatkan sesetengah daripada kita mesti menikmati minuman tersebut setiap hari. Bagi mereka, jika tidak dapat menghirup teh tarik setiap hari maka hari tersebut dirasakan seperti tidak bermaya. Malah, bagi yang bekerja di luar negara mahupun melancong di luar negara, kerinduan terhadap teh tarik seperti tidak dapat dibendung sehinggakan itulah minuman pertama yang dicari sebaik tiba di lapangan terbang.
Ini diakui sendiri oleh pemilik Teh Tarik Place, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, Junaidah Kiting.
Menurutnya, rasa unik teh tarik membuatkan sesiapa sahaja pasti merindui minuman tersebut jika lama tidak menikmatinya. Menyedari itu, beliau berusaha menyediakan teh tarik yang akan membuatkan setiap pelanggan yang pernah merasai minuman itu di restorannya akan datang lagi, sekali gus menjadi pelanggan setia.
“Teh tarik yang kami sediakan memang lain daripada yang lain. Ini diakui sendiri oleh pelanggan yang memberitahu rasa teh yang sedap menjadi antara faktor yang menarik ramai pelanggan untuk singgah menjamu selera di restoran. Kata mereka, keunikan teh tarik ini menepati selera orang ramai,” ujarnya.
Menurutnya, boleh dikatakan setiap pelanggan akan memilih teh tarik walaupun restoran itu turut menyediakan minuman lain seperti kopi dan jus buah-buahan.
Junaidah berkata, selain teh tarik, restorannya juga menyajikan makanan seperti roti bakar, nasi lemak, aneka nasi goreng, nasi kerabu, ayam goreng berempah dan sajian seperti restoran mamak iaitu roti canai, murtabak, mi goreng dan kuetiau goreng.
Beliau berkata, antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah murtabak kambing dan kuetiau goreng yang boleh dikatakan menjadi sajian istimewa di Teh Tarik Place.
“Kami berharap para pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana santai sambil berbual sama ada dengan kawan-kawan, klien mahupun keluarga.
“Di sini, kami mengamalkan konsep layan diri dalam ruang hawa dingin yang terbuka tanpa ada gelas kaca agar pelanggan lebih selesa untuk masuk terus ke restoran kami,” ujarnya.
Waktu operasi Teh Tarik Place adalah dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi dan pesanan terakhir boleh dibuat pada pukul 12.30 malam.
Junaidah memberitahu, tidak lama lagi, pihaknya bercadang memperkenalkan set kombo dan set promosi untuk menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan pekerja sekitar Seksyen 13.
“Kami ingin pelanggan mendapat kepuasan maksimum dengan setiap pesanan. Oleh itu, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang dan merasai sendiri kelainan hidangan yang kami sediakan.
“Hidangan ini memang ada di mana-mana tempat tetapi restoran ini menjanjikan rasa yang lebih istimewa,” katanya.
Bagi penghuni bandar raya Shah Alam yang mungkin sudah jemu melepak di kedai mamak, apa kata berkunjung ke Teh Tarik Place di Seksyen 13 untuk menikmati rasa teh tarik yang unik ini.

