BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, April 15, 2012

KELONG SRI PANTAI PONTIAN





PONTIAN 12 April - Sebagai salah satu destinasi utama pelancongan di negeri ini, pelbagai tarikan terdapat di daerah Pontian termasuk bagi mereka yang menggemari aktiviti memancing di pantai dan laut.
Bagi kaki pancing, beberapa lokasi dikenali pasti seperti di kawasan Tanjung Piai, Kukup dan Pulau Pisang selain kelong yang dibina di tengah-tengah laut di kawasan Pontian Besar yang menawarkan kemudahan tempat memancing dan aktiviti percutian bersama keluarga.
Antara kelong terkenal adalah Kelong Sri Pantai yang dibina pada 2006 oleh pemiliknya, Kamal Abu Bakar, 65, setelah kecewa dengan kegagalan ternakan ikan dalam sangkar yang diusahakannya di Sungai Pontian Besar.
Kamal yang menanggung kerugian besar memutuskan membina kelong ternakan kupang yang mendapat sambutan baik sebagai destinasi memancing.
"Apabila mendapat sambutan baik, saya menukarnya kepada kelong rekreasi untuk pemancing memandangkan kedudukannya berhampiran dengan tukun tiruan yang dibina oleh Jabatan Perikanan.
"Kelong Sri Pantai mempunyai keluasan 40 meter persegi dan mampu menampung kira-kira 100 pemancing dengan kedalaman air kira-kira tujuh meter serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan negeri," katanya ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pemancing hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan bot ke kelongnya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jeti nelayan Pontian Besar.
Katanya, seorang pemancing hanya dikenakan bayaran RM50 bagi tempoh 24 jam manakala RM80 kepada yang ingin menginap di empat calet yang dibina di kelong tersebut.
"Selain calet, kami juga mempunyai sebuah asrama yang mampu menampung 25 pengunjung dengan kadar RM400 semalam dan sebuah bilik mesyuarat dengan bayaran RM300," katanya.
Tambah Kamal, kelong itu turut menawarkan pakej dengan harga RM130 seorang merangkumi minum petang, makan malam, sarapan serta makan tengah hari.
Beliau memberitahu, antara jenis ikan yang berjaya dipancing di kawasan kelong itu adalah jenahak, kerapu, pari, senangin, gelama dan siakap.
Kamal turut mengakui kelongnya bukan sahaja menjadi tarikan kaki pancing dari negeri ini malah sering menerima kehadiran pemancing dari Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura.
Katanya, dia juga pernah menerima pelancong dari Australia yang ingin bercuti sambil menikmati suasana malam di laut dan melihat keindahan matahari terbenam pada waktu senja.
"Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh amat memuaskan bergantung kepada kehadiran pemancing pada setiap bulan selain tempahan program," katanya sambil memberitahu pihaknya turut bersedia membawa pelancong yang ingin melawat Pulau Pisang yang terletak berhampiran.
Untuk tempahan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kamal di talian 019-7566442 atau Ali (019-7445616) atau 07-6878049.

No comments:

Post a Comment