BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 22, 2014

SOLAT ITU WAJIB

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Taha: 132)
Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul! Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan hendaklah kamu juga menjaga solatmu. Sesungguhnya nasihat dengan melakukan perbuatan, lebih berkesan jika dibandingkan dengan perkataan.
Solat merupakan suatu kewajipan dan hendaklah dilaksanakan. Kami tidak membebani dengan harta, tetapi Kami membebanimu dengan sesuatu pekerjaan yang perlu dilakukan dan Kami akan memberikan ganjaran pahala kepadamu. Kami yang memberikan harta, Kami tidak meminta daripadamu dan ganjaran baik diberi kepada orang yang takut melakukan dosa dan bertakwa kepada-Ku. Manakala orang yang tidak takut kepada seksaan-Ku dan tidak mengharapkan pahala tidak akan mendapat ganjaran baik daripada-Ku."
Peri pentingnya solat jelas terbukti melalui kenyataan tokoh dan ulama Islam. Sebagai contoh penulis sengaja menukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji berkenaan hikmah dan rahsia solat.
Solat mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang dapat dirumuskan seperti berikut:
Pertama: Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba-Nya.
Kedua: Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT, meskipun kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan memberi nikmat. Namun hakikatnya, hanya Allah yang memastikan semua itu untuk kemudahan manusia.
Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.
Ketiga: Dengan bersolat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Ini kerana manusia memang sentiasa terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu, sama ada disedarinya atau tidak.
Justeru, solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang dalam kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari. Kata al-Hasan: “Dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal." (riwayat Muslim)
Maksud kekotoran di sini ialah kekotoran maknawi, iaitu dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan dalam riwayat Abu Hurairah r.a: Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa. (riwayat Muslim)
Keempat: Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah, walaupun telah lama terterap di dalam hatinya.
Kealpaan yang berterusan kerana menurutkan gelora nafsu dan rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering dan menjadi kayu api. Namun, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.

No comments:

Post a Comment