Tuesday, February 3, 2015

FRUKTOSA PUNCA GOUT

Gout berlaku akibat tubuh gagal memproses protein. Makanan berprotin tinggi seperti ikan, udang, daging, telur, kacang dan lain-lain tidak boleh dimakan oleh pengidap gout. Protin dalam makanan seperti ini akan diproses menjadi asid urik dan seterusnya dipecahkan menjadi air dan urea. Asid urik adalah berbentuk separa pejal. Kegagalan tubuh memecahkan asid urik kepada urea membuatkan asid separa pejal berkumpul pada celahan tulang dan akhirnya membentuk ketulan kristal batu gout. Kristal batu gout ini boleh juga terbentuk pada celahan buah pinggang dan pundi kencing membentuk batu karang .
Gout lazimnya menyerang
 ibu jari kaki.
Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit apabila gout menyerang.
Serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba, kerap kali semalaman. Sendi yang diserang menjadi bisa sehinggakan geseran dengan selimut pun begitu menyeksakan.
Sakit mungkin berlarutan berhari-hari, atau sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu untuk reda jika tidak dirawat.
Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan. Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.
Fruktosa dan gout
Bukan faktor pemakanan protin sahaja menjadi punca kepada masalah gout. Ini kerana ramai antara pengidap gout meskipun berpantang makan tetap juga mendapat serangan.
Selain protin, pengambilan minuman beralkohol, minuman bergula tinggi dan makanan proses yang menggunakan pemanis sirap jagung berfruktosa tinggi (HFCS), adalah antara penyebab utama gout.
Pada tahun 1960-an sirap jagung mula diekstrak di Amerika. Ia di promosi sebagai gula yang lebih sihat dan lebih manis berbanding gula biasa. Tetapi saintis berjaya membuktikan bahawa sirap jagung adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit.
Terdapat peningkatan ketara insiden penyakit gout ini sejak beberapa dekad lalu terutama di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sejak peningkatan penggunaan minuman berkarbonat, minuman jus dan minuman bergula terutamanya sirap jagung berfruktosa tinggi.
Fruktosa berlebihan juga menyebabkan peningkatan paras asid urik yang menjadi punca kepada masalah sakit sendi gout. Fruktosa akan mengganggu enzim xanthine oxidase dalam hati yang menyebabkan berlaku peningkatan paras asid urik dalam darah yang akan menyebabkan masalah sakit sendi gout.
Fruktosa juga tidak dapat dipecahkan kepada tenaga dan diproses sebagai urik asid. Selain itu ia juga mengganggu hormon dopamine dalam otak hingga menimbulkan rasa ketagihan kepada fruktosa berlaku. Fruktosa juga menyebabkan masalah rintangan insulin dan meningkatkan paras insulin dalam darah dan ini punca terjadinya sindrom metabolik dan menyumbang kepada kencing manis.
Nasihat perubatan yang konvensional untuk penyakit gout biasanya memfokuskan kepada ‘pantang’ makanan berprotin seperti daging, udang, sotong, kekacang dan sebagainya tanpa nasihat supaya mengawal minuman bergula, buah-buahan manis serta jus yang mempunyai kandungan fruktosa tinggi. Fruktosa ialah satu-satunya jenis karbohidrat yang boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah.

Pencegahan
Ubat-ubatan anti radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi. Walaupun ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit perut. Jika digunakan dalam jangka masa yang singkat, kesan sampingan jarang berlaku.
Ubatan lain seperti colchicine juga boleh diambil. Walaupun amat berkesan, ia boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit (Peringatan: Colchicine hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor) selain steroid (Peringatan: Steroid hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor)
Lazimnya cecair steroid disuntik terus ke sendi yang radang. Pil steroid boleh diambil dalam jangka masa yang pendek jika penghidap tidak boleh mengambil ubat-ubatan yang lain. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh diambil berpanjangan.
Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.
Menjaga berat badan - adalah penting kerana kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.
Elakkan mengambil minuman keras serta elakkan pengambilan makanan yang mengandungi purin yang tinggi.
Sesetengah daging binatang, makanan laut dan kekacang mengandungi purin iaitu sejenis protein yang tinggi.
Ubah cara hidup anda untuk memastikan paras asid urik normal, iaitu dengan amalan bersenam dan banyak minum air.
Amalkan cara hidup sihat untuk mengelak dari menghidap penyakit-penyakit yang berhubungkait dengan gout.
Hentikan pengambilan makanan dan minuman mengandungi fruktosa atau pemanis sirap jagung kerana ia adalah antara agen perosak hormon yang merbahaya. Oleh kerana kewujudan pemanis ini adalah secara tersorok dalam makanan pastikan anda membaca label terlebih dahulu sebelum membeli.
Kesan kerosakan hormon pada tubuh manusia hanya boleh di kesan setelah munculnya penyakit berkenaan. Penyakit yang berlaku mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk muncul namun kesan penyakit sangat merbahaya dan mungkin mengancam nyawa.

