BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, March 17, 2014

JALAN BARU JB-PONTIAN DIBINA TAHUN DEPAN

Ir.Hasni Mohammad ( dua dari kiri ) menunjukkan anugerah yang diterima oleh SMK 
Dato’ Penggawa Barat Pontian dalam majlis Mesyuarat Agung PIBG di Pontian, Johor, kelmarin. 

PONTIAN 16 Mac - Kerja pembinaan jalan baharu dari Pontian ke Johor Bahru sejauh 18 kilometer hanya akan dimulakan pada tahun depan berikutan peruntukan projek tersebut belum diterima daripada Kerajaan Pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kos pembinaanya menelan belanja sebanyak RM500 juta termasuk bayaran bagi pengambilan balik tanah.
Beliau berkata, pembinaan jalan baharu tersebut bertujuan mengatasi masalah kesesakan di bandar Pekan Nanas yang mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melawat Pontian pada tahun lalu dan pembinaannya akan melibatkan tiga fasa itu menghubungkan terus ke Lebuhraya Utara-Selatan serta Gelang Patah, sekali gus dapat memendekkan perjalanan dari kedua-dua hala.
“Projek ini telah diberikan keutamaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memandangkan bertambahnya pengguna setiap hari dari Pontian untuk bekerja di Johor Bahru, Nusajaya dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di bandar Pekan Nanas terutama pada awal pagi dan petang selain hujung minggu yang menimbulkan rungutan orang ramai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, di sini semalam.
Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Mohammad Hood Md. Noh; Yang Dipertua PIBG SMK Dato’ Penggawa Barat, Datuk Nasir Safar dan Pengetuanya, Hashim Md. Dom.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, pembinaan jalan baharu itu juga diyakini mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi di Pontian memandangkan daerah itu termasuk dalam koridor pembangunan Iskandar Malaysia terutama di bahagian Selatan.
“Kerajaan negeri prihatin terhadap isu yang dibangkitkan oleh pengguna yang inginkan keselesaan untuk mereka berulang-alik ke tempat kerja tanpa berdepan dengan masalah kesesakan pada setiap hari," katanya.
Menurutnya, projek seperti ini turut dilaksanakan di beberapa tempat lain seperti projek menaik taraf jalan Segamat-Tangkak kepada empat lorong dengan kos keseluruhan sebanyak RM750 juta bertujuan memberikan kemudahan pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan jambatan yang menyeberangi Sungai Pulai dari Pontian akan dilaksanakan pada tahun ini sebaik sahaja proses pengambilan tanah selesai dilakukan.
“Kedua-dua projek ini akan memberikan banyak pilihan kepada penduduk Pontian untuk ke Johor Bahru sama ada menggunakan laluan baharu kelak mahupun menyeberangi Sungai Pulai di bahagian selatannya," katanya.

No comments:

Post a Comment