BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, April 29, 2012

PROJEK MURNI MALAKOFF

KOSMO 30 APRIL 2012
Foto kenangan yang dirakamkan sukarelawan Malakoff bersama pelajar Al-Ansar.

PRIHATIN terhadap golongan yang memerlukan dalam kalangan masyarakat tempatan, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengambil inisiatif menganjurkan projek gotong-royong di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (Al-Ansar), Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.
Bukan setakat gotong-royong, Malakoff juga turut memberikan sumbangan RM30,000 bagi membantu menyediakan persekitaran lebih kondusif untuk keperluan 250 kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.
Inisiatif yang telah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut itu menarik minat 50 orang kakitangan Malakoff serta ahli keluarga mereka untuk meluangkan masa hujung minggu bagi membantu mengindahkan Al-Ansar.
Rumah kebajikan Al-Ansar tersebut memberi perlindungan kepada penghuni berumur antara 8 hingga 50 tahun, yang tidak mempunyai rumah atau keluarga.
Bercakap mengenai program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil memberitahu, Malakoff mengutamakan perkongsian kejayaan dengan masyarakat tempatan.
"Tradisi ini mencermin falsafah kami iaitu memberi khidmat. Itulah sebabnya saban tahun kami menganjurkan projek gotong-royong ini di bawah platform tanggungjawab sosial korporat iaitu Perkongsian Komuniti Malakoff.
"Tenaga dan semangat dermawan kakitangan Malakoff dan ahli keluarga mereka sungguh menggalakkan. Kami akan terus menyumbang semula kepada masyarakat di mana kami beroperasi," katanya.
Sukarelawan Malakoff membersihkan kawasan Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (Al-Ansar) di Kuala Selangor.
Sejak tahun 2005, Malakoff telah membantu Al-Ansar dari segi kewangan dengan menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik dan menampung penyelenggaraan bangunan sekolah, kuarters kediaman dan kemudahan lain.
Tahun lalu, Malakoff telah membina sudut komputer yang amat bermanfaat serta turut menyumbang 12 buah komputer riba dan komputer kepada sekolah.
Sebuah dewan serbaguna juga dibina bagi menggalakkan penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti sukan seperti badminton, futsal, bola tampar dan sepak takraw.
"Melihat senyuman di wajah kanak-kanak di sini, saya bersyukur dengan bantuan Malakoff dan berharap agar lebih banyak lagi syarikat lain akan mengikut langkah baik ini," ujar Guru Besar Al-Ansar, Sazli Ansari.

No comments:

Post a Comment