Friday, January 23, 2015

RUMAH MAKAN CIBIUK-KAJANG, SELANGOR

Jika anda ke Bandung atau Jakarta, pasti nama Cibiuk tidak kedengaran luar biasa kerana itu merupakan nama sebuah kampung yang didiami masyarakat Sunda.
Masyarakat Sunda pula terkenal dengan kepelbagaian sajian dengan rasa yang pedas dan enak bukan sahaja menjadi kegemaran masyarakat di negara itu malah penggemar makanan pedas di negara ini.
Namun kini, tidak perlu terbang jauh ke Cibiuk semata-mata untuk menjamah sajian masyarakat tersebut kerana jika anda menyusuri lot rumah kedai di Taman Putra Kajang, Selangor, pastinya keinginan anda menikmati makanan Sunda dapat dipenuhi di Rumah Makan Cibiuk.
Melangkah masuk ke restoran itu anda akan disambut dengan sapaan wilujeng sumping daripada pelayan restoran berkenaan yang membawa maksud selamat datang.
Gemersik alunan muzik ketukan gamelan mendendangkan lagu asli Sunda pasti membuai perasaan pelanggan ditambah pula hiasan dinding berlatarbelakangkan anyaman rotan serta cahaya lampu kuning malap yang membuatkan anda dibuai perasaan seolah-olah berada di dalam sebuah rumah di perkampungan itu.
Susun atur perabot, hiasan dinding serta alunan lembut muzik gamelan berkenaan merupakan idea pemiliknya, Jamaluddin Omar, 37, yang memberitahu semuanya sama seperti 43 buah restoran Cibiuk yang terdapat di Indonesia.
Memberi kelainan, Jamaluddin mengabadikan tandatangan beberapa figura ternama dari negara tersebut yang pernah singgah menjamu selera di restoran itu termasuk chef popular, Farah Quinn di dinding kaunter pembayaran.
Menurut Jamaluddin, Rumah Makan Cibiuk di Malaysia itu telah beroperasi sejak dua tahun lalu menawarkan lebih 50 sajian asli masyarakat Sunda dengan resipi yang didatangkan khas dari daerah Cibiuk.
Makanan Sunda amat terkenal dengan kepedasannya, maka tidak hairanlah, restoran ini menyediakan 12 pilihan sambal masyarakat itu yang mempunyai tahap kepedasan berbeza.
Antaranya ialah sambal tomato, sambal terasi, sambal laksana, sambal kicap, sambal beratayuda, sambal mangga dan sambal tempe yang disediakan percuma kepada pelanggan lengkap bersama ulam-ulaman.
Selain itu, lima jenis sambal lain ialah sambal ciriuk (paling pedas), sambal guang, sambal Cibiuk merah, sambal Cibiuk hijau dan sambal pecok kacang panjang yang perlu ditempah khas oleh pelanggan jika ingin menikmatinya.
“Kita menggunakan resipi asal dari Sunda dengan menggunakan tiga jenis lada yang mempunyai tahap kepedasan berbeza.
“Lazimnya makanan Sunda tidak berkuah dan dinikmati bersama ikan dan ayam goreng atau bakar kemudiannya dicicah dengan sambal-sambal tersebut,” katanya.
Ditanya tentang sajian popular di restoran itu, Jamaluddin memberitahu, ikan tilapia goreng serta ayam bakar sering mendapat permintaan ramai.
Ujarnya, menu ikan tilapia goreng kipas, tilapia goreng cobek serta ayam bakar yang dihidangkan bersama nasi liwet dan nasi bakar merupakan hidangan terlaris.
“Kita menyediakan hidangan nasi istimewa yang dicampur resipi khas serta dibakar seperti lemang.
“Di sini, kita juga menghidangkan menu pinggan lengkap dengan nasi, lauk, ulam, sambal, tauhu, sup dan tempe melalui pakej nasi timbel komplit ayam goreng, nasi paket ayam bakar cobek dan nasi bakar pulen komplit yang disediakan bagi mereka yang ingin kelainan.
Menurut pemiliknya, bermula Mac ini, satu menu baharu Sunda iaitu sapi samur akan diperkenalkan bagi peminat daging, Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari https://www.facebook.com/RumahMakanCibiukMalaysia atau terus berkunjung ke Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor.

