BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 22, 2014

RESTORAN BIJAN-BUKIT BINTANG














RESTORAN yang terletak di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur ini mampu memuatkan sehingga 220 
orang pelanggan pada satu masa.
DENDANGAN lagu-lagu zapin yang berkumandang di corong pembesar suara seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kru Jurnal ke Restoran Bijan baru-baru ini.
Berlatarbelakangkan bangunan-bangunan tinggi di ibu kota, premis yang terletak di Jalan Ceylon berdekatan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu mempunyai keunikan tersendiri.
Terkenal dengan seleksi masakan Melayu tradisi, konsep nuansa Nusantara digarap sepenuhnya dalam seni hiasan dalaman bagi membangkitkan cita rasa klasik kepada restoran tersebut.
Malah, premis yang telah beroperasi selama hampir 10 tahun itu turut disuntik dengan pemilihan barang hiasan bermotifkan batik bagi menyerlahkan nilai eksklusifnya.
Menurut Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualannya, Selena Mak, batik ialah seni kraf yang cukup sinonim dengan adat serta budaya Melayu serantau.
Justeru, katanya, elemen batik tradisional diketengahkan menerusi pelbagai aspek bermula daripada perincian hiasan dalaman sehingga kepada pakaian seragam pelayan agar tampak bersesuaian dengan konsep restoran yang menyajikan hidangan Melayu.
"Di sini, baik pelayan wanita atau lelaki, mereka akan mengenakan pakaian seragam berwarna hitam bersama apron bercorak batik.
"Napkin yang biasanya digunakan daripada kain putih juga diganti dengan fabrik batik. Jadi ia akan nampak kontra apabila digandingkan dengan alas meja putih.
"Hiasan bunga orkid dalam pasu bunga kecil di setiap meja makan pula menambah seri kepada ruang," jelasnya.

RUANG santai dihias secara minimalis.

Kesinambungan perincian motif batik terus dapat dilihat menerusi penggunaan elemen itu pada deretan bantal-bantal kecil yang disusun kemas di atas sofa di ruang santai restoran tersebut.
"Kami menerapkan unsur ini pada hampir keseluruhan ruang bagi menimbulkan kelainan selain mengekalkan ciri-ciri Melayu asli," katanya sambil memberitahu, restoran itu mampu memuatkan sehingga 220 pelanggan pada satu masa.
Menjengah ke ruang makan utama, restoran yang terkenal dengan juadah seperti ayam kuzi, udang masak lemak tempoyak, tulang rusuk panggang serta itik rendang itu menggunakan set kerusi dan meja makan kayu.
"Pemilihan perabot daripada kayu menyuntik cita rasa mewah kepada dekorasi restoran," ujarnya.
Ukiran arca berbentuk flora yang melatari dinding ruang itu pula menerbitkan pesona tersendiri sekali gus memberi kesan dramatik dan penuh misteri kepada sudut tersebut.
Di satu sudut lain pula, pemidang buluh dengan lukisan batik motif pepatung mendominasi sebahagian besar dinding restoran.
Ia menjadi titik tumpu utama dan dapat dilihat sebaik sahaja kaki melangkah ke bahagian tersebut.
Sebuah sudut yang dipisahkan dengan pembahagi dinding bercorak batik turut disediakan bagi pelanggan yang inginkan privasi.
Bagaimanapun, ruang yang mampu memuatkan 20 orang pelanggan itu diberi pendekatan berbeza dengan hiasan lukisan cat air yang berunsurkan kebudayaan masyarakat Cina.
Bijak menggunakan ruang sedia ada, restoran yang merupakan banglo satu tingkat itu turut memiliki ruang makan di laman kedai.
Menariknya, ruang tersebut berbumbungkan tikar mengkuang lusuh untuk menggalakkan pencahayaan serta pengudaraan semula jadi.

MASAKAN Melayu tradisi menjadi hidangan signatur kepada restoran ini.

Limpahan cahaya samar daripada gantungan lampu sangkar yang diperbuat daripada rotan pula mencipta suasana romantis.
Kehijauan daripada rimbunan pepohon dan tumbuhan dalam pasu memberikan aura segar buat pelanggan yang ingin merehatkan tubuh dan minda selepas penat bekerja.
Sebaris potongan buluh yang diikat seakan-akan pagar menjadi dinding yang memisahkan kawasan letak kereta dengan ruang masuk.
Palitan cat dalam palet warna sejuk seperti rona ungu dan kelabu dipilih bagi menyerlahkan konsep Nusantara itu.
Dekorasi unik tersebut bukan sahaja mencipta kelainan malah dapat mewujudkan suasana tenang serta mendamaikan.
Pemilihan konsep itu juga secara tidak langsung menjadikan restoran itu seakan-akan bersatu dengan alam semula jadi di sekelilingnya.
Dalam pada itu, Selena memberitahu, Restoran Bijan turut menyediakan ruang untuk mesyuarat korporat, sambutan majlis perkahwinan, ulang tahun dan hari lahir.
"Pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati pelbagai jenis hidangan makanan enak yang disediakan di restoran ini," katanya.

No comments:

Post a Comment