Thursday, January 22, 2015

KANSER PROSTAT MENGANCAM LELAKI

Penyakit ini tiada simptom awal seperti kebanyakan penyakit lain. Mungkin disebabkan faktor itu, ramai lelaki kurang memberi perhatian terhadap kanser prostat.
Prostat ialah kelenjar bersaiz 'walnut' terletak di belakang dasar zakar, di depan rektum, di bawah pundi kencing dan di sekeliling uretra.
Uretra ialah saluran tiub yang membawa air kencing dan air mani melalui zakar. Fungsi utama prostat ialah untuk menghasilkan cecair air mani.
Di Malaysia, kanser prostat adalah kanser keempat paling biasa menyerang lelaki manakala di seluruh dunia ia yang kedua paling ditakuti lelaki di seluruh dunia.
Pada 2008 saja, sebanyak 900,000 kes dilaporkan dan ia dijangka meningkat kepada 1.7 juta kes menjelang 2030. Manakala pada 2012, 1.11 juta lelaki didiagnosis kanser prostat. Angka berkenaan dijangka meningkat jika lelaki masih tiada kesedaran terhadap penyakit itu.
Perunding Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Loh Chit Sin berkata, kanser prostat ialah ketumbuhan sel tidak normal dalam kelenjar prostat, manakala prostat ialah kelenjar yang mengelilingi uretra (saluran kencing) dan terletak di bawah pundi kencing lelaki yang juga dikenali sebagai karsinoma prostatik.
"Sel kanser itu mungkin merebak daripada prostat ke bahagian lain tubuh, terutama tulang dan nodus limfa. Kanser prostat mungkin pada mulanya tidak menyebabkan sebarang gejala, namun pada peringkat lain menyebabkan kesakitan dan kesukaran membuang air kecil.
"Kanser prostat merebak melalui empat tahap. Ia dikenal pasti di segi saiz tumor, sama ada nod limfa dijangkiti atau tumor berkenaan merebak ke bahagian lain," katanya ketika ditemui pada kempen Fight For Your Man di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Tahap pertama kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada gejala apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
Pada tahap kedua, kanser masih dalam kelenjar prostat tetapi rasa bengkak boleh dirasai apabila pemeriksaan rek­tal dijalankan.
Seterusnya pada tahap ketiga, kanser pecah menembusi selaput prostat dan kemungkinan besar merebak ke pundi seminal dan pada tahap keempat, ia merebak ke pelvis (tulang pinggul), nod limfa atau bahagian lain seperti tulang, hati atau paru-paru.
Menurut Loh, sehingga kini punca sebenar kanser prostat belum diketahui, namun beberapa faktor risiko dikenal pasti seperti usia.
"Kanser prostat jarang berlaku kepada lelaki berusia bawah 50 tahun dan biasa­nya ia berlaku kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
"Selain itu, sejarah keluarga iaitu risiko adalah lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat jika mempunyai ayah atau adik beradik lelaki yang pernah mendapat kanser prostat. Seterusnya, masalah obesiti atau kegemukan juga antara faktor yang menyumbang kepada kanser ini," katanya.
Mengenai simptom awal penyakit ini, Loh menjelaskan, kanser prostat tiada simptom awal. Namun pada peringkat lain ia menyebab­kan kesakitan dan kesukaran membuang air kecil.
"Masalah lain ialah kerap buang air kecil, aliran kencing tidak lancar, darah dalam air kencing atau air mani, lemah pundi kencing dan sakit ketika ejakulasi selain cepat letih, hilang selera makan, hilang berat badan, kerap cirit-birit dan muntah," katanya.
Kanser prostat boleh dikesan melalui ultrasound serta pe­ngambilan sampel tisu prostat. Antara rawatan untuk kanser ini adalah radioterapi, terapi hormon, pembedahan, kemoterapi dan imunterapi.

FOREST CITY LULUS DEIA

  • Pemaju projek Forest City akan berusaha memininumkan kesan ke atas alam sekitar.Pemaju projek Forest City akan berusaha memininumkan kesan ke atas alam sekitar.
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah meluluskan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) bagi pembangunan projek Forest City di atas tanah tambak di Gelang Patah.

Perkara berkenaan dinyatakan pemaju induk projek tersebut iaitu Country Garden Pacificview (CGPV) dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Laporan DEIA disediakan meliputi langkah yang mencadangkan kepada usaha meminimumkan atau mengurangkan kesan ke atas alam sekitar melalui penyelesaian bersepadu dan memiliki kebolehfungsian yang diterima JAS.

Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof berkata, selepas mendapat kelulusan laporan DEIA, pihaknya akan memastikan berlaku kepatuhan dan pengawasan melibatkan soal kualiti udara dan air, bunyi bising dan mendapan dengan tegas.

Menurutnya, menjadi keutamaan bagi pihaknya untuk memastikan projek pembangunan terbabit membolehkan ekologi persekitaran sekeliling dijaga dengan baik.

“Ini adalah satu langkah besar ke hadapan kami dalam menjayakan matlamat untuk membawa pembangunan berterusan ke Johor. Projek ini selaras wawasan kerajaan seperti digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP)

“Apabila ia siap kelak, dijangka peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan dalam jumlah yang besar untuk rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, selain itu projek berkenaan bakal ‘menyegarkan’ infrastruktur setempat termasuk pembinaan akses laluan baharu, stesen tenaga, sistem retikulasi air baharu dan meningkatkan aktiviti pelaburan di kawasan berkenaan.

“Bagi pihak CGPV, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan mereka kepada DEIA.

“Yakinlah bahawa kami akan terus memberikan kerjasama erat dengan semua pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam usaha memastikan pembangunan projek sentiasa mempertimbangkan keperluan masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, CGPV sentiasa memastikan bahawa projek yang dilaksanakan patuh dan mengambil amalan terbaik pentadbiran.

WANGSA GRILL BY CHEF ZUBIR-WANGSA MELAWATI

SEPOTONG daging lembu atau daging kambing segar yang dimasak dengan cara bakar atau panggang dinikmati bersama sos lada hitam asli, antara menu pilihan ketika berkunjung ke restoran yang menyajikan masakan Barat.
Keenakan semakin terserlah apabila tekstur daging yang lembut sebati dengan bahan perapan dan dihidang bersama sajian sampingan yang menarik.
Kesemua sejian tersebut boleh dinikmati di Wangsa Grill by Chef Zubir, antara restoran masakan Barat yang menjadi pilihan warga kota ketika ini.
Terletak di 8-10, Jalan Dataran Wangsa, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, restoran ini menawarkan pelbagai menu Barat daripada resipi asli yang berasaskan daging lembu, ayam, kambing, dan tidak ketinggalan makanan laut.
Pemiliknya, Chef Zubir Md. Zain, berkata, sedikit sebanyak resipi asal telah diolah mengikut cita rasa Asia agar bersesuaian dengan selera masyarakat tempatan.
Dibuka sekitar Oktober tahun lalu, menurut chef selebriti yang tekenal sebagai salah seorang juri bagi rancangan masakan MasterChef Malaysia itu, Wangsa Grill merupakan cawangan restorannya yang ketiga selepas Laman Grill Steak & Bar-B-Que yang terletak di Shah Alam dan Kajang, Selangor.
Menyatakan bahawa pembukaan restoran tersebut adalah untuk memudahkan penduduk setempat mengunjungi restorannya selain mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, Chef Zubir berkata, restoran terbaharu itu menyediakan menu yang berbeza dengan dua cawangan terdahulu.
“Walaupun konsep masakan yang diketengahkan adalah sama iaitu masakan Barat, daripada segi pemilihan menu di Wangsa Grill lebih banyak dan kami turut menyediakan menu untuk kanak-kanak.
“Yang pasti, kesemua menu daripada pembuka selera hinggalah pencuci mulut ada disediakan di sini. Orang ramai hanya perlu pilih menu kesukaan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sememangnya merupakan seorang pakar dalam bidang masakan Barat, Chef Zubir menyatakan, walaupun ia masakan Barat, bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan tempatan selain setiap masakan yang disajikan berbeza mengikut bahan yang digunakan.
Berbicara pula mengenai penggunaan daging di restorannya, beliau berkata, semua daging diimport untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.
Bagaimanapun, jelas Chef Zubir, setiap pengunjung jangan berasa was-was kerana kesemua daging yang diimport itu telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain stik yang boleh diminta untuk dimasak separuh atau pun masak sepenuhnya, pengunjung juga boleh menikmati hidangan utama lain yang tidak kurang lazatnya.
Menawarkan lebih daripada 40 jenis masakan, restoran tersebut dikendalikan oleh 17 pekerja, termasuk beberapa tukang masak berpengalaman.
Dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 10.30 malam, Wangsa Grill turut mengetengahkan konsep dapur terbuka.
Boleh memuatkan seramai 120 orang pelanggan pada satu-satu masa, Wangsa Grill menyediakan hidangan mengikut tempahan pelanggan.
Ini bertujuan untuk menyajikan hidangan yang segar dan panas kepada para pelanggan untuk dinikmati.
Kepada mereka yang ingin menikmati resipi Chef Zubir bolehlah mengunjungi Wangsa Grill pada bila-bila masa sahaja tetapi para pelanggan dinasihatkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya mereka ingin mengunjunginya pada hujung minggu.
Untuk itu orang ramai boleh hubungi talian 017-6